Part 14

1.7K 84 8
                                    

AKU benar-benar ditakluki kesunyian dan kehilangan sejak Kak Long berpindah ke Perlis mengikut Abang Long yang bertugas di sana.Tiada lagi hilai tawa dan usik manjanya menemaniku. Telingaku kepingin mendengar celotehnya tentang ragam Abang Long yang gemar mengharu-birukan emosi. Aku rindu titipan nasihat dan mutiara katanya yang jarang sekali gagal membangkitkan motivasi dalam diriku. Kak Long! Seruku dalam himpunan rindu.

Seingatku, baru dua kali dia pulang ke rumah semenjak bergelar isteri orang. Tuntutan tugas Abang Long mengekang masa mereka berdua untuk berlama-lama di rumah. Mujurlah abah dan mama sangat memahami, tidak memaksa Kak Long pulang kerana tahu Kak Long kini berada di bawah tanggungjawab Abang Long.

Keadaan sudah tidak seperti dulu lagi. Aku juga bakal menyusul langkah Kak Long meninggalkan abah dan mama, mengikut errr...mengikut siapa? Wajah Aariz segera menerpa di tabir mata mencambah kuntuman rindu di pohon kasihku. Rindu yang tak mungkin surut lagi kerana pemiliknya sudah tiada.

"Haihhh!"

Kuat keluhan abah memancung lamunanku menghambat bayang Kak Long, Abang Long dan Aariz. Semerta anak mataku tertumpu pada abah yang pantas melipat akhbar di pangkuannya lalu meneliti skrin telefon pintar di tangan. Aku tidak pasti perkara apakah yang mengganggu tetapi aku dapat mengagak tentu ada berita-berita panas yang terpampang di dada akhbar menjengkelkannya.

"Kenapa abah?" Soalku mempamer keprihatinan. Sesekali aku ingin mengambil peranan Kak Long yang begitu cakna tentang abah dan mama. Itulah sahaja yang mampu dilakukan sebagai membalas jasa abah dan mama membesarkan kami adik-beradik.

Abah memanggung kepala melepas redup pandang tepat ke mukaku. Namun kebisuannya menumbuhkan tanda tanya.

"Abang dah call Edi?"

Mama muncul meletak minuman panas di atas meja di tengah-tengah ruang tamu. Sopan dia menuang air ke dalam cawan lalu dihulur pada abah yang tetap membisu.

Bibir kuketap perlahan tatkala perasan kedua-duanya bermain mata seolah-olah ingin menyembunyikan sesuatu.

Aku berpura-pura tidak nampak ulah abah dan mama yang meresahkan. Minuman dan cekodok pisang kuambil sambil merenung kosong ke kaca televisyen yang sedang menyiarkan rancangan Assalamualaikum. Entah apalah yang dibualkan pengacara tidak terdengar olehku kerana fikiran lebih tertumpu pada reaksi abah dan mama.

Kemunculan Qais mengubah arah suasana dari sepi menjadi riuh. Selamba dia merebahkan kepala ke pangkuan mama. Sifat manja masih kekal dalam diri Qais biarpun dia kini sudah menjejak langkah ke alam universiti. Hatiku dijentik cemburu bila ringan sahaja tangan mama membelai rambut anak bongsunya.

"Kenapa Abang Edi dah lama tak datang ke rumah?" Soal Qais entah kepada siapa tetapi tentulah kepada mama atau abah kerana dia maklum tentang sengketa yang wujud antara Hadif denganku.

Sekali lagi abah dan mama saling berpandangan sebelum wajah kelatku menyapa mata.

Aku semakin penasaran, tercari-cari punca abah dan mama berlaku aneh.

"Rasanya dah lama Abang Edi tak datang ke sini. Paling last pun masa Kak Long kahwin." Qais masih menghurai tanda tanya di kepalanya.

Aku mencebik bibir persis tidak terkesan langsug dengan persoalan yang dibangkitkan. Walhal hatiku pernah diketuk pertanyaan serupa. Timbul juga rasa ingin tahu bila Hadif tidak lagi muncul menunjukkan muka sejak tamatnya majlis perkahwinan Kak Long tiga bulan lepas. Aku berandaian mungkin sesuatu telah berlaku hingga menghalang niat Hadif bertandang ke rumah kami seperti biasa.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now