Suhana
"Hana, telefon," jerit ayah.
"Siapa ayah?" tanyaku.
"Shah!"
Aku bergegas turun ke bawah. Aku mencapai gagang telefon dari tangan ayah. Selepas memastikan yang ayah telah naik ke atas, aku mula memikirkan ayat yang sesuai untuk dikatakan.
"Hana, awak ke tu?"
"Ya, kenapa Shah. Rindukan masakan saya ke?" selorohku.
"Hana, tahu tak nombor telefon Siti? Kalau tahu, boleh bagi pada saya tak? Saya ada hal nak cakap dengan dia," katanya.
Aku terdiam. Tidak disangka itu yang akan ditanyakan oleh Shah. Kemarahanku muncul kembali.
"Entah, tengok sendiri le dalam buku panduan telefon tu," jawabku kasar.
"Hana, marah pada saya ke?" tanyanya lembut.
"Siti ke pasar awal pagi esok. Pergi saja ke sana kalau penting sangat," balasku masih lagi dengan nada marah.
"Ehm, kalau macam tu, terima kasih. Bye."
Gagang telefon dihempas kasar olehku. Hancur luluh hatiku. Tapi, kenapa aku perlu rasa kecewa? Bukankah selama ini aku mahu berjaya dalam pelajaran dahulu. Bukannya tak ada lelaki yang sudi denganku. Berlambak kat universiti tu. Cuma aku saja yang buat jual mahal. Kalau nak dibandingkan aku dengan Siti, aku pun apa kurangnya. Aku peramah, mesra, pandai bergaul dengan orang tua, pintar dan aktif. Aku adalah olahragawati yang dikagumi.
Siti? Ya, aku akui yang Siti sempurna dari semua segi. Siti datang dari keluarga mewah. Siti juga peramah. Malah, Siti disayangi oleh semua pensyarah Fakulti Sains Komputer kerana kepandaiannya. Bezanya antara kami cuma satu. Aku aktif dalam sukan manakala Siti aktif dalam persatuan kesenian. Siti boleh buat apa saja. Dia boleh menari, menyanyi, berlakon, bermain alat muzik dan bersajak. Aku menarik nafas panjang cuba meredakan kemarahanku.
Pagi itu hening sekali. Aku masih berlingkar di tempat tidur. Malas sungguh nak bangun pagi ni. Dah la malam tadi hujan. Rasa macam duduk kat luar negara pula.
"Hana, bangun sembahyang Subuh," jerit mak dari luar bilik.
Aku mula mengeliat. Pusing kiri, pusing kanan lalu bangun. Selepas mandi dan solat, aku turun ke bawah. Aku kena temankan mak ke pasar hari ni. Malas sungguh rasanya. Aku duduk di sofa sementara menunggu mak menyiapkan adik yang nak ke sekolah.
"Mak drive okay. Hana malas la. Hana nak sambung tidur. Syok betul tidur hari ni," pintaku.
"Ha...ye lah. Cepat sikit. Adik, apa lagi yang terhegeh-hegeh tu? Cepat! Nanti lambat ke sekolah. Ish...budak ni," marah mak.
Aku tersenyum. Begitulah adikku. Malas nak ke sekolah. Tapi, kalau main, dialah nombor satu sampai ke taman permainan. Kami masuk ke dalam kereta Perodua Myvi mak. Aku tak sedar bila aku terlelap. Yang aku tahu aku dikejutkan oleh mak. Aku keluar dari perut kereta dan mencapai bakul yang dihulurkan oleh mak. Aku melangkah dengan cermat. Air hanyir yang bertakung di lantai pasar cuba dielakku sebaik mungkin. Mak pula sibuk membelek ikan, sayur dan macam-macam lagi. Aku turut membantu walaupun tak seberapa arif tentang hal-hal macam ni. Hari ni mak berbelanja besar. Tak cukup dengan ikan, mak beli sotong dan udang. Sotong adalah kegemaran adik dan ayah. Udang pula tentu sekali kegemaranku.
Entah apa malangnya, aku ditolak seseorang yang meluru dari arah hadapan. Nasib baik aku sempat berpaut pada meja ikan. Tak kisah la tanganku hanyir sekali pun asalkan jangan pakaianku. Aku sempat menoleh untuk melihat orang itu. Siti?! Apa yang dah terjadi? Mak juga kelihatan tercengang-cengang.
YOU ARE READING
[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & Dia
RomanceGadis manis itu telah berjaya mencuri hatinya. Jadi, Shah yakin dia tidak bersalah kalau dia mengejar pencuri itu dan menghukumnya. Gadis manis itu perlu dikurung di dalam sangkar cintanya. *Sedang dalam proses penambahbaikan. Oct 07, 2013