Part 1

6.6K 140 1
                                    

TINGKAH Aariz yang agak ganjil mencuri perhatian. Sejak memulakan pemanduan, acap kali dia tertoleh-toleh. Biarpun dalam lagak berselindung namun aku berjaya mengesan lirikan matanya. Entah apalah yang menarik tumpuan lelaki itu. Seketika aku sempat membelek penampilan diri. Tidak cukup dengan itu, puas aku menilik muka di cermin sisi, mencari punca Aariz berlaku aneh tetapi jawapannya gagal kutemui. Mungkin ada cacat di mana-mana tetapi tidak berani ditegur Aariz. Maka dizahir dalam jelingan bermakna. Aku berandaian sendiri.

Letih mencari sebab, lalu kubiar Aariz dengan keganjilan sikapnya. Malas mahu menyemakkan ruang fikir dengan perkara-perkara remeh sedang ada hal yang lebih penting menuntut fokusku. Kalau betul ada yang tidak kena, biarlah Aariz sendiri yang membuka bicara.

"Kenapa Aariz?"

Tanda soal yang dari tadi sekadar berlegar-legar di kepala akhirnya terluah jua, memecah keheningan yang melingkari diasak rasa ingin tahu. Tak betah aku tertanya-tanya sendiri menyedari lirikan sepasang matanya yang bening. Seolah hendak menyampaikan sesuatu yang tak tertafsir oleh akalku yang dangkal.

"Hemmm?"

Aariz sedikit tersentak. Beberapa saat renungannya tertala di laman wajahku sebelum beralih semula ke jalan raya. Dia terpinga-pinga. Sapaanku yang tiba-tiba mungkin menghantar rasa terkejut di ketika Aariz sedang asyik menghayati melodi 'So Far Away' nyanyian Avenged Sevenfold yang berkumandang di ruang udara.

Spontan bibir Aariz membunga senyum bila aku mengulang soalan dalam ayat yang lebih panjang bagi menjelaskan kekaburan. Malahan senyumannya tambah melebar tika aku berkisah tentang keganjilan sikapnya yang mencuri-curi pandang sejak tadi.

Aku mencebir bibir menyambut maklum balas Aariz yang menyangka aku tidak menyedari perlakuannya.

Keluhan Aariz memancing minatku, memaksaku menatap sisi wajahnya yang bertukar serius. Permukaan dahi licinnya berkerut. Dari raut wajah Aariz dapat kudasari fikirannya yang diganggu sesuatu.

"Ruginya dulu tak ikut cakap ibu..."

Ucapan berbaur keluhan singgah di telinga membuah tanda tanya. Keningku terangkat mencari perkaitan antara punca keanehan sikap Aariz dengan ibu.

"Kalau tak, mesti kita dah kahwin!"

Pengertian segera mampir di benakku. Kiranya Aariz sedang dililiti kesal tak bertepi kerana mengingkari cadangan ibunya setahun lepas. Aku tidak segera memberi reaksi. Beberapa saat kubiar sepi, memberi laluan untuk Aariz menyambung kata.

Masih jelas terakam di ingatan hari aku dan Aariz mengikat tali pertunangan. Di tengah-tengah kehangatan perbincangan antara dua keluarga tentang majlis seterusnya, ibu menyungguh kami segera bernikah. Ibu dihantui kebimbangan melihat keakrabanku dengan Aariz. Teratas dari itu dia sendiri sudah tidak sabar mahu menerima menantu. Namun keinginan ibu terpaksa ditangguh dulu demi perjanjian dan pengertian Aariz terhadap cita-cita dan impianku.

Aariz akur pada permintaanku, bertunang selama setahun sebelum mengakhiri percintaan ke jinjang pelamin. Waktuku agak terbatas kala itu dihambat kesibukan mengurus kafe yang baru dibuka. Seluruh perhatian, tenaga, wang dan masa tercurah sepenuhnya pada QAi Café hingga mengabaikan waktu untuk diri sendiri, keluarga dan Aariz. Namun mujurlah Aariz seorang yang memahami. Mengerti akan impian dan cita-citaku, maka sokongan moral, idea, tenaga dan masanya tidak pernah berkurang. Kerana itulah aku begitu menghargai lelaki bernama Aariz. Kehadirannya benar-benar menenggelamkanku dalam lautan cinta nan bahagia.

"Agaknya sekarang kita tengah tunggu baby..."

Nakal sahaja suara Aariz memancung khayalanku. Menyedari niat Aariz mahu mengusik, seliang cubitan kuhadiahkan di lengannya tanpa perasaan bersalah. Senyuman sinis menggayuti bibir melihat dia menyeringai kesakitan.

