Part 17

1.9K 95 45
                                    

NAFAS kuhirup dalam. Cuba meredakan gelojak yang menghentam ketenangan. Berlainan benar perasaanku kala ini. Aturan langkah terasa bersemangat. Dada dibanjiri kuntum-kuntum bahagia. Dalam malu-malu, hati menginginkan pertemuan. Mengharapkan peluang bertatapan dengan jejaka yang selama ini dipandang sepi.

Senyuman nipis membugar di hujung bibir. Bayangan Hadif berwajah tenang menjelma di ruang mata. Gambar-gambar lama dan secebis nota bersama sepotong ayat menabiri jendela ingatan. Bait kata yang tersusun menggambarkan hasrat hati yang terpendam setelah sekian lama. Sejak kami berada di kampus lagi. Di penghujung tulisan, dia mengharapkan kesudianku untuk bersemuka dengannya.

Saya dah lama sukakan awak, Qaisara. Sejak zaman kita belajar. Kalau awak sudi, saya serius nak maknakan hubungan kita dalam ikatan yang sah. Kita jumpa pada 21/5/xx di kafe xx. Saya tunggu awak.

Tak semena-mena terlucut keluhan. Simpati menyeruak mengenangkan Hadif yang barangkali sendirian menanti kemunculanku di tempat dan tarikh yang dinyatakan tetapi tiada. Siapa suruh dia menggunakan pendekatan yang aku kira ketinggalan zaman? Hendak berutus-utus nota. Masing-masing hidup dalam dunia berteknologi. Mengapa dia tidak menghubungi terus?

"Nak tengok muka pun tak sudi, inikan pulak nak jawab panggilan Hadif?'

Sebahagian hati menempelak kasar membibitkan malu. Dek dendam yang tak bertepi, Hadif dibenci. Namun apa yang telah terjadi? Ke mana menghilangnya kemarahan yang tersimpan? Mengapa jiwa diusik bahagia apabila Hadif mengungkap cinta?

Ketukan di cermin memeranjatkanku. Melayang semangat yang tertinggal. Bubar bayangan Hadif diganti seraut wajah Qais yang serius.

"Dah kenapa duduk kat dalam kereta? Tak nak keluar ke?" Jengkel Qais menegur sebaik sahaja pintu dibuka.

"Kak Ngah nak turunlah ni." Bingkas aku meloloskan diri dari perut kereta. Sempat mencapai tas tangan dan mengemaskan baju kurung yang tersarung di tubuh.

Qais mencebirkan bibirnya.

"Nak dekat 15 minit duduk dalam kereta macam tak ada tanda-tanda nak turun. Sampaikan mama pun dah bising-bising, paksa Qais panggil Kak Ngah."

"Alah, macam tak kenal mama. Memang kecoh, kan?"

Qais berpaling dengan kening terangkat. Lagak tidak percaya mendengar butir bicaraku.

Senyuman sinis kutayang pada si adik.

Beriringan dengan Qais, kami mendapatkan mama yang berada di bawah khemah. Sedang asyik berbual dengan seorang wanita yang sebaya dengannya. Tidak nampak pula kelibat abah di situ. Kerinduan yang mendalam mendorongku mendakap tubuh mama tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang.

"Inilah Qaisara, anak saya yang kedua. Dia baru balik dari Langkawi. Mujurlah dia sempat datang ke mari sebelum majlis tamat." Mengelus mesra bahuku, mama memperkenalkanku kepada wanita di sebelahnya.

"Auntie Wati, ibu Hadif." Mama menjelaskan kekaburan yang terpantul di wajah.

Sepasang kening terangkat. Memercik teruja yang menerjah ke lembah rasa. Oh, jadi inilah ibu Hadif, bakal ibu mertuaku? Tanpa silu aku menggantung harapan yang masih jauh.

Senyuman paling manis kuhadiahkan pada Auntie Wati. Berharap wajah inilah yang menambat hatinya sebagai calon isteri untuk si teruna Hadif.

Agak lama anak mata Auntie Wati tertunak di mukaku persis sedang memperincikan sesuatu. Entah apalah yang bergerak di mindanya, tak terjangkau olehku.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now