Part 16

1.8K 104 43
                                    

SENGAJA aku menerima pelawaan Zamani dan para pekerja lain untuk ikut bercuti di Langkawi selama tiga hari dua malam semata-mata mahu mengelak dari terpaksa menjejak kaki ke majlis perkahwinan Hadif dan pasangannya.

Entah di mana silapnya, cemburu dan iri hati tak berdaya dikikis. Kebahagiaan yang dikecap lelaki itu tidak menyenangkan hati.

Pesanan mama yang lebih berupa pada arahan memintaku menangguhkan percutian tidak diendahkan.

"Kenapa perlu pilih tarikh sama dengan majlis rumah Hadif?" Mama berterusan melontar ketidakpuasan hatinya.

"Bukan Sara yang arrange. Zamani yang handle, Sara ikut aje." Selamba aku menayang riak muka tak berperasaan.

"Sara mintaklah Zamani tangguhkan. Kesian Hadif kalau Sara tak pergi."

Dahiku berkerut. Hairan dengan mama yang beria-ia mendesak.

"Tak boleh sebab Zamani dah book tiket dengan hotel. Lagipun takkanlah disebabkan Sara seorang, yang lain pun kena postpone cuti." Wajah mama yang cemberut dikerling sekilas.

"Alah, majlis tetap berjalan walaupun Sara tak ada. Mama dengan abah kan ada. Cukuplah."

Mama mengeluh. Kekecewaan jelas tersingkap dari air muka yang berubah keruh.

"Dah Hadif tu beria-ia jemput, tak baiklah kita hampakan dia."

Aku mendengus lembut. Bengang. Sejak mengenali Hadif, mama gemar menyebelahi lelaki itu berbanding anak sendiri. Dalam banyak situasi, akulah yang nampak buruk di mata mama. Walhal lelaki itulah pemusnah impian anak kandungnya sendiri.

Deringan telefon pintar mematikan anganan. Bayangan mama bubar. Cepat sahaja aku mencapai alat komunikasi itu melihat nama abah tertera pada skrin layar.

"Sara dah sampai? Nak abah jemput Sara?" Serbu abah sebaik sahaja salamku dijawab.

Terbit rasa terharu mendengar nada prihatin abah. Dalam kesibukan dia di rumah Hadif, masih ada secebis ingatan pada anak gadisnya yang baru pulang dari bercuti. Sedang mama menarik muka masam setelah aku mengambil keputusan untuk mengikut rombongan Zamani bercuti.

"Tak apalah abah. Sara dah sampai rumah pun. Zamani yang hantarkan tadi."

Abah bergumam di hujung talian.

"Kesian anak abah. Sara nak datang rumah Hadif? Kalau nak datang, abah jemput Sara nanti."

Sejenak aku membisu. Abah dan mama beria-ia mengajakku ikut sekali ke rumah Hadif tetapi kedegilanku mematahkan niat mereka. Kali ini biarlah aku beralah. Soal hati terpaksa ditolak ke tepi demi abah dan mama yang perlu kujaga air muka mereka. Qais yang jauh di mata pun sanggup mengambil cuti semata-mata ingin meraikan hari pernikahan Hadif. Begitu juga dengan Kak Long dan Abang Long. Jadi untuk apa aku perlu menegakkan kedegilan lagi?

"Tak apalah abah, bagi Sara masa nak bersiap. Nanti Sara drive sendiri pergi rumah Hadif."

Abah terdiam. Baranngkali terkejut dan langsung tidak menyangka jawapan yang bergema di telinga.

"Betul Sara nak drive sendiri? Tak takut? Kalau Sara takut, biar abah yang datang ambik. Tak pun abah mintak Qais yang jemput Sara."

Sekeping hati semakin disarati sendu dan terharu. Sampai ke tahap itu abah memikirkan perihal diriku. Sungguh, abahlah lelaki terbaik dalam hidup.

"Tak apa, abah. Biar Sara pergi sendiri. I love you abah. Kirim salam pada mama ya? Cakap kat mama, Sara rindu mama. Tak sabar nak peluk mama."

Abah hanya tergelak sebelum memutuskan talian.

Aku menghirup nafas dalam-dalam sebelum dihembus keluar. Memasak kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan situasi yang bakal menyesakkan. Menyaksikan Hadif bersanding dengan pasangannya bukanlah pemandangan yang mudah dihadam. Tetapi demi abah dan mama, aku cuba menguatkan semangat.

Usai bersiap, barulah aku teringat sesuatu yang penting tetapi lupa hendak ditanyakan pada abah. Lokasi rumah Hadif! Laju sahaja aku mencapai telefon pintar, mencari nama abah. Namun pergerakan jemari terhenti ternampak sekeping sampul berwarna putih di atas meja solek. Senyuman membugar di bibir.

Akhirnya kad undangan yang Hadif serahkan padaku tempoh hari berguna. Tentulah lokasi rumah pengantin tertinta di atas lembaran kad tersebut. Sambil berjalan menuju ke muka pintu, aku mengoyak sampul yang digam kemas.

'Apa kad kahwin pun sampai nak kena gam?'

Hati menggetus geram dek kesukaran mengeluarkan isi sampul. Terpegun aturan kaki ketika beberapa keping gambar jatuh bertaburan. Sejenak aku terpinga-pinga sebelum tunduk ke lantai. Benak diserbu bermacam soalan tatkala pandangan tertancap pada figura di dalam gambar-gambar tersebut.

Kerutan terpeta di permukaan dahi.

Aku? Ya, gambar-gambar yang bergelimpangan di atas lantai memaparkan figuraku beberapa tahun lepas! Lebih tepat lagi, gambar-gambarku sewaktu berada di kampus dulu! Sampul di tangan kukoyak sepenuhnya. Terserlah keseluruhan kad undangan dan sekeping nota kecil. Warna kertas dan tulisan tangan yang tertinta menarik minat untuk kubaca.

'Saat inilah cintaku mula bersemi.' – Hadif

Dap! Jantung bagai direntap kuat.

*** ***

Ada yang tertunggu-tunggu? Maaf ya lambat. Kesempitan masa tapi saya cuba untuk regular update. 

Thank you for reading


Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now