-14-

875 29 2
                                    

Shah

Aku berusaha untuk menghubungi Siti berulang kali selepas kejadian tersebut. Dalam situasi ini, rasanya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri pun lebih mudah. 'Sayang'... perkataan yang membuatkan bidadriku menjauhkan diri, perkataan yang tak pernah aku luahkan dengan sewenang-wenangnya, perkataan yang kini tersemat utuh dihatiku.

Selepas beberapa minggu berjauhan darinya, aku sedar bahawa perasaan aku terhadapnya bukan sekadar cinta monyet. Aku betul-betul telah jatuh hati kepadanya. Perkhabaran terkini dari Suhana yang Siti dan lelaki itu, yang aku sudah lupa apa namanya, semakin rapat membuatkan aku semakin tidak keruan.

Aku tenung telefon bimbit di dalam genggamanku. Telefon dengan teknologi terkini yang tidak berguna langsung bagiku kalau ia tidak mampu menghubungkan aku dengan orang yang aku rindui.

"Kau masih lagi memikirkan hal yang dah lepas?"

Aku toleh ke arah rakan serumahku, Kamal. Matanya tidak lepas dari kaca tv, begitu kusyuk dengan permainan PS3 terbaru. Kadang-kadang aku keliru, sebagai seorang peguam, bukankah dia sepatutnya menghabiskan masa dengan segala macam dokumen seperti yang selalunya dilakukan oleh seorang peguam seperti di rancangan tv.

"Apa maksud kau?" tanya aku kembali.

"Dari apa yang kau ceritakan pada aku, rasanya pujaan hati kau tu dah pun membuat keputusan untuk meneruskan hidupnya tanpa kau. Dan aku cadangkan, kau lupakan dia dan tumpukan perhatian kau kepada tunang kau," jawabnya.

Aku letak telefon bimbitku di atas meja. Kamal, yang merupakan rakan baikku semasa menuntut di luar negara, kini menjadi tempat untuk aku meluahkan masalahku. Matanya masih tidak lepas dari kaca tv. Dia tidak sedikit pun terkesan dengan renungan tajam dariku.

"Kadang-kadang cinta itu tidak semestinya bersatu. Lagi pula, kalau kuat jodoh kau dengan pujaan hati kau tu, satu hari nanti akan bertaut juga. Dan kalau benar cinta kau padanya suci, lepaskan dia pergi untuk mencari kebahagaiaannya," sambung Kamal.

Aku terpempan dengan kata-kata dari Kamal. Hebat juga jejaka di sebelahku ini. Wajah Siti dan Suhana silih berganti dalam fikiranku. Sudah tiba masanya untuk aku membuat keputusan matang, seiring dengan usiaku yang sudah hampir ke penghujung 20-an.

Telefon bimbit di atas meja, aku capai. Aku bangun masuk ke dalam bilik. Kotak telefon bimbit tersebut aku capai dari atas almari pakaian. Aku ceraikan kad sim dan bateri dari telefon lalu semuanya aku masukkan ke dalam kotak. Aku usap kotak tersebut berulang kali. Berat hatiku untuk melepaskan telefon tersebut. Entah berapa lama aku berkeadaan begitu, aku sendiri tak tahu. Jeritan Kamal mengajak aku makan malam, menyentap aku dari dunia khayalanku. Kotak tersebut aku letak kembali ke tempat asalnya. Jauh dari penglihatan mataku. Aku bertekad untuk melupkan cinta itu.

Suhana

"Shah balik berbincang dengan keluarganya semalam agar majlis pernikahan kamu berdua dipercepatkan. Katanya dia tak mahu tunggu sehingga kamu tamat belajar. Mak dan ayah pun dah setuju. Sekarang tinggal kata putus dari kamu saja."

Aku lekapkan telefon ke telinga lebih erat lagi. Kata-kata yang keluar dari mulut mak ibarat pucuk dicita ulam mendatang bagiku.

"Hana? Hana!" jerit mak.

"Ya mak. Hana setuju."

Aku tak lagi memberikan perhatian kepada kata-kata mak selepas itu. Aku hanya mengiyakan saja semua cadangan dari mak. Sebaik mak menamatkan panggilan, aku melompat kegembiraan.

Pandangan dari Wati tidak aku pedulikan. Aku kini berada diawang-awangan. Aku akan bergelar isteri tidak lama lagi. Kerisauan yang bertahta di hatiku sejak perkhabaran kononnya Shah dan Siti bertemu berduaan di kafe Kolej Kesenian, kini hilang begitu saja. Shah akan menjadi milik mutlakku dan aku akan menjadi pasangan hidupnya yang terbaik. Aku bertekad untuk mendapatkan semua rasa cinta dari Shah.

Siti

"Kenapa? Siapa tu?"

Aku letak kembali telefon bimbitku di atas meja. Sarapan pagi di hadapanku aku kuis perlahan. Aku menarik nafas lega. Selesai sudah satu masalahku. Aku lemparkan senyuman manis ke arah jejaka di hadapanku.

"Suhana call untuk bagi tahu yang majlis pernikahannya akan dipercepatkan," jawabku.

"Dengan lelaki yang Adam jumpa hari tu?" tanya Adam lagi.

Aku hanya menganggukkan kepala untuk mengiyakan pertanyaan dari Adam. Senyuman yang terukir di bibir Adam makin lebar. Aku akui terdetik juga sedikit perasaan sedih. Masakan aku dapat melupakan cinta pertamaku. Lebih-lebih lagi cinta itu akan menjadi milik sahabat baikku sendiri. Aku tarik nafas untuk meredakan gelora di hatiku. 

"Nak ikut saya pergi beli hadiah untuk mereka?" tanyaku.

"Bukan setakat hadiah. Kita juga akan beli pakaian yang sedondon warnanya," jawab Adam.

Aku tertawa kecil dengan kata-katanya. Sejak aku menyambut cinta yang dihulurkan darinya, aku turut bersetuju dengan permintaanya agar pakaian kami sedondon dari segi warna.

"Adam, saya nak minta maaf dari awak. Saya tahu saya banyak berteka-teki dengan awak sejak mula pengajian lagi. Jangan fikir yang saya tak tahu selama ini awak memerhatikan saya dari jauh."

Adam cuba memotong kata-kataku tapi lirikan tajam dariku mematikan penafiannya.

"Saya juga kagum dengan awak. Hampir empat tahun awak memendam rasa. Tapi hari ini, dengan hati yang lapang, saya nak awak tahu, yang saya, Siti Aishah Binti Abdul Rahman, sayangkan awak, Ahmad Adam Bin Sufi," sambungku.

Sinaran dari mata Adam menyebabkan kupu-kupu yang mendiami perutku berterbangan. Adam bangun secara tiba-tiba lalu menjerit sambil ketawa. Aku turut tertawa dengan sikapnya. Pandangan pelik dari orang sekeliling tidak sedikit pun memberi kesan kepada kami. Aku bertekad untuk memberikan peluang kepada cinta yang baru muncul ini.

[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & DiaWhere stories live. Discover now