BAB 13 - Cerita Gayathri II

5.4K 283 9
                                    

‘’Pritttttttttttt’’

Bunyi tiupan wisel yang kuat mengejutkan mereka bertiga. Seraya pandangan mereka teralih semula ke arah padang.  Tercari – cari arah datangnya bunyi wisel tersebut. Siapa pula yang bermain dengan wisel malam-malam begini?

Terbuntang biji mata mereka apabila kelibat tadi dilihat sedang memecut laju berlari di atas padang. Apabila melintasi di hadapan mereka, wajahnya semakin jelas kelihatan. Kelibat tersebut serta merta menoleh ke arah mereka. Serentak itu juga mereka bertiga terundur-undur ke belakang hingga melanggar meja kumpulan Syazrin.

Berderau darah mereka menyaksikan keadaan tersebut hingga lidah menjadi kelu.

Lebih mengejutkan mereka apabila kepala kelibat tersebut berpusing menoleh ke arah mereka sedangkan badannya masing lagi menghadap kehadapan. Kakinya masih melangkah laju. Sepintas lalu sahaja kelibat itu menoleh ke arah mereka.

Namun itu cukup membuatkan mereka hampir menjerit. Mujurlah mereka sempat menutup mulut dengan kedua belah tangan sambil menjauhi tingkap. Walaupun kelibat tersebut sudah tidak kelihatan, namun bayangan renungannya tadi masih lekat di fikirkan mereka.

Gayathri merendahkan badan hingga terduduk mencangkung. Lututnya terasa lemah. Dia  menarik tangan Nanthini dan Sarvine supaya turut mengikuti tindakannya itu. Menggigil tubuh badan mereka.

Mereka duduk mencangkung menghadap sesama sendiri.  Masing-masing di landa ketakutan yang dasyat. Gayathri yang kelihatan berani tadi juga sudah tidak dapat menyembunyikan lagi ketakutan yang menghambat dirinya di waktu begini.

Sebenarnya dia juga takut, namun sengaja memberanikan diri didorong oleh rasa ingin tahu yang memuncak.
Apa sahaja boleh dilakukan jika hati memberontak ingin tahu terhadap sesuatu perkara. Apa sahaja sanggup dilakukan walaupun risikonya kadang kala sungguh tinggi.

‘’Gaya.....kita nak buat apa sekarang ni?’’ tanya Nanthini yang sudah memperoleh kekuatan untuk bercakap. Perlahan saja suaranya.

Seketika tadi lidahnya kelu hinggakan tiada satu perkataan pun yang mampu keluar daripada mulutnya.

‘’Aku tak tahu.’’ Jawab Gayathri jujur.

Dia gagal untuk berfikir secara rasional. Renungan kelibat tadi seolah-olah masih berlegar ditubir matanya. Tajam dan menyeramkan.

‘’Apa kata kita lari.’’ Cadang Nanthini.

‘’Tak boleh. Nanti pasti cikgu-cikgu atau pelajar lain tahu kita melepak disini.’’

‘’Habis tu, kita nak buat apa? tunggu sini sampai hantu tu..... ‘’ Gayathri pantas menekup mulut Nanthini dengan tangan.

‘’Jangan sebut 'benda' tu.’’ Larang Gayathri.

Dia menoleh ke arah Sarvine yang sedari tadi diam dan hanya tunduk memandang lantai sahaja.

‘’Sarvine?’’ panggil Gayathri.

Sarvine tidak membalas. Masih berkeadaan seperti tadi. Duduk mencangkung dan tunduk merenung ke lantai.

Gayathri diamuk resah. Dia  memegang bahu Sarvine. Sejuk! Mungkin terlalu takut. Bahu Sarvine terenjut-enjut bergerak seperti orang sedang menangis.

Dia faham, Sarvine berada dalam ketakutan seperti mereka juga. Mereka yakin kelibat tadi adalah hantu yang pernah diceritakan oleh cikgu Nazir.

‘’Sarvine, kau okey ker?’’ tanya Nanthini pula  mula berasa tidak sedap hati.

Krekkk...krek

Bunyi seperti kerusi bergerak-gerak walaupun perlahan masih dapat ditangkap oleh cuping telinga Nanthini.

BLOK E : Mulanya Di Sini [Complete]Where stories live. Discover now