Part 13

1.8K 78 18
                                    

SEBAL jelas terpancar di mukaku memerhatikan gelagat Hadif yang sama sibuknya macam Qais. Berulang-alik di dalam khemah menjenguk lauk-pauk, mengangkat pinggan dan cawan kotor. Lagaknya tidak ubah seperti tuan rumah yang tidak menang tangan melayani tetamu. Menyampah!

Sungguh aku hairan bagaimana abah dan mama boleh menerima Hadif menjadi sebahagian dari keluarga kami. Kak Long dan Qais pun apa kurangnya. Malah mudah benar dia bergaul mesra dengan kaum keluarga biarpun baru berjumpa. Semua orang menyenangi kehadirannya kecuali aku! Sampai ke saat ini, tembok dendam dan kebencianku tetap teguh bertugu.

Aku terkejut bukan kepalang ketika bertembung pandang dengan lelaki itu dinihari tadi. Terjaga dari tidur, aku hendak ke dapur bagi membasahkan tekak. Selamba aku keluar dari bilik tanpa menyarung tudung kerana waktu masih pagi benar. Kaum keluarga masih nyenyak dibuai mimpi kerana jarum jam baru melewati angka 4.30. Namun terbejat langkahku tatkala daun pintu bilik Qais yang setentang kamarku dikuak dari dalam. Fikirku Qais namun sangkaanku meleset. Manalah aku tahu Hadif yang terjengul keluar.

Beberapa saat beradu pandang, aku pasti lelaki itu turut sama terperanjat menerima renungan tajamku. Pantas aku menyusup ke dalam kamar sambil menyumpah seranah dalam hati memarahi Hadif yang melanggar batasan. Entah macam mana dia boleh tergerak hati untuk bermalam di rumahku sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian.

Aku hanya mencebik terpandangkan kelibat Hadif turut sama ikut menyertai kaum lelaki menyembelih lembu awal pagi selepas subuh. Aku berandaian, tentu abah mengajaknya bermalam di rumah kerana mungkin kasihan pada lelaki itu terpaksa berulang-alik dari rumahnya. Sudahlah semalam terpaksa tidur lambat, pagi ini perlu bangun awal pula. Bukan aku tidak tahu perangai abah. Terlalu peramah dan baik hati sampai kalau boleh semua orang mahu dipelawanya bermalam di rumah kami.

"Qaisara, pergilah bersiap. Kejap lagi rombongan pengantin lelaki sampai, kelam-kabut pulak."

Usapan lembut tangan abah di bahuku memaksaku melarikan anak mata dari terus menyoroti tubuh Hadif. Senyumanku melebar melihat abah begitu segak berbaju Melayu berwarna kelabu sedondon dengan kaum keluarga pihak pengantin perempuan. Bimbang tidak sempat bersiap, aku terus mencicit ke bilik untuk menyalin pakaian. Mujurlah bajuku sudah siap digosok semalam, tidaklah aku kelam-kabut.

Bunyi telefon pintar membantutkan pergerakanku membetulkan selendang yang meliliti kepala. Meneliti nama yang tertera menarik bunga senyum di bibir.

"Ibu dah sampai?" Soalku sebaik sahaja salamku dijawab.

Ibu memaklumkan ketibaannya di luar rumah. Dia segan menapak masuk sendirian di tengah-tengah keramaian kaum keluargaku. Lalu dia kuminta untuk menunggu seketika sementara aku bersiap.

Ibu! Biarpun Aariz tiada lagi tetapi hubunganku dengan ibunya tidak putus. Acap kali aku berkunjung ke kediaman ibu yang tinggal sendiri selepas ketiadaan suami dan anaknya. Semakin kerap bila aku jelak hendak menjamah wajah Hadif yang bagai tidak ingat jalan pulang ke rumahnya. Sesekali aku bermalam di sana menemani ibu. Aku tenang kerana menempati kamar Aariz yang sepi. Kehadirannya bagai dapat dirasai meluruhkan segunung kerinduan.

Bergegas aku keluar mendapatkan ibu yang menanti. Sedang aku tercari-cari kelibatnya, sepasang mataku tertancap ke arah Hadif yang meletakkan minuman di hadapan ibu! Debar memalu dada melihat keduanya berbual mesra. Jika tidak memikirkan orang ramai yang sedang enak menjamu selera, ingin sahaja aku bertempik nyaring mengherdik Hadif agar menjauh dari ibu Aariz! Aku tidak rela pembunuh itu merapati ibu kekasihku! Tetapi tegahanku hanya bergema di dalam hati. Keadaan tidak memungkinkan perbuatanku yang hanya akan menjatuhkan air mukaku sekali gus keluargaku.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now