-15-

916 33 0
                                    

Siti

Rumah Suhana dipenuhi dengan kehadiran ahli keluarga, jiran-jiran dan sahabat handai terdekat. Sebagai sahabat karib, aku turut dijemput ke majlis indah ini. Walaupun Suhana tidak begitu rapat dengan Adam, tapi dia turut dijemput hadir oleh Suhana.

Aku hanya berdiri di sudut bilik memerhatikan mak andam yang sibuk dengan tugasnya. Wajah Suhana berseri sekali. Baju biru lembut yang dipakainya menambahkan lagi seri wajahnya. Warna kegemaranku yang kini seolah-olah telah menjadi warna kegemaran Suhana kalau dilihat sekali imbas ke ruangan biliknya.

Aku melemparkan pandangan ke luar tingkap. Pandanganku terbatas kerana bilik Suhana berada di tingkat dua. Walaupun hanya majlis pernikahan, beberapa khemah putih tetap berdiri megah di halaman.

Aku dan Shah tidak lagi berhubung sejak kejadian di kafe dulu. Kupu-kupu di dalam perutku tetap berterbangan setiap kali mendengar namanya disebut oleh Suhana tetapi tidak segalak dulu. Mungkin kupu-kupu itu sudah penat seperti mana perasaanku sekarang.

"Siti, macam mana?"

Aku menoleh ke arah Suhana yang telah berdiri dan sedang menggayakan dirinya di hadapan cermin. Mak andam yang berdiri di sebelahnya tersenyum bangga dengan hasil tangannya.

"Kau cantik sekali Hana. Kau dan Shah ibarat pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan," jawabku.

Suhana melemparkan senyuman ke arahku. Dia menghulurkan tangannya yang aku sambut dengan rela hati. Kami berpelukkan. Pautan erat itu terlerai apabila terdengar jeritan kanak-kanak dari halaman.

"Pengantin lelaki dah sampai."

Puan Hendon yang ditemani oleh saudara-mara perempuannya masuk ke dalam bilik. Tangannya sibuk membetulkan apa yang tidak kena pada penampilan Suhana. Akhirnya mereka semua melangkah keluar dari bilik untuk menuju ke bawah.

Dengan perasaan yang bercampur-baur, aku turut menuju ke bawah. Tetapi langkahku tidak ke ruang tamu seperti yang lain. Aku membelok lalu keluar dari pintu dapur. Kelibat Adam yang sibuk membantu menyediakan juadah dengan penduduk taman, membuat nafasku terhenti seketika.

Lengan baju Melayunya telah disingsing sehingga ke siku. Otot lengannya yang tegap menjadi makin kejap dengan setiap pergerakkan yang dilakukannya. Wajahku tiba-tiba menjadi panas. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain. Mataku terhenti ke arah pintu pagar utama dan apa yang terbentang di hadapan mataku hampir saja membuat aku berpatah balik ke arah dapur.

Shah

Rombongan kami disambut meriah di hadapan pagar. Dan perkara pertama yang menarik perhatianku ialah bidadariku. Baju kurung merah jambu yang dipakainya menaikkan lagi seri wajahnya. Aku menurut arah pandangannya dan satu tawa sinis keluar dari mulutku. Lelaki yang kini bertakhta di hati bidadariku turut hadir berpakaian baju Melayu merah jambu. Mungkin sebab itulah sejak akhir-akhir ini Suhana mahu kami berpakaian sedondon.

Aku menoleh kembali ke arah bidadariku dan kini pandangan mata kami bertaut. 'Kalau kuat jodoh kau dengan pujaan hati kau tu, satu hari nanti akan bertaut juga'. Kata-kata yang diutarkan oleh Kamal bermain-main di mindaku.

Bukankah aku telah berjanji dengan diriku untuk melupakannya. Tapi kenapa apabila dia berada di hadapan mataku, janji itu seperti tidak bermakna lagi. Bidadari yang selalu muncul di dalam mimpiku. Bidadari yang aku cipta hanya untuk menjauhkan gadis lain yang ingin dekat denganku. Bidadari yang bukan milikku.

"Senyum wahai pengantin lelaki."

Kamal yang berdiri di sampingku menarik hujung baju Melayuku supaya bergerak kehadapan. Kakiku melangkah seiring dengan yang lain tetapi lirikan mataku tetap ke arah sisi rumah tiga tingkat itu.

[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & DiaWhere stories live. Discover now