Part 15

1.8K 91 28
                                    

GILA! Bingung! Kiranya perkataan itulah yang paling tepat menggambarkan kekacauan yang melanda di jiwa. Entah apalah yang tidak kena pada diri pun aku tidak tahu. Belakangan ini, fikiran sering berpusat pada Hadif. Bayangannya begitu setia mengejarku. Perubahan sikap lelaki itu mencetuskan tanda tanya. Sejak pertemuan di pusat beli-belah tempoh hari, Hadif tidak lagi terhegeh-hegeh mendekatiku mencipta perbualan. Malah dia ketara mahu mengelak dari bertembung denganku.

Memanglah hal itu yang kuharap-harapkan selama ini. Namun jauh di sudut hati, terselit resah dan gusar. Perbezaan ulah Hadif memaksa otakku bekerja keras menggali sebab musabab. Pasti perkahwinan yang bakal berlangsung mendorong Hadif menjarakkan diri. Tentulah dia tidak mahu menyalakan api cemburu di nubari bakal isterinya. Aku berandaian sendiri.

Di luar sedar, terjuih-juih bibirku mengekspresikan kejengkelan. Mudah Hadif meladeni hidup, melupakan kesalahan besarnya. Tidak ingatkah dia, dek kecuaiannya ketika memandu, aku kehilangan Aariz! Kerana dia, impianku untuk berumah tangga ranap dalam sekelip mata! Aariz yang kucinta tidak lagi bernyawa! Sepatutnya Hadif tidak berhak mengecapi nikmat bahagia! Deritaku harus menjadi miliknya. Biar dia tahu makna kehilangan yang kutanggung. Walaupun sudah tiga tahun berlalu, Aariz tetap segar di ingatan persis baru semalam dia pergi meninggalkanku.

Berkecai lamunanku kala tepukan mama singgah di pipi. Terkebil-kebil aku memandang mama yang berwajah tegang. Bengang!

"Hisy, dengar tak apa yang mama cakap?" Tanya mama. Dahinya berlapis. Dia mendengus kuat menerima gelenganku sebagai jawapan.

"Astaghfirullah! Apa kena dengan budak ni? Mama suruh pakai tudung!" Bebel mama geram.

Bingkas aku bangun dari pangkuan mama. Rambut yang jatuh melepasi bahu dicekak lalu disanggul tinggi, mendedahkan kulit leher untuk santapan mata mama.

"Kenapa nak pakai tudung? Bukan ada orang..."

Tidak jadi aku hendak menyudahkan kata tika terpandang figura Hadif mendekat, beriringan dengan abah. Renungannya menghala tepat ke mukaku.

Tidak menunggu lama, terkocoh-kocoh aku berlari ke kamar tidur. Berbakul sumpah seranah dan kutukan kulambakkan pada Hadif yang tiba-tiba muncul tanpa amaran. Mengganggu masaku bersama abah dan mama. Kacau daun!

"Qaisara, tolong buatkan minuman ya? Lepas tu gorengkan karipap yang mama buat semalam." Mama terjengul di sebalik tirai. Dia hanya menggeleng melihatku terbongkang bebas di atas katil.

Aku mendengus lembut. Jika diikutkan rasa hati yang panas, mahu sahaja aku mengabaikan arahan mama. Biar mati kebulur anak angkat kesayangannya! Perlu apa aku menyediakan hidangan kerana Hadif tidak lagi dianggap sebagai tetamu. Sebaliknya dia tidak ubah sepertiku, Kak Long dan Qais. Malah sesekali aku merasakan mama suka melebih-lebihkan Hadif berbandingku, anak kandungnya sendiri! Bentakku dalam hati tetapi tetap bangun mencapai tudung sarung.

"Macam mana persiapan untuk majlis? Betul Edi tak nak mama tolong?"

Suara ramah mesra mama mencecah lubang telinga ketika aku menatang dulang ke ruang tamu.

"Alhamdulillah mama, semua dah settle. Keluarga Edi dah uruskan semuanya. Mama dengan abah tinggal nak datang makan aje." Seloroh Hadif. Di hujung bicara, dia hanya tertawa pendek menyedari kelibatku mendekat.

Tanpa mengendahkan renungannya, aku mengatur cawan dan menuangkan minuman sebelum berlabuh duduk rapat di sebelah abah. Lengan sasanya kupeluk manja lalu merebahkan kepala ke bahu abah.

"Hisy, mana boleh macam tu. Masa majlis Qamelia hari tu, Edi rajin datang tolong abah dengan mama. Bila tiba giliran Edi, takkan abah dengan mama boleh tengok aje. Nak juga kami menolong apa yang patut..." Ujar abah. Sempat dia mempelawa Hadif menjamah hidangan.

"Tak apalah abah...Edi tak nak menyusahkan abah dengan mama. Biarlah keluarga Edi yang uruskan."

"Apa yang susahnya? Mama dah anggap Edi macam anak mama sendiri. Tak salah pun kalau mama nak tolong anak mama, kan?" Mama mencelah.

Abah mengangguk laju.

"Betul tu. Lagi pun bila lagi abah nak sibuk-sibuk uruskan majlis anak beranak. Nak tunggu anak dara yang seorang ni, entah bilalah. Orang lain dah berkepit dengan suami, dia masih berkepit dengan abah."

Sindiran abah menarik perhatianku. Terkelip-kelip wajahnya kupandang. Siapalah lagi anak daranya yang tinggal kalau bukan aku. Masakan Qais pula.

"Biarlah Sara nak berkepit dengan abah. Sara memang suka. Suami tu boleh cari kat mana-mana dan bila-bila masa aje. Tapi abah dengan mama, takkan ada pengganti. Betul kan mama?"

Senyuman manis tersungging di bibir mama. Redup sepasang matanya memancar rasa bangga. Kedudukan sebagai ibu diangkat setinggi-tingginya oleh anak yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari membibitkan perasaan terharu.

"Eh, Edi cakap nak bagi sesuatu pada abah dengan mama. Nak bagi apa?" Celah abah tiba-tiba persis hendak mengalih topik.

Hadif yang tertunduk pantas mengangkat muka melempar senyuman hambar. Sekejap sahaja bersabung pandang denganku sebelum menumpukan perhatian pada beg kertas di atas meja. Beg itu ditolak sopan ke arah mama setelah dia mengeluarkan dua keping sampul berwarna putih.

"Edi ada belikan baju untuk mama dengan abah. Bolehlah mama dengan abah pakai masa majlis kat rumah keluarga Edi nanti." Ujarnya perlahan. Seketika dia membelek sampul surat di tangan sebelum meletakkan kedua-duanya di atas meja. Satu diunjukkan pada abah dan satu lagi diberikan padaku.

"Ni kad undangan...satu untuk mama dengan abah dan satu untuk Qaisara..."

Sama sepertiku, abah dan mama saling pandangan bertukar rasa aneh yang mengganggu fikiran masing-masing. Pelik kerana Hadif memberikan dua kad undangan yang sama untuk kami sekeluarga.

"Wah, sampai dua kad! Banyak betul bajet pengantin nak bagi kad banyak-banyak." Sambut mama lalu mencapai kad yang diletakkan di hadapan abah, mengundang tawa kecil Hadif. Tidak bertangguh dia terus membuka sampul lalu dikeluarkan kad berwarna kuning keemasan.

"Hemmm...sedap nama pengantin perempuan. Dayang Adini..."

Hadif tersenyum sipu mendengar pujian mama.

Di luar sedar, lama anak matakutertunak ke laman wajah Hadif. Tidak semena-mena lukisan kebahagiaan ditampangnya membibitkan api cemburu.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now