Part 10

1.9K 80 0
                                    

MENIKMATI angin malam yang berpuput lembut menampar wajah melekakanku membuatkan aku tertinggal agak jauh di belakang Kak Long. Perlahan-lahan aku mengatur langkah, membiarkan kulit kaki memijak butir-butir pasir putih yang sejuk terhampar luas di daratan sementara selipar kubimbit di sisi. Tenang dan damai bertapak di laman hati mendengar deruan ombak menghempas pantai. Sekali lagi langkahku terhenti memberi peluang hidung menjamah bau laut yang sangat mempesona.

"Angah, nak tidur kat sini ke?"

Aku pantas membuka kelopak mata, mencari tuan empunya suara. Entah sejak bila Kak Long berpatah semula berdiri tegak sambil bercekak pinggang betul-betul di hadapanku.

"Angah dah jatuh hatilah dengan tempat ni, Kak Long! Angah rasa macam tak nak balik aje." Luahku bersahaja menyambung langkah berjalan seiringan dengan Kak Long menuju ke arah bangku yang disusun khas menghadap laut.

"Hah, jangan buat pasal. Nanti kalau abah dengan mama tanya, Kak Long nak cakap apa?" Tingkah Kak Long berpura-pura marah. Aku hanya tertawa kecil lalu melabuhkan duduk di atas bangku kayu yang tersedia.

Aku dan Kak Long, masing-masing mengunci bicara menikmati keindahan alam ciptaan ALLAH. Aku benar-benar memperoleh ketenangan luar biasa mengamati keindahan yang sukar kudapati di bandar-bandar pesat membangun.

"Angah." Panggil Kak Long lembut. Aku hanya menggumam menyahut panggilannya tanpa menoleh. Terasa sayang pula hendak mengalihkan pandangan dari laut luas yang berubah kelam dan hitam.

"Angah masih bencikan Edi?"

Demi terdengarkan nama Hadi meniti di bibir Kak Long, ketenangan yang baru mengulitku segera terusir. Dahiku berlapis. Hairan menerjahku bila tiba-tiba Kak Long menyebut nama lelaki itu.

"Sampai bila Angah nak berdendam dengan Edi? Yang pergi tetap pergi, Angah. Aariz tak mungkin akan kembali lagi. Angah kena belajar terima hakikat." Sambung Kak Long bila aku masih membisu.

Berdendamkah aku dengan Hadif? Jawapannya tentulah ya! Kerana Hadif aku kehilangan Aariz. Setiap kali terpandangkan Hadif aku jadi teringatkan Aariz. Namun Hadif hanyalah penyebab. Kalau pun bukan kerana Hadif, Aariz tetap akan pergi menyahut seruan Ilahi kerana begitulah aturan takdir. Aku tahu, aku mengerti. Tidak sepatutnya aku menentang ketentuan ALLAH. Tidak sepatutnya aku meletakkan seluruh kesalahan di bahu Hadif seorang walhal akulah yang mengemudi kereta tika itu. Sepatutnya akulah yang layak dipersalahkan kerana aku yang memandu. ALLAH!

'Aariz, maafkan Sara! Semoga rohmu dicucuri rahmat oleh ALLAH dan ditempatkan dalam kalangan golongan mereka yang beriman.' Rintihku dalam sepi, memanjatkan doa ke hadrat ILAHI.

"Dalam menjalani kehidupan seharian, kita terlupa satu perkara. Sebagai manusia biasa kita sering melakukan dosa dan bila kita bertaubat, ALLAH-lah yang akan memaafkan dan mengampunkan kita. Cuba Angah fikir, kenapa kita susah nak memaafkan orang lain yang melakukan dosa kepada kita sedangkan ALLAH pun mengampunkan dosa-dosa kita terhadapNya?" Kak Long menyambung lagi, memaksaku menggerakkan saraf otak mengajakku berfikir merenung jauh ke dalam diri.

"Angah, ALLAH cintakan hamba-hambaNya yang mampu menahan marah dan sanggup memaafkan orang lain. Bila seseorang itu memilikki sifat pemaaf, itulah tanda hatinya bersih dan tenang, Angah."

Aku menarik nafas panjang lalu dihembus perlahan. Kebenaran bicara Kak Long tak mampu kusanggah. Selama hari ini hatiku disarati dendam kesumat. Tiada ruang kemaafan walau sebesar zarah. Kubiarkan fizikal dan mentalku dikuasai kebencian yang mendalam. Aku manusia yang tidak ikhlas menerima Qada' dan Qadar ALLAH. Terdetik kesal di lubuk rasa. Lambat-lambat bibirku mengalun lafaz istighfar berulang kali. Sejak kehilangan Aariz, kebiasaan itu bagai larut dalam kesedihan dan kelukaanku. Hilang terus sifat-sifat mahmudah yang cuba abah benamkan dalam diriku sejak kecil.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now