"Sakitlah adik oii! Hisy, tak suka betul kalau sepit ketam ni hidup!"

Serentak itu Aariz mencapai tangan kananku. Genggamannya erat mengundang debar dan malu. Dalam gerak yang tidak ketara, aku cuba meloloskan jemariku dari genggamannya. Namun tidak berdaya tika hati sudah dihimpit bahagia. Elusan jemarinya menggebu kasih.

"Lambatnya masa berlalu. Aariz dah tak sabar nak tunggu Sara jadi isteri Aariz." Romantis nada Aariz beralun lembut di lubang telinga.

Aku sekadar mengulum senyum ditekan malu.

"Sabarlah Aariz. Dah tak lama, tinggal lebih kurang sebulan aje lagi." Pujukku, melunakkan hati Aariz.

Aariz mengeluh.

"Sebulan tu pun dah cukup lama bagi Aariz. Macam-macam boleh jadi. Siapa tahu kalau tiba-tiba kita tak jadi kahwin..." Aariz sengaja meleretkan suara di hujung bicara, mengerlingku sekilas. Mahu mengintip reaksiku barangkali.

Biarpun tersentap tetapi tidak kulepas dalam perubahan air muka. Seboleh mungkin aku bertahan dengan wajah tiada perasaan. Bagai kata-kata Aariz tidak langsung terkesan di jiwaku. Walhal saat ini aku mulai dibadai resah. Frasa 'tidak jadi kahwin' benar-benar menjadi igauan ngeri di ketika segala persiapan sudah berada di fasa akhir.

"Kenapa? Aariz dah jumpa orang lain?" Bidasku geram. Jengkel dengan usikan Aariz yang bersahaja.

Aariz tertawa pendek. Tergeleng-geleng kepalanya menafikan tuduhanku yang tak berasas.

"Insha Allah hingga saat ini, perasaan cinta Aariz untuk Sara seorang. Tapi kita tak tahu takdir yang mendatang. Siapa tahu kalau tiba-tiba Sara jatuh cinta dengan lelaki lain ke...Aariz pergi dulu ke..."

Dek geram, sekali lagi cubitanku mematikan bicara Aariz. Jelingan tajamku menghantar amaran, mengingatkan Aariz supaya tidak berbicara seperti itu lagi. Kering darahku membayangkan andaian terakhirnya menjadi nyata. Entah bagaimanalah perjalanan hidupku jika ditakdirkan Aariz pergi dariku buat selamanya. Kuatkah aku?

"Err..sorry sayang. Aariz main-main aje."

Aariz menyambar semula jemariku setelah aku menyepi beberapa ketika. Pasti dia diacah rasa bersalah melihat perubahan emosiku yang mendadak.

"Apa main-main benda macam tu? Sara tak suka tahu!" Bentakku dalam nada rajuk. Namun bukan pujuk rayu yang kudapat, sebaliknya tawa senang Aariz berdendang di telinga.

"I know you love me." Ujar Aariz diiringi senyuman meleret. Nadanya seperti orang sedang meraikan kemenangan. Tak mengapalah, asalkan dia bahagia. Kurelakan keriangan menjadi miliknya. Rajukku menyurut terpandangkan senyuman di bibir Aariz.

Segera aku mencari anak matanya ketika genggaman tangannya melonggar selari dengan lafaz istighfar berulang kali. Aariz mengetap bibir sekilas membalas renunganku.

"Sara kena ingat, lelaki yang baik tak akan sesekali sentuh Sara. Bukan setakat tangan mulus Sara aje, tapi nak pandang Sara pun dia malu. Paling penting, dia tak akan cuba menyentuh hati Sara selagi mana dia belum bersedia. Bila dia dah sedia, dia akan menikahi Sara dan tika itu barulah dia berani menyentuh hati Sara." Sudah pasti Aariz teringat akan hal itu lalu segera meleraikan pautan di jemariku.

Panjang lebar madah Aariz mengirim rasa aneh di benakku. Kenapa dia berbicara seolah-olah akan datang lelaki lain yang bakal menyuntingku selain dia? Walhal Aariz adalah tunanganku!

"Sara tahu Aariz lelaki yang baik." 

Mudah aku mematikan idea lelaki di sebelah. Kurang senang dengan topik yang terletus. Bagiku, sekeping hati sudah kuserahkan pada Aariz. Tidak akan ada yang lain menggantikan tempat Aariz. Muktamad! 

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now