versi baru
belum edit
MIKAEL melangkah keluar dari bilik air dengan lengkap berpakaian. Rambut yang basah digosok dengan kain tuala. Kaki diheret ke arah meja makan.
"Wah, jarang nenek masak nasi lemak. Ada orang nak datang ke hari ni?" Mikael tarik kerusi lalu duduk. Hidung kembang kempis bila aroma nasi lemak menerobos masuk ke rongga hidung. Nafsu makan terasa melonjak-lonjak bila terpandangkan semangkuk sambal ikan bilis, telur rebus yang dibelah dua, kacang goreng dan juga hirisan timun.
"Haah. Hari ni ada tetamu special nak datang," Nek Mah tersenyum misteri. Terjongket tinggi sebelah kening Mikael.
"Siapa?" Mikael tanya.
"Adalah..." meleret-leret senyuman Nek Mah sambil menuang air kopi 'o' ke dalam cawan. Mata Mikael terpicing-picing. Rumah ni jarang terima tetamu di pagi hari kecuali jiran sebelah.
"Mika nak dapat atuk baru ke, nek?"
"Astaghfirullahalazim, Mikael! Hang ni... apa pulak dok pikiaq sampai ke situ?!" memetir suara Nek Mah. Mata dijegil serupa mahu terkeluar biji mata dari soket. Mikael dah mengekek ketawa sehingga bergegar tubuhnya.
"Gurau aje nek. Alaaa... tapi apa salahnya kalau Mika dapat atuk baru? Takde la nenek sunyi nanti..." Mikael menghela nafas. Kadang dia terfikir, kalaulah nanti dia dah tak duduk sini, mesti Nek Mah akan tinggal berseorangan. Mesti Nek Mah akan sunyi.
"Dah berpuluh tahun nenek dok sorang lepas arwah atuk hang meninggal. Nenek dah biasa hidup macam ni. Lagipun, tak ada siapa boleh ganti tempat arwah atuk hang dalam hati nenek," lirih suara Nek Mah pada pagi itu. Mikael pula rasa bersalah. Dia tahu betapa setianya Nek Mah pada arwah suaminya walaupun sudah berpuluh tahun lelaki itu pulang ke pangkuan Ilahi akibat penyakit kencing manis yang dideritainya.
Dulu waktu Nek Mah baru bergelar balu, ramai juga yang berniat mahu menyunting Nek Mah sebagai isteri. Tapi, Nek Mah menolak dengan alasan dia tak mampu mencintai sesiapa pun selain dari arwah suaminya.
"Untung arwah atuk dapat isteri macam nenek," Mikael melorek senyum tipis. Nek Mah sekadar ketawa kecil.
"Patutlah nenek rapat betul dengan Opah, ya? Geng balu setia," seloroh Mikael. Nek Mah tidak menyangkal kata-kata Mikael. Opah juga senasib dengannya. Selepas kematian suami, masing-masing tidak berniat mahu mencari pengganti. Lebih senang duduk sendiri menghabiskan sisa hidup yang ada.
"Back to the main topic. Siapa yang nak datang ni, nek?" tanya Mikael. Dia benar-benar panasaran akan siapa tetamu mereka hari ini. Dia tak rasa tetamu mereka itu adalah Opah dan Rhea.
"Sat lagi hang tau la..." Nek Mah masih mahu berahsia. Sehinggalah selang beberapa minit, kedengaran bunyi petikan hon di luar. Serentak Mikael dan Nek Mah membuang pandang ke arah pintu dapur.
"Ha tu dia dah sampai!" terkocoh-kocoh Nek Mah bangkit meninggalkan dapur diekori Mikael di belakang. Berdiri di muka pintu, mata Mikael disajikan dengan satu sosok manusia yang sedang melangkah keluar dari perut kereta mewah. Semerta bibir mula mengoyak senyuman lebar.
"Weh, kau! Asal tak kasi tahu nak balik sini?!" tinggi suara Mikael. Bahu si sepupu ditumbuk geram sehinggakan lelaki itu mengaduh sakit. Habuannya, lengan Mikael pula yang dilibas tangan Nek Mah.
"Kawan baru sampai, apa pi tumbuk dia macam tu?" Nek Mah menjegil mata. Mikael cebik bibir.
"Yalah, yalah. Bila si Hazryl ni balik, Mikael bukan lagi cucu kesayangan nenek, kan? Okey... fine!" Mikael pura-pura merajuk. Kepala Nek Mah tergeleng. Haih...
YOU ARE READING
Lecturer Sebelah Rumah | Terbit
Romance3rd Romance by CikMardiah [BEST ROMANCE WINNER FABULOUSAWARDS 2017] [ Highest Ranking #1 , ●5 Feb 2018 ●17 Feb 2018] Start Publish ; 16 Sept 2017 End ; 16 Feb 2018