Bab 11

79.7K 3.7K 111
                                    

versi baru

belum edit


YA TUHAN... dia tak tahu kenapa mata dia rasa nak terpejam saja. Puas dijegil mata untuk menumpukan sepenuh perhatian pada pembelajaran di hadapan, tapi tetap saja matanya ini mahu terkatup. Rhea menyapu wajah berkali-kali. Berharap rasa kantuk yang sedang menguasainya ini segera terhapus.

Tapi, gagal! Sudahnya, dia letak kepala atas meja. Mata terus dipejam rapat.

"Weh, Rhea. Kau tidur?" Hani berbisik sambil menyenggol bahunya.

"Aku mengantuk gilalah, Hani. Mata aku ni... tak larat nak buka dah," balas Rhea tanpa mengangkat walau sepicing pun matanya. Sungguh dia benar-benar mengantuk. Apa taknya, malam tadi dia balik nak dekat pukul sebelas malam dihantar Muaz kerana lelaki itu yang bersungguh-sungguh mahu menghantarnya pulang. Sampai saja di rumah, tiba-tiba dia teringat tentang bahan assignment yang Puan Khamisah minta. Kalut dia dibuatnya. Tak fasal-fasal hampir pukul dua pagi barulah dia boleh tidur. Kena bangun pula pukul enam. Mahu tak barai dia dibuatnya!

"Kau jangan buat pasallah, Rhea. Bangun cepat. Nanti kalau Sir Afham nampak, mampus kau." terkancing gigi Hani. Satu kelas sudah tahu cara Mikael mengajar di dalam kelas. Pelajar tidak dibenarkan tidur dan hilang fokus dalam subjeknya. Hal ini kerana kata Mikael, subjek financial accounting bukanlah subjek yang mudah dan boleh dikatakan subjek killer.

"Sekejap aje. Kau coverlah aku..." mulut yang terbuka gara-gara menguap terus ditutupnya dengan tangan. Hani menjeling Mikael di hadapan. Pensyarah muda itu masih tidak menyedari bahawa ada pelajarnya sedang tidur di dalam kelas. Lagi-lagi bila kedudukan Rhea berada di barisan keempat dan duduknya paling hujung sekali.

"Janganlah, Rhea. Ish, kau pergilah basuh muka dekat tandas." gesa Hani. Risau kalau Mikael nampak Rhea sedang tidur.

"Diamlah, Hani. Bagi aku tidur sekejap aje. Janji... sekejap aje," Rhea tarik buku nota menutupi wajahnya. Hani menghela nafas berat. Tak mempedulikan Rhea yang sudah ketiduran itu, Hani kembali menumpukan perhatiannya pada Mikael yang sedang mengajar di hadapan.

"Okey class..." mata Mikael akhirnya jatuh ke arah Rhea. Hani mencubit paha Rhea. Dibisikkan ke telinga gadis itu agar bangun kerana aktiviti tidurnya sudah tertangkap!

"Rhea Nabella binti Rafael!" sebaris nama panjang Rhea meniti di bibir Mikael. Berpasang-pasang mata di dalam dewan kelas itu sudah terpanah ke arah Rhea yang masih kekal dengan posisinya. Gila! Sepanjang kelas yang dikendalikan penyarah muda itu, tak pernah ada pelajar yang berani tidur di dalam kelasnya. Tapi, Rhea... gadis itu kini mencipta sejarah menjadi pelajar pertama yang berani tidur di dalam kelas Sir Afham Mikael!

"Weh, Rhea. Bangunlah. Sir panggil kau tu," Hani menepuk-nepuk bahu Rhea.

"Hurm..." Rhea sekadar menggumam.

"Bangunlah, Rhea. Kau nak kena denda dengan sir ke?" terkancing gigi Hani. Dia pula yang takut melihat wajah ketat Mikael yang sedang berdiri bercekak pinggang di hadapan. Rhea ni memanglah! Cari nahas!

"Rhea Nabella binti Rafael!" dua kali nama penuh Rhea dipanggil. Kali ini, nada suara Mikael meninggi dan agak keras. Pun begitu, Rhea masih tidak terjaga meskipun Hani disebelahnya sedang bersungguh-sungguh mengejutkannya.

Bam!

Seisi dewan itu terperanjat besar bila Mikael tiba-tiba saja menghentak sebuah buku tebal berkulit keras di atas meja. Mungkin terkesan dengan bunyi kuat itu, terus Rhea mengangkat kepalanya dari meja. Pandangan dilontar ke hadapan, memandang wajah menyinga Mikael. Rhea teguk liur. Hah, mampus kau Rhea... mampus!

Lecturer Sebelah Rumah | TerbitWhere stories live. Discover now