Bab 3

99.4K 4.2K 233
                                    

versi baru

belum edit


Kedah, Malaysia.

SEBUAH Grab memasuki perkarangan rumah kampung jenis separa batu dan separa kayu. Terkocoh-kocoh pemandu Grab berkenaan membantu Rhea mengeluarkan dua beg bagasi besar dari dalam but belakang kereta. Usai mengucapkan terima kasih, pemandu Grab itu berlalu pergi.

"Rhea!" Rhea menoleh bila namanya dipanggil. Kelihatan Opah muncul dari belakang rumah. Terus Rhea berlari kecil mendapatkan Opah lalu tangan tua itu dicium hormat. Kemudian, tubuh Rhea tenggelam di dalam pelukan Opah.

"Allah, sampai juga cucu Opah!" Opah menggosok belakang tubuh Rhea. Seketika Rhea meleraikan pelukan itu.

"Rhea rindu Opah. Opah sihat?" Rhea tanya.

"Sihat cara orang tualah, Rhea. Alhamdulillah. Ni sapa hantaq?" panjang leher Opah memandang dua buah bagasi besar milik Rhea. Kemudian dia tercari-cari gerangan manusia yang menghantar cucunya itu ke sini.

"Rhea naik Grab, Opah. Grab tu dah pergi," jawab Rhea.

"Hang ni, awat tak talipon Opah dulu? Boleh Opah mintak tolong Pak Ya pi jemput hang kat airport," berkerut-kerut muka Opah. Dia sudah maklum akan kepulangan Rhea ke sini hari ini. Tapi dia tak pasti jam berapa Rhea akan tiba. Dia baru berkira-kira mahu menghubungi Rhea selepas dia memberi ayam peliharaannya makan di reban belakang tadi. Tup-tup, Rhea dah terpacak depan rumah. Haih, cucu bertuah!

"Alah, Rhea tak nak susahkan sesiapa. Lagipun Grab kat sini kan banyak, Opah." Rhea sengih tayang gigi. Turun saja di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, terus Rhea memesan Grab. Mujur pemandu Grab itu tahu alamat kampungnya. Mujur juga dia masih ingat yang mana satu rumah Opah.

"Yalah tu. Jom, masuk! Opah baru nak masak. Kalau Opah tau hang dah nak sampai, subuh-subuh tadi lagi Opah dah masak. Ni hang kena tunggu la Opah masak dulu baru hang boleh makan! Tudia la hang ni..."

Bla... bla.. bla...

Opah dah berleter. Rhea hanya ketawa. Betullah cakap si kembar, confirm dia tak sunyi kalau duduk dengan Opah. Tengoklah, tak sampai sepuluh minit dia sampai sini, dia terpaksa menadah telinga dengar Opah membebel dengan loghat Utaranya. Haih!

PETANG itu selepas solat Asar, Rhea keluar bersiar-siar dengan berjalan kaki. Duduk dalam rumah panas berbahang pula. Memandangkan rumah Opah memang tak jauh dari laut maka Rhea memutuskan untuk bersiar-siar di situ. Setibanya di situ, kelihatan beberapa buah bot nelayan tersadai di persisiran laut. Bau busuk laut menusuk masuk ke dalam rongga hidung.

Rhea menghampiri tiga orang budak lelaki yang sedang mengutip sesuatu bersama wajah berkerut.

"Apa benda yang kau orang kutip tu?" Rhea menyoal sambil memandang sesuatu yang sedang dikutip mereka. Kecil dan berselut.

"Kami kutip siputlah! Kakak ni tak pernah kutip siput ka?" seorang kanak-kanak lelaki menjawab. Siput-siput yang dikutipnya itu terus dimasukkan ke dalam timba. Makin bertambah kerut di wajah Rhea. Apa? Kutip siput kat tempat kotor macam ni? Seriuslah?

"Tak, akak tak pernah kutip siput. Siput-siput tu nanti kau orang nak buat apa? Bela dalam akuarium ke?" serentak dengan itu, bukan main budak-budak lelaki itu mentertawakan dia.

"Mana ada orang pi bela siput dalam akuarium kak oi! Siput ni kita makanlah! Apalah, itu pun tak tau ka?" mereka sambung gelakkan Rhea. Rhea ketap bibir. Anak siapalah ni?

"Tak kotor ke makan siput tu, hah? Buatnya kena keracunan makanan ke nanti?" geli pula Rhea tengok siput-siput yang sedang bergerak di dalam timba. Dengan warna kelabunya, dengan selutnya. Automatik Rhea pegang leher sendiri. Hesy... tak boleh bayangkan bagaimana orang-orang kat sini boleh telan sesuatu yang kotor macam itu.

Lecturer Sebelah Rumah | TerbitWhere stories live. Discover now