10.15 malam.
Setelah lebih setengah jam, akhirnya kesemua para peserta sudah ditinggalkan dilokasi-lokasi yang ditetapkan secara rawak. Yang tinggal di dalam dewan kini hanyalah ketua-ketua daripada setiap kumpulan.
Ketua-ketua kumpulan ini akan dilepaskan 15 minit kemudian untuk mencari semula ahli kumpulan mereka. Mana-mana kumpulan yang sudah menjumpainya kesemua ahli kumpulannya akan kembali semula ke dalam dewan.
Seutas tali yang panjang dibekalkan kepada setiap ketua kumpulan untuk dipegang oleh ahli kumpulan mereka sewaktu misi mencari nanti.
Walaupun sedikit ragu, namun Jiha tidak menyesal memegang peranan sebagai ketua kumpulan. Kelebihannya, dia tidak perlu menutup mata. Pengalaman mistik yang dialami oleh kawan-kawannya membuatkan dia begitu takut untuk menjadi peserta yang ditutup mata dengan kain dan ditinggalkan seorang diri di kawasan gelap dan sunyi. Entah apa yang sedang memerhatikannya ketika itu nanti pun dia tidak tahu.
‘’Baiklah, ketua-ketua kumpulan, kamu semua dibenarkan keluar untuk mencari ahli-ahli kumpulan kamu.’’ Kata cikgu Jamal selaku ketua perkhemahan tersebut.
Walaupun cuba dihalang oleh cikgu Nazir, namun aktiviti tersebut dijalankan juga.
Siapa cikgu Nazir untuk menghalang atau melarang dia daripada meneruskan aktivti tersebut? Sudah sepuluh tahun dia mengajar dia SMKDM, dan cikgu Nazir pula tidak sampai tiga bulan lagi mengajar disini. Ego cikgu Jamal melangit dan berkeras dengan keputusannya.
Sementara itu di luar dewan, para pelajar sudah berada di tempat-tempat tertentu yang telah ditetapkan oleh guru-guru. Ada yang diletakkan di kaki lima bangunan, di lorong pejalan kaki yang menghubungkan dewan dan bangunan Blok E, di bawah makmal komputer, di tepi kolam, di kawasan tapak khemah dan beberapa kawasan lagi di sekitar kawasan sekolah.
Semuanya di letakkan berjarak antara satu sama lain. Mata mereka di tutup dan tidak dibenarkan untuk dibuka. Ada dua sebab kenapa larangan tersebut dibuat. Yang pertama, jika mereka membuka kain penutup mata tersebut, maka objektif aktiviti tersebut akan gagal. Sebab yang kedua, tidak perlu untuk diberi tau. Cukup lah dengan mematuhi arahan tersebut.
Sewaktu di tinggalkan tadi, jantung Gayathri seperti mahu tercabut sahaja daripada tangkainya. Ditnggalkan seorang diri dalam gelap malam dalam keadaan mata tertutup membuatkan fikirannya memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tetapi kemudian dia menarik nafas lega. Walaupun dengan mata yang tertutup, dia dapat merasakan bahawa dia tidak berada terlalu jauh kerana kakinya memijak lantai simen. Keras. Teka nya mungkin dia berada di bangunan berdekatan dewan sahaja.
Di mana agaknya Sarivine dan Nanthini? Gayathri teringat kepada dua orang rakannya itu yang agak penakut berbanding dirinya. Tiba-tiba muncul satu bayangan menakutkan di fikirannya. Jangan-jangan dia berada di Blok E? Serta merta kejadian malam semalam menerjah ke ruang fikirannya. Meremang bulu romanya apabila teringatkan perkara tersebut. Lantas, bibirnya bergerak-gerak melafazkan ayat-ayat berbunyi seperti mantera untuk menangkan diri.
Gayatri yang memutuskan untuk duduk bersila tersentak apabila satu tiupan angin menerjah kasar ke arah mukanya. Mujurlah matanya ditutup, tidak perlu untuk dia mencari-cari arah datangnya angin tersebut. Bacaannya menjadi semakin laju apabila tiupan tadi bertukar menjadi berdayu-dayu. Mengusap-ngusap pipi Gayathri. Malah turut disertakan dengan wangian semerbak yang mremangkan bulu roma secara tiba-tiba. Mujurlah bukannya bau kemenyan.
Dari jarak beberapa meter, berdiri satu susuk tubuh sedang memandang ke arah Gayathri. Cikgu Nazir sedang memerhatikan gelagat Gayathri. Sememangnya, guru-guru termasuk dirinya ditugaskan untuk mengusik para pelajar. Tidaklah dengan usikan yang keterlaluan. Sengaja dilakukan begitu untuk menguji tahap kecekalan dan keberanian diri mereka sehinggalah di ambil semula oleh ketua kumpulan mereka.
Dilihatnya Gayathri tunduk sahaja memandang lantai. Mulutnya terkumat kamit melafazkan sesuatu seperti berbisik yang tidak jelas didengari oleh Cikgu Nazir. Sejak kejadian malam semalam, cikgu Nazir berasa terpanggil untuk melihat keadaan Gayathri, Sarvine dan Nanthini. Gayathri sudah dijumpai, cuma Nanthini dan Sarvine sahaja belum ditemui. Dia terpaksa menyuluh dengan cahaya daripada telefon bimbitnya untuk mengenalpasti mereka disebabkan kawasan sekitar yang gelap.
Di sebelah kiri Gayathri terdapat seorang pelajar perempuan dan cikgu Nazir yakin itu bukanlah Nanthini atau Sarvine. Begitu juga dengan beberapa orang pelajar lain yang sebaris dengan Gayatri di kaki lima blok tersebut. Jarak antara mereka sekitar sepuluh meter sahaja tiap seorang. Cikgu Nazir amat yakin dengan pendapatnya kerana mereka semuanya bertudung.
Setelah puas meronda disitu, cikgu Nazir berjalan ke dewan semula. Di situ turut di tempatkan beberapa orang pelajar. Kebanyakkannya pelajar perempuan. Terdengar juga alunan ayat suci Al-Quran dibacakan oleh mereka secara perlahan.
Takut juga rupanya budak-budak ni. Iye lah, dalam keadaan mata ditutup dan ditinggalkan seorang diri di dalam kawasan sekolah, siapa yang tidak takut kan. Kalau dia sendiri pun, pasti berdebar juga. Mata mereka ditutup, tetapi ada yang sedang memerhatikan mereka.
Cikgu Nazir merapati salah seorang pelajar lelaki yang sedang duduk bersila berhampiran tiang di lorong penjalan kaki. Terjengket- jengket cikgu Nazir melangkah agar kehadirannya tidak disedari. Apa tidaknya, apabila mata tertutup, automatik telinga menjadi semakin peka. Apa-apa saja bunyi mudah ditangkap cuping telinga lalu dihantar ke otak untuk diproses. Lantaran itu, akan muncul pelbagai telahan mengenai punca bunyi tersebut.
‘’Ala, ni mesti cikgu kan. Dah tahu dah.’’ Ujar pelajar lelaki tersebut apabila cikgu Nazir meniup lembut ke telinga pelajar tersebut dengan tujuan menyakat.
Kecewa cikgu Nazir kerana usahanya untuk menyakat telah gagal. Malunya dia. Mujurlah budak tersebut tidak dapat melihat wajahnya ketika ini.
‘’Kalau bukan cikgu, macam mana?’’ Cikgu Nazir cuba menguji.
‘’ Kalau bukan cikgu, mesti ‘kawan’ cikgu.’’ Sengaja ditekankan perkataan ‘kawan’ tersebut.
Seram pula cikgu Nazir mendengarnya. Hendak menyakat orang, sebaliknya dia pula yang di sakat balik. Terus cikgu Nazir berlalu meninggalkan pelajar tersebut. Tidak boleh dilayan lagi. Apabila hatinya sudah nekad mengatakan segalanya ada usikan yang dilakukan oleh guru, maka sia-sia sajalah usaha mereka. Tapi, kalau betul –betul macam mana? Pandai-pandai sendiri la budak tu nanti.
Cikgu Nazir mendongak ke langit. Melihat bintang bintang yang berkerlipan menghiasi dada langit. Dia sedikit kesal. Bulan sungguh terang di atas sana. Bahkan, sinarnya yang menyimbah bumi mampu menyerlahkan warna rumput yang hijau. Berbanding pada malam-malam sebelumnya yang hanya kelihatan bayang-bayang dan hitam sahaja. Tapi malam ini, bulan sungguh galak, sepertinya akan terjadi bulan mengambang sahaja beberapa jam lagi.
Mujurlah tiada serigala disini, jika tidak pasti sudah bingit dengan suara lolongan dan sahutan serigala. Dan pastinya sahutan serigala itu bersebab. Kata orang, serigala akan terlolong-lolong apabila melihat ‘sesuatu’. Terutamanya ketika bulan mengambang penuh. Sama juga sifatnya dengan anjing yang suka menyalak tak tentu pasal di tengah malam ‘menegur’ sesuatu.
Di bawah makmal komputer, cikgu Nazir kenal beberapa susuk tubuh yang sedang duduk bersila. Ada yang tunduk sambil menongkat dagu dengan kedua belah tangan. Pasti sudah dibuai mimpi.
Tidak pula cikgu Nazir berhasrat menyakat mereka. Rasa kecewa kerana gagal menyakat tadi masih lagi bersisa. Dia jadi tawar hati. Padahal, sewaktu sekolah berasrama dahulu sakat menyekat ini seperti aktiviti wajib baginya. Tiap malam ada sahaja budak-budak junior yang tidak lena tidur kerana disakat olehnya. Dia faham ketakutan yang dialami mereka akibat disakat, kerana dia juga pernah disakat. Malangnya, ‘orang’ yang menyakatnya itu tidak ada kaki dan sudah tentulah tidak jejak ke tanah. Malah siap melayang ke hutan belakang di belakang asrama sambil mengilai.
‘’Auuuuuuuuukk...auuuuuuukk......!’’
Anjing??
YOU ARE READING
BLOK E : Mulanya Di Sini [Complete]
HorrorBlok E, hanyalah sebuah blok satu tingkat yang terletak bersebelahan padang. Blok yang menempatkan kelas tingkatan 4 ini kelihatan biasa sahaja, seperti juga blok-blok lain. Namun, siapa sangka kejadian pagi itu mula merubah suasana. "Tapi, tu buka...