Part 7

2.1K 87 0
                                    

AKU merengus kasar. Belakangan ini nama Hadif kerap meniti di bibir Qais. Hakikatnya bukan Qais seorang tetapi abah, mama dan Kak Long juga menyenangi kehadiran pemuda kejam yang telah meragut nyawa kekasihku itu! Hairan dan bingung merajai fikiran setiap kali teringatkan tindakan abah, mama, Kak Long dan Qais. Kenapa mereka masih berlaku baik dengan pemuda tempang bertongkat satu itu biarpun telah kuterangkan berulang kali akan statusnya?

Hadif bukan sesiapa! Dia hanyalah pemusnah hidupku! Kemunculannya merobek dada menambah lara yang sedia ada! Dia merampas Aariz!

Namun hasutan dan provokasiku tak ubah seperti mencurah air ke daun keladi. Gagal meracuni fikiran ahli keluarga. Sebaliknya ungkapan nasihat yang hampir sama disua abah dan mama ke telinga.

"Sudahlah Sara, belajarlah terima hakikat. Aariz dah tak ada. Anggaplah pemergian Aariz adalah satu ujian dari ALLAH kerana hendak menduga keteguhan iman Sara. Sara sepatutnya bersyukur kerana Sara dipilih oleh ALLAH daripada jutaan hambaNya untuk melalui ujian istimewa ini. ALLAH menyayangimu, nak."

Begitulah nasihat abah sambil merangkul tubuhku erat ke dalam dakapannya. Nadanya lembut memujuk, mendamaikan segenap rasa namun tidak mampu menjinakkan suara protes di hatiku. Mudah abah melempar bicara kerana abah tidak mengerti akan kesakitan yang sedang kutanggung!

"Sara tak boleh terus-terusan salahkan Hadif. Bukan Hadif yang sengaja nak membunuh Aariz. Sara kena ingat, ALLAH itu sebaik-baik perancang. Hadif hanyalah penyebab. Kalau pun bukan Hadif yang menyebabkan kemalangan, Aariz tetap akan pergi di hari dan waktu yang sama. Sebab ALLAH dah tetapkan segalanya, sayang. Sara kena reda." Mama turut memainkan peranan. Belakangku diusap penuh kasih, berharap sentuhannya dapat meredakan gelora rasaku.

Sungguh hingga ke saat ini aku masih tidak mengerti sikap abah, mama, Kak Long dan Qais. Untuk apa Hadif dilayan sebaik-baiknya sedangkan dia sudah meremukkan hatiku! Kalau benar dia dibebani perasaan bersalah, cukuplah sekadar datang menemuiku seorang, memohon kemaafan walaupun hal itu sukar untuk kuberi dengan hati tulus ikhlas. Buat apalah dia berkunjung ke rumahku memancing simpati darah dagingku? Jika dia fikir dengan berbaik dengan keluargaku dapat melenturkan dendam dan benci kesumat di dadaku, dia silap!

Aku terkejut bukan kepalang menerima kunjungan Hadif ke rumah buat julung-julung kalinya pada tahun lepas. Gagal menemuiku di kafe jadi dia sanggup mencariku hingga di rumah. Diikutkan perasaan terkejut dan hati yang panas, mahu sahaja aku menyembur lahar dendam yang menggelegak di kepala. Namun amarahku tertangguh bila abah dan mama mempelawa lelaki itu masuk ke dalam rumah tanpa usul periksa. Malah mereka berdua tenang-tenang sahaja tika Hadif menerangkan sebab musabab kemunculannya.

Kecewa dan hampa berganda-ganda bila abah yang kuharap mempertahankan tindak-tanduk anak gadisnya bersungguh-sungguh mengajak Hadif bertandang ke rumah lagi. Kini hubungan mereka begitu akrab. Jika tidak masakan dia tanpa silu menyertai kami sekeluarga makan malam. Sesekali abah mengajak Hadif tidur di rumah. Mujurlah lelaki itu bijak menolak. Tentu dia tidak selesa dengan renunganku yang tajam berbinar persis mata helang yang hendak menerkam mangsanya.

Aku tidak kisah kalau dia hendak mengatakanku sombong dan tidak berhati perut. Aku langsung tidak pernah mengumpamakan kewujudannya apatah lagi pedulikan perasaannya.

"Kenapa, Kak Ngah?"

Suara Qais yang tenang memandu menghambat lamunanku. Aku menoleh sekilas pada sisi wajahnya sebelum mengembalikan fokus anak mata ke arah jalan raya. Aku sekadar menggedik bahu, memilih untuk memendam tanda tanya dan rasa tidak puas hati sendiri. Lebih baik begitu daripada nanti Qais dengan mudah mematahkan petah bicaraku membela Hadif. Bukan aku tidak tahu hubungan akrab yang terjalin antara mereka semenjak Hadif menjejakkan kaki ke kafe. Bila sudah lelaki itu kutinggalkan terkulat-kulat menelan hamburan kata-kata kesatku, Qais tampil memperkenalkan diri melunakkan semula hati insan yang telah kulukai.

"Tengok muka Kak Ngah berkerut macam ni, mesti teringatkan Abang Edi. Kak Ngah masih marahkan dia?"

Aku mendengus kuat. Sekali lagi Qais berani menyebut nama lelaki yang kubenci itu di hadapanku. Nampak gayanya amaran dan ugutan yang kupahat ke ingatannya telah hilang melayang.

"Jangan sebut nama dialah! Kak Ngah tak suka!" Bentakku garang.

Lagi-lagi Hadif! Lagi-lagi Hadif! Dah macam tak ada orang lain dalam dunia ni! Omelku dalam diam. Entah bagaimanalah nama Hadif boleh berubah menjadi Edi pun aku tidak tahu. Ah, tidak kuasa aku hendak bertanyakan pada Qais tentang itu.

"Tak suka sebab Kak Ngah fikir Abang Edi yang jadi penyebab Abang Aariz meninggal dunia?" Lancang bicara Qais melompat dari dua ulas bibirnya menyakitkan hatiku.

Didorong geram yang membekam di dada, jelingan tajam kuhadiahkan pada si adik yang rela hati mengorbankan masa dan tenaga menemaniku ke mana sahaja semenjak pemergian Aariz. Kemalangan ngeri yang meragut nyawa insan kesayanganku turut sama merampas keberanian dan kemahiran memanduku. Takut dan kecut menguasaiku setiap kali memegang stereng. Aku fobia! Mujurlah Qais dengan senang hati menerima arahan abah menjadi 'pemandu dan pembantu peribadiku' sementara dia menanti panggilan kemasukan ke universiti seusai dia menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Lalu terpaksalah kubiarkan Mini Cooper S berwarna kuning yang kugelar Bumblebee itu jatuh ke tangan Qais buat sementara waktu. Sengaja kupilih nama itu sempena mengingati watak kegemaran Aariz di dalam filem Transformers. Ah, Aariz!

"Sudahlah Kak Ngah, berhentilah meratap pemergian orang yang dah tak ada. Lebih baik Kak Ngah fikir tentang hidup Kak Ngah yang terumbang-ambing tu." Tutur Qais selamba tanpa berpaling.

"Habis tu, Qais rasa Kak Ngah tengah buat apa sekarang?" Bidasku geram. Bercakap dengan Qais memang mencabar kesabaranku yang tak seberapa. Mujurlah dia adik kandungku satu-satunya. Jika tidak sudah lama tapak tanganku melekap di pipi licinnya.

Mulutku berdecit kuat ketika Bumblebee menjalar masuk ke halaman rumah. Sepasang mataku tertancap ke arah Perodua Myvi putih yang sangat kukenali. Dia datang lagi! Rungutku geram namun di dalam hati sahaja. Tidak mahu Qais menangkap rasa tidak senangku.

Aku tidak jadi hendak menolak pintu ketika Qais menahan, memaut lembut lenganku. Dahiku berkerut menentang bola matanya yang bersinar-sinar.

"Kak Ngah, lepaskanlah kenangan semalam. Berilah peluang untuk hati Kak Ngah mencipta kenangan baru." Jemari Qais mendarat di kulit pipiku. Mengelus lembut mengalirkan kasih seorang adik. Terkebil-kebil aku menatap laman wajahnya yang bersih. Hairan berlumba-lumba di dada.

"Qais sayang Kak Ngah, Qais nak tengok Kak Ngah gembira." Kali ini jemariku digenggam erat sebelum dia menyambung bicara.

"Kak Ngah, cinta tak semestinya bersama. Kasih tak bererti memilikki. Sebab tu pujangga mengatakan cinta tak semestinya bersatu dan cinta tidak membelenggu tetapi membebaskan."

Kolam mataku berkaca ditakungi air jernih. Terharu melihat sikap prihatin yang dipamerkan Qais. Sebagai menzahirkan rasa menghargai, aku membalas genggaman jemarinya.

"Tapi bukan mudah untuk Kak Ngah dik. Bukan senang untuk melepaskan seseorang yang kita sayangi..." Luahku dalam sendu. Hakikatnya begitulah rasa yang menghuni di lembah hatiku. Sukar sekali untuk kubuang Aariz dari ingatan. Bayangan Aariz merantaiku walau di mana aku berada.

"Kalau macam tu, Kak Ngah tak cintakan arwah Abang Aariz tapi Kak Ngah cintakan diri sendiri!" Selar Qais dalam nada suara yang agak tinggi menghantar kejutan dalam diriku. Sengaja dia menekankan perkataan 'arwah' dengan harapan dapat menyedarkanku dari terus terbelenggu dalam percintaan sehala yang tidak bermakna. Terpinga-pinