Part 11

1.8K 74 6
                                    

BERENANG di tengah-tengah lautan seolah-olah menyerap seluruh tenaga meskipun hati meronta-ronta belum puas mahu melihat keindahan di dasar laut. Namun keinginan itu terpaksa kupendam memandangkan tubuhku mula menanggung kepenatan yang tak terungkap oleh bicara. Lalu perlahan-lahan kutinggalkan Kak Long yang ditemani Hadif meneruskan aktiviti snorkeling.

Bot kayu yang diikat berangkai tiga bagi mengelakkan hanyut dibawa ombak kuhampiri perlahan. Dengan kekuatan yang masih bersisa, tangga bot kupanjat penuh cermat. Bimbang kalau-kalau tergelincir semula ke dalam laut dek kaki yang licin.

Sambil membetulkan pakaian yang melekap ditubuh, aku berlabuh di tempat duduk yang tersedia menghadap Kak Long yang masih leka mencuci mata melihat keindahan dasar laut dari bahagian atas permukaan. Kali ini Kak Long sendiri tanpa kehadiran Hadif. Entah ke mana pula perginya lelaki itu. Mungkin dia terlalu asyik berenang ke bahagian lain sampai terlupakan Kak Long.

Kubuang pandang ke sekitar laut yang terbentang luas. Sayangnya, pemandangan indah dan permai ini bakal kutinggalkan. Percutian kami selama tiga hari dua malam menghampiri penghujungnya. Kenangan manis bertandang di sini tak mungkin kulupa meskipun kehadiran Hadif mencacatkan suasana. Mana tidaknya, ke mana sahaja kami pergi dia ikut serta. Kak Long pula berlebihan mempamer kesenangan hatinya apabila Hadif beria-ia mahu menemani.

Padaku kami berdua sahaja sudah cukup meriah. Tidak perlulah diundang insan ketiga yang tentunya membibitkan ketidakselesaan. Kalau pun mahu, sepatutnya Kak Long mengajak Qais ikut sekali. Tetapi suara-suara bernada protes hanya mampu membentak dalam sepi kerana aku sedar percutianku ditanggung sepenuhnya oleh Kak Long. Kiranya aku langsung tidak berhak hendak membantah-bantah keputusan Kak Long.

Marah, benci dan dendam yang mencengkamku tidak akan pernah surut biarpun Hadif rajin menemaniku dan Kak Long beraktiviti. Sepanjang masa kubiarkan kebisuan dan kebekuanku berterusan menghukum Hadif yang tidak jemu memohon kemaafan. Sekeping hati bagai tidak lut oleh ungkapan-ungkapan Hadif yang membawa maksud dia begitu mengharapkan kata keramat itu dari bibirku agar lepas beban rasa bersalah dari pundaknya. Apa sahaja yang dilakukan Hadif tidak mungkin akan mengembalikan Aariz ke dalam hidupku.

Ketika bayu laut berpuput lembut menampar kulit muka, seraut wajah tenang Aariz mampir di ruang mata. Senyuman di bibirnya menderu rindu.

Aariz! Panggilku dalam sepi. Kalau dulu dia selalu mengingatkanku untuk belajar-belajar menggunakan panggilan selayaknya untuk seorang suami yang sudah tentu menerbitkan senyuman maluku. Ledakan tawa galaknya seperti terngiang-ngiang di hujung telinga bila aku tergagap-gagap hendak menukar panggilan namanya. Suka benar lelaki itu melihatku kelam-kabut diburu malu. Ah, alangkah manisnya saat-saat itu.

Namun kini tiada lagi sahutan mesra menggoda Aariz yang membuai rasa. Aku kini sendirian melagu rindu dalam sendu. Tiada Aariz datang meredakan gelora jiwaku yang dipalu resah. Aariz telah pergi jauh meninggalkanku dihurung luka parah terperangkap dalam dimensi yang dipenuhi kenangan bersama yang sukar untuk kupadam dari ingatan. Pemergian Aariz menjanjikan ketidakpulangannya ke pangkuanku.

Oh, Aariz! Peritnya hati menanggung kasih dan rindu padamu yang kini lenyap dari pandanganku!

Sewaktu otakku berputar menayang satu per satu memori indah bersamanya, spontan bibirku bergerak perlahan mengalun sebuah lagu lama kegemaran Aariz.

A final song a last request,

A perfect chapter laid to rest,

Now and then I try to find a place in my mind,

Where you can stay,

You can stay awake forever,

How do I live without the ones I love?

Time still turns the pages of the books its burns,

Place and time always on my mind,

I have so much to say but you're so far away,

Sleep tight I'm not afraid,

The ones that we love are here with me,

Lay away a place for me,

Cause as soon as I'm done,

I'll be on my way,

To live eternally.

Tanpa sedar air mata merembes di pipi membasahi wajah. Sungguh, aku benar-benar mendambakan kemunculan Aariz bagi memadam api rindu yang marak menyala membakarku hampir lebih setahun! Aariz, Sara rindu...

"Ah, tak daya!"

Aku tersentak. Cepat-cepat jemari menyapu wajah menghapus si air mata. Tidak sedar jauh aku terhanyut dibawa ombak merentasi lautan duka. Wajah Aariz terbang melayang ketika menyedari di mana aku berada. Masih teguh di atas bot yang teroleng-oleng dilanggar sang ombak.

"Err..."

Suara garau lelaki berdiri tidak jauh dariku menarik perhatian. Lambat-lambat aku menoleh ke sisi. Amarah dan benci mencanak naik sampai ke kepala ketika bola mataku bertembung dengan renungan semacam milik Hadif. Lelaki itu terkaku berhampiran tangga bot. Pantas aku memalingkan muka seraya mengesat sisa tangisan. Dalam hati aku mengutuk kehadiran lelaki itu. Geram kerana dia muncul sewaktu diriku diseret kenangan-kenangan indah bersama Aariz hingga menitiskan air mata. Bodohnya aku kerana terlalai menyerlahkan kelemahan diri! Seingatku, ini kali kedua dia melihatku berhiba hati melayani sendu.

"Menangislah Qaisara kalau itu yang mampu buat awak tenang." Tuturnya perlahan setelah berlabuh duduk tidak jauh dariku.

Pujukan Hadif bukan meredakan gelojak kesedihan sebaliknya membangkitkan kemarahan. Aku merengus kasar. Reaksi sebegitu cukup untuk memaklumkan pada lelaki itu akan ketidaksenanganku dengan perhatiannya. Dia sepatutnya meninggalkanku sendiri setelah melihat keadaanku. Kalau pun bukan kerana rasa hormat padaku sekurang-kurangnya ingatlah tentang dendam yang merajaiku. Dia tidak berhak mencampuri urusan seseorang yang dikuasai kebencian terhadap dirinya sendiri.

"Bukan mudah untuk kita menerima kehilangan seseorang yang kita sayangi. Saya faham perasaan awak Qaisara."

Bibir kuketap kuat menahan geram. Bicara Hadif menjengkelkanku. Mudah mulutnya berkata itu dan ini sedang akulah yang menanggung bahana akibat dari kecuaiannya! Aku kehilangan Aariz kerana dia! Lupakah dia pada hakikat itu? Perlukah aku tampil untuk mengingatkannya sekali lagi?

Dia masih 'berkicau' di ketika perasaanku sedang mendidih. Rahangku bergerak-gerak menahan rasa yang bakal meletup bila-bila masa. Sakit hati, geram, marah, benci bercampur-baur menyesakkan dada.

"Saya yakin, masa akan menyembuhkan 'sakit' awak, Qaisara. Saya doakan semoga awak tetap tabah berdepan dengan takdir ALLAH."

Kesabaran senipis kulit bawang melayang entah ke mana tika aku mengalih renungan tajam menujah tepat ke wajah Hadif yang beriak tenang. Senyuman ikhlas yang terukir di bibir itu tidak berupaya memadam api kesumat yang menjulang dalam mataku.

"Diam! Kau tak tahu apa-apa tentang kehilangan!" Herdikku dalam nada suara yang tertahan. Diikutkan rasa sebal, ingin sahaja ditempelak pemuda tidak tahu malu itu namun mujurlah akal warasku masih berfungsi. Aku tidak mahu menarik perhatian penumpang-penumpang lain yang baru sahaja mendaki tangga bot.

Sekilas pandang kulihat senyuman Hadif berubah rentak. Keikhlasan beransur-ansur lenyap diganti kehambaran yang sukar kutafsir. Ada kesayuan yang terselit dalam redup pandangnya. Entah mengapa!

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now