Part 2

3K 99 2
                                    

DERINGAN telefon bimbit kubiar mati sendiri. Sengaja aku melambat-lambatkan ayunan kaki, membuat pemanggil di hujung talian ternanti-nanti. Biar dia dicuit resah. Suka aku membayangkan betapa kelam-kabutnya dia memikirkan keberadaanku. Kebimbangan tidak langsung mampir di hati kalau-kalau dia melenting. Malahan nada suaranya yang marah-marah sayang mendamaikan laman jiwa. Pujuk rayunya mengirim sejuta bahagia. Sepasang bibirku membunga senyum.

Pantas telefon bimbit kucapai tika deringan seterusnya kembali memenuhi ruang bilik tidur. Memerhati nombor tidak dikenali tertera di skrin menumbuhkan hairan dan perasaan bersalah. Sangkaku Aariz yang menelefon. Janjinya dia akan segera menghubungiku sebaik sahaja tiba di KLIA. Rindu bermukim di dada selepas dua minggu tidak bersua kerana dia perlu mengikuti kursus di luar negara.

Menyedari tiada kesempatan untukku meladeni rindu, talian segera kusambung dalam ketidakpastian. Sedikit berdebar rasa hati. Entah siapalah yang menghubungi. Tak mampu kuusir gusar dan gelisah yang bertandang. Bimbang jika individu di hujung talian menyampaikan berita yang tidak enak di pendengaran.

"Sampai hati tak jemput aku pergi wedding kau! Dulu berjanji macam nak rak! Cakap itu, cakap ini. Alih-alih kahwin tak jemput aku! Betul-lah kau ni suka tanam tebu di tepi bibir!"

Aku tergamam diterjah suara nyaring di hujung talian sebaik sahaja salamnya kujawab. Sejenak aku terpinga-pinga sebelum menajamkan telinga cuba mengecam suara pemanggil yang tidak aku kenali itu. Lagaknya 'menyemburku' seperti sudah lama saling mengenali.

"Err..." Aku kehilangan idea hendak memberi reaksi. Tiada ketemu patah bicara yang sesuai untuk kuluah menyambut kata-katanya.

"Sara, ni akulah!" Bagai dapat mentafsir kebisuanku, pemanggil di hujung talian memperkenalkan diri tetapi dalam berteka-teki, mengerah otakku mencari jawapan.

'Akulah siapa?!' Aku menggetus marah namun di dalam hati sahaja. Tidak wajar pula kalau aku hendak memulangkan soalan dalam nada suara yang sudah tentu akan menyingkap diriku yang sedang mendongkol geram dibiar tertanya-tanya. Selebihnya kerana aku mahu menjaga air mukanya. Pasti tidak tertanggung rasa malu bila aku yang disembur 'kaw-kaw' tidak langsung mengenali dirinya.

"Hoi, sampai hati kau lupakan aku! Kawan apa macam ni!" Bentaknya di hujung talian tika aku masih beku.

Tinggi suaranya bernada rajuk segera mengheret ingatanku pada seseorang yang telah lama sepi dari kamar hatiku. Mulutku sedikit terbuka menzahirkan rasa terkejut dan tidak percaya kala wajahnya menjelma di layar minda.

"Aimi!" Panggilku dalam teruja.

"Hemmmm..."

Dingin sahaja Aimi menyambut. Pasti dia agak terkilan kerana agak lambat juga aku hendak mengecamnya. Ah, bukan salahku mengambil masa yang lama mahu mengenalinya. Dia yang menghilang tanpa berita. Sejak menamatkan pengajian dia langsung menyepi. Hubungan kami terus terputus selepas dia bertukar nombor telefon tanpa memaklumkan padaku. Malahan semua akaunnya di media sosial seperti Facebook ditutup terus. Jadi dia tidak sepatutnya menjangka aku akan terus mengenali bila tiba-tiba dia menelefon selepas hampir tiga tahun dia lesap entah ke mana.

"Aku ingatkan siapalah tadi!"

"Kau ingat siapa? Abang senior penunggu bus stop tu ke?"

Beberapa detik berlalu sepi sebelum aku meledakkan tawa setelah akalku mencerna maksud kata-kata Aimi. Tak bertangguh ingatanku terbawa ke zaman kampus mencari figura insan yang Aimi sebut. Masih jelas terakam di bilah-bilah memori, seorang senior lelaki yang sering kali kami lihat bertugu bertangga di hentian bas pada setiap pagi ketika para pelajar terkejar-kejar hendak ke kelas. Meneliti dari cara pemakaiannya, aku tahu dia bukan hendak menghadiri kuliah. Jika tidak, masakan dia cuma menyarung sweater dan berseluar pendek bawah lutut sahaja persis orang baru bangun tidur? Mahu dikatakan berjoging, aku kira hentian bas bukanlah tempat yang sesuai untuknya.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now