Part 6

2.1K 84 7
                                    

DAHI berkerut mengikut telunjuk Qais menemukanku dengan figura seorang lelaki sedang termenung jauh menembusi kafe yang berdinding kaca. Pantas saraf-saraf otak bergerak menggali memori-memori lalu, mencari situasi dan waktuku bersama lelaki yang belum pernah kutemui itu. Namun seraut wajah tenangnya seperti pernah menjamah mata. Aku menarik nafas panjang sambil menghitung derap langkah mendekati mejanya. Tidak berniat membiarkan dia ternanti-nanti dalam resah.

"Awak nak jumpa saya?" Soalku serius sebaik sahaja berdiri bertentangannya.

Dia berpaling menala pandang tepat ke wajahku. 

Sejenak aku terpesona menentang sepasang matanya berbentuk kacang badam dihias alis yang melentik. Persis terpukau kurenung asyik sepasang anak mata coklat hazel, bening dan redup miliknya yang lengkap dengan kehadiran kening yang tebal dan hitam. Hidungnya mancung terletak. Kulit wajah bersih dan kemas meskipun bermisai dan berjambang agak lebat di sekitar rahang dan dagu. Rambutnya panjang ikal berombak di hujung dan mencecah bahu. Tarikan wajahnya membuatku tertegun beku.

Menyedari di mana kaki sedang berpijak, aku segera memalingkan muka mengalihkan fokus pandang. Hati diterjah malu kerana agak lama kami saling bertatapan. Bibir kuketap kuat, menyesali ketelanjuran diri yang begitu lepas laku. 

Ah, macam manalah aku boleh terleka?

Susah payah lelaki di hadapanku berusaha bangkit dengan bantuan tongkat ketiaknya. Terkelip-kelip aku memandang tanpa luahan kata-kata berunsur tegahan. Sebaliknya aku terpempan bila dia mempelawaku duduk seiring sekuntum senyuman.

"Hadif."

Hadif memperkenalkan diri sebaik sahaja kami sama-sama berlabuh duduk.

Aku membisu memerhati pergerakan tangannya menyandarkan tongkat ketiak di kerusi sebelah.

"Ada apa awak nak jumpa saya?" Meloncat persoalan dek tidak betah menahan asakan rasa ingin tahu.

Hadif tertawa perlahan. Lucu barangkali bila aku terang-terangan mempamerkan rasa tidak sabar.

"Awak Nur Qaisara?"

Anggukanku menjawab pertanyaan Hadif. Entah mengapa tiba-tiba sahaja aku berubah menjadi berat mulut. Puncanya tidak dapat kucari tetapi renungan tajam dari sepasang mata Hadif menambatku dalam resah dan gelisah.

"Saya datang nak minta maaf."

Resah yang melilit tangkai hati beransur hilang sebaliknya diganti hairan dan tanda tanya.

'Kenapa nak minta maaf?'

Begitulah soalan yang kulemparkan lewat pandangan. Aku nampak dia mengetap bibir sebelum menghambur keluhan berat.

Hadif tertunduk menekur jemarinya di atas meja mengabaikan persoalanku.

"Kalaulah hari tu saya...err..."

Bicara Hadif tergendala sewaktu Zamani mendekat meletakkan minuman yang dipesan dan segera beredar setelah menerima ucapan terima kasih.

Jika diikutkan rasa hati, ingin sahaja aku mengasak Hadif dengan persoalan demi persoalan yang menyarati ruang fikir. Namun keinginan itu kutekan dalam-dalam di lubuk hati kerana bimbang nanti dilabel manusia tidak tahu bersabar. Dalam usaha menghimpun sabar, kuperhatikan geraknya membawa tubir cawan ke bibir. Tingkahnya tenang meskipun rautnya keruh.

"Kalaulah benda tu tak jadi, awak takkan jadi macam ni."

Tak semena-mena dada diserbu debar tak menentu melempar renungan tajam tepat ke wajah Hadi yang tertunduk lesu. Hairan bergayut di lembah rasa mengusir seluruh damai.

"Saya rasa bersalah sebab jadi penyebab pada accident hari tu. Kalau saya drive betul-betul, benda ni takkan jadi. Err...dan awak..err..."

Sekali lagi bicara Hadif tertangguh menentang bola mataku yang mulai memerah dan berkaca.

Sesak dada menarik nafas yang tersangkut-sangkut. Di luar kawalanku peristiwa hitam kembali berputar di kepala bagai pita perakam. Jelas terbayang wajah cemas Aariz cuba melindungiku di saat-saat genting itu namun takdir mengatasi segalanya. Terlalu mahal nilai nyawaku hingga Aariz sanggup mengorbankan diri sendiri. Betapa tulus hati lelaki itu menumpahkan cintanya. Sedikit pun tidak wujud sekelumit ragu akan kasih Aariz kalaupun dia tidak mengorbankan hidupnya demiku.

Ya, baru kuingat! Hadif-lah pemandu kereta kedua yang dipandu secara bahaya itu! Dialah yang mengakibatkan kereta yang kupandu hilang kawalan!

Pandangan kabur ditakungi air hangat sebelum luruh ke pipi. Beberapa detik kubiarkan ia mengalir laju membasahi pipi sebelum kukesat dengan kertas tisu dalam genggaman. Renungan Hadi yang disarati perasaan bersalah membejat kesedihan yang menjalar di hatiku. Aku mengetap gigi menahan percik-percik amarah yang mula membakar nubari. Tajam renunganku menikam anak mata Hadi.

"Saya minta maaf Qaisara."

Berdesing cuping telingaku tika ungkapan maaf meresap ke gegendang. Aku merengus kasar lalu bingkas mengangkat punggung sambil menepuk meja.

"Kau ingat dengan minta maaf, kau boleh hidupkan Aariz?!!"

Terkulat-kulat Hadif menelan hamburan lahar amarahku yang sekian lama terbuku.

"Aku tak nak tengok muka kau! Jangan berani tunjuk muka depan aku!! Berambus!"

Dalam nada yang tertahan aku memberi amaran keras. Tidak betah bertahan di situ, aku terus mengangkat kaki meninggalkan Hadi yang terbius di tempat duduknya. Benciku padanya meluap-luap! Kerana dia aku kehilangan Aariz. 

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now