Part 8

1.9K 79 0
                                    

SEMENJAK Qais meluah rasa terkilan yang terbuku sekian lama di pundaknya, hubunganku dengannya sedikit terjejas. Qais tidak mahu bertegur sapa denganku. Sepatah ditanya belum tentu berjawab. Setiap hari berulang-alik ke kafe, ruang perut kereta hanya diisi sepi. Tiada lagi hilai tawa antara kami. Aku semakin diburu resah dan perasaan bersalah. Beberapa kali aku cuba mencipta perbualan namun hanya dibiar pertanyaanku disambut angin lalu. Nampak benar Qais benar-benar merajuk denganku.

Aku mengeluh perlahan, merenung jauh ke dalam diri. Bilah-bilah memori menarik semula ungkapan bicara Qais bernada tidak puas hati, mendakwa dirinya tersisih semenjak kehadiran Aariz dalam hidupku. Benarkah aku mempamer sikap sebegitu? Melebih-lebihkan Aariz hingga membelakangkan keluargaku? Seingatku, kedudukan abah, mama, Kak Long dan Qais tidak pernah berubah. Mereka tetap berada di tangga teratas dalam senarai keutamaanku.

Mungkin perubahan emosiku yang keterlaluan semenjak pemergian Aariz mendorong Qais beranggapan begitu. Di matanya aku terlalu menyayangi Aariz hingga memudaratkan diri sendiri dan secara tak langsung menyeksa perasaan mereka yang menyayangiku. Tak mampu kusangkal kebenaran yang terserlah, aku mengasihi Aariz tetapi tidaklah sampai membuang keluarga. Kuakui kesilapanku. Terlalu meratapi kematian Aariz hingga mengabaikan perasaan abah, mama, Kak Long dan Qais. Memang patutlah Qais merajuk.

Ketukan perlahan di daun pintu memaksaku bingkas dari katil. Tersembul wajah Qais pudar tanpa secalit senyuman.

"Mama suruh Kak Ngah tolong dia kat dapur. Kejap lagi makan malam sekali dengan Abang Edi." Belum sempat aku mengajukan pertanyaan, Qais berlalu tanpa kata.

Aku mengeluh perlahan. Daun pintu kurapatkan sebelum tersandar lesu. Sudahlah aku dan Qais 'berkonfrontasi', Hadif pula muncul di saat-saat begini. Suasana seperti ini memang sangat menyebalkan dan menyesakkan dada.

Tidak berniat membuat mama memanggilku untuk kali kedua, aku pantas bersiap ala kadar lalu mencari mama di dapur. Aku membantu mama tanpa banyak membuka mulut. Hampir keseluruhan waktu, mama mendominasi ruang bicara. Aku akur sahaja bila mama menggesaku bersiap sebelum Hadif sampai.

Geram mendongkol di dada melihat Qais dengan selamba mengambil tempat bertentangan Kak Long. Aku mempamer riak kurang senang tetapi tidak langsung diendahkan. Qais tetap beku, berpura-pura tidak nampak isyarat yang cuba kuhantar. Hendak tak hendak terpaksa kurelakan Hadif berlabuh duduk bertentanganku.

Kekok! Itulah yang kurasakan kala ini dan aku yakin dia juga merasakan hal yang sama. Jika tidak masakan dia lebih banyak membisu. Tidak seperti hari biasa, ceria bergurau-senda dengan abah dan mama.

Dalam lagak terpaksa, aku menyuap nasi ke dalam mulut. Ketika hendak mengangkat muka, renunganku bertaut dengan anak mata Hadif yang terpaku tepat di laman wajahku. Beberapa detik pandangan kami bersabung sebelum ketawa abah yang kuat meleraikan. Pantas aku melarikan anak mata ke arah lain. Wajahku yang masam semakin kelat. Sepanjang waktu aku terus membatu.

Seusai menjamu selera, Kak Long meminta diri untuk berehat di dalam bilik selepas mengadu sakit kepala. Sekali lagi aku terpaksa mengikhlaskan hati mengemaskan ruang makan sendirian bila mama menurut langkah abah, Qais dan Hadif ke ruang tamu.

"Qaisara, nanti jangan lupa hidangkan puding tau. Abah ada kat ruang tamu dengan Edi. Mama nak jenguk Qamelia kejap." Mama muncul di ruang makan ketika aku sibuk mengelap meja.

Tidak banyak cakap aku mengangguk cuma. Namun sekejap sahaja pesanan itu terpahat di memori sebelum terbang dibawa angin malam. Lebih-lebih lagi bila aku begitu leka mencuci pinggan-pinggan kotor di singki.

Derap langkah dari arah belakang kembali mengingatkanku akan pesan mama. Lantas aku mencuci tangan lalu mengeringkannya dengan tuala bersih.

"Alamak, mama! Sara lupa nak hidangkan puding! Kejap ya mama..."

Melilau anak mataku mencari pinggan yang sesuai untuk diletakkan puding roti marble yang kubuat siang tadi. Menjumpai pinggan yang dicari, kuhampiri peti sejuk, mengeluarkan loyang berisi puding. Cermat dan berhati-hati, kupindahkan puding ke dalam pinggan.

"Mama err..."

Suaraku tersekat di rengkungan sebaik sahaja menala mata ke arah batang tubuh yang tegak berdiri tidak jauh dariku. Senyuman paksa yang kuukir di bibir sejak tadi segera lenyap. Aku menghempas keluhan kasar. Pinggan berisi puding kutolak menjauh sebelum kembali berpusing menghadap singki membelakangkan Hadif yang tertegun.

"Mama suruh saya bawakan puding ni ke ruang tamu." Teragak-agak Hadif meluah kata. Bimbang mengundang lahar amarahku.

Panggilan 'mama' yang mesra meniti bibirnya membibitkan benih cemburu di lembah rasa. Aku maklum panggilannya pada abah dan mama bertukar sejak dia rajin bertandang ke rumah kami. Entah di mana istimewanya pemuda tempang bertongkat itu hingga menarik kasih abah dan mama.

"Huh, tak cukup dengan Aariz, sekarang kau nak rampas abah dan mama aku pulak! Dasar tak tahu malu!" Semburku menurut hati yang dicengkam geram. Langsung tidak berpaling apatah lagi menghiraukan Hadif yang jelas terkejut.

"Kau memang tak faham Bahasa Melayu, kan? Dari dulu lagi aku dah cakap, aku tak nak tengok muka kau, tapi kau degil! Berani kau datang ke rumah aku, berbaik-baik dengan keluarga aku! Kau ingat aku akan maafkan kau? Sampai mati pun aku takkan lupa! Sebab kau Aariz aku mati!" Hamburku dalam nada yang tertahan. Dalam dendam dan benci terselit sekelumit kebimbangan. Risau juga kalau-kalau abah atau mama menelinga, memamah butir bicaraku yang kasar dan cukup untuk menghiris hati Hadif.

"Saya minta maaf Qaisara..." Perlahan suara Hadif menampan telinga. Sama ada dia bersedih atau serba-salah, aku tidak pasti.

"Aku takkan maafkan kau Hadif, sampai bila-bila!" Tanpa hati dan perasaan aku memotong percakapan Hadif yang tersekat-sekat. Malas mahu berbual panjang, aku menyambung mencuci pinggan kotor yang berbaki. Kusental dengan sekuat hati, membayangkan muka Hadif yang sedang kutonyoh benci.

"Eh, apa yang lama sangat tu?" Mama muncul semula mengisi hening yang melingkariku dan Hadif.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now