1996
"Bang, burger daging, tak nak mayonnaise, satu!" kata seorang budak naik basikal berhenti di gerai burger Abang Kay. Dave potong roti, Abang Kay masak burger.
"Dave, ekau buek kojo boto-boto ah jang! Ni ekau sapu marjerin macam tak sapu yo!" Abang Kay selalu senior marah Dave. Otak Dave sebenarnya tak bersama dengan kerja, tetapi ke arah ruangan sahabat pena Media Hiburan keluaran September 1996, di mana dia terfikirkan gadis bernama Diana binti Roslan.
"Dah la lawa, duduk Hussein Onn la pulak, dekat!" detik hati Dave. Dia baru petang tadi menghantar surat perkenalan di pejabat pos tadi, sambil mengharapkan Diana untuk membalas suratnya.
Sejak hari tu, setiap hari dia check peti surat kalau-kalau Diana balas suratnya. Modal letak perfume Tommy Hilfiger dekat surat tu bukannya murah.
Meletakkan bedak wangi, spray minyak wangi, pakai pen warna selain hitam, biru atau merah, adalah sama macam hias banner Twitter, layout MySpace, atau update videoklip lagu kegemaran di Facebook.
Gerai burger Abang Kay didatangi oleh seorang makwe cun yang rupanya macam Maizurah Hamzah.
"Abang, nak ayam special," kata gadis itu. Dave dah terpinar melihat gadis tersebut. Lagu Di Antara Gadis dari kumpulan Dinamik terbayang di radio imaginasinya.
Gadis itu mengelap peluh dalam keadaan yang memberahikan Dave.
"Woi, copek la sapu marjerin! Berangan yo!" Abang Kay menjerkah pada Dave.
"Oh Diana, Diana, Diana!" Dave melatah.
Gadis itu terpandang Dave.
"Saya Diana," kata gadis tersebut.
"Saya tau. Saya ada hantar surat pada awak, ruangan sahabat pena. Kot-kot dapat nombor telefon," kata Dave tersengih kerang sambil menyapu marjerin pada roti.
"Saya dapat surat awak, tapi tak sempat nak balas balik. Maklumlah, sibuk sikit kerja," kata Diana.
"Mesti dapat banyak surat cinta, kan?" Dave cuba nak pancing ayat.
"Memang banyak, wangi-wangi semua surat tu."
Dave tersenyum tersipu-sipu.
Dave bungkus burger dan menghulurkan plastik pada Diana.
"Dua ringgit setengah," kata Dave.
Diana tersenyum sambil hulurkan tiga ringgit pada Dave. Dave menghulurkan lima puluh sen.
"Keep the change," Diana kata selamba.
"Boleh minta tisu?" tanya Diana lagi.
"Boleh, boleh, Malaysia boleh," kata Dave merapu untuk mengawal hormon.
Diana keluarkan pen dan menulis sesuatu pada tisu.
"Malam Jumaat, No.6, depan padang Suasana. 9 malam."
Diana hulurkan tisu itu pada Dave. Mencanak Dave dapat perlawaan dari Diana.
Dave minta cuti siap-siap untuk malam Jumaat.
"Abang, nak cuti hari Jumaat ni," kata Dave sambil potong bawang.
"Buek apo?"
"Mak saya, sakit."
"Ekau cakap boto-boto, jang. Kalau nak mohong pun, ekau jangan guno mak. Den tampar ekau karang," Abang Kay tinggikan suara. Dave terpaku.
"Ekau ado date yo?" kata Abang Kay yang sedang tukar tong gas baru.
"Haah."
"Siapolah nak date dengan ekau ni jang? Motong sayur pun lombab!"
"Diana."
YOU ARE READING
Rumah No. 6
Mistério / SuspenseSuatu malam, Kamelia bercerita pada Eleena dan Nizam tentang misteri pengamal ilmu hitam Mentadak Mentadu. Keesokan harinya, Adli datang dan berlagak baru dapat lesen bawa kereta. Eleena mahukan 'adventure' dalam hidupnya, dan Kamelia mahu kebenaran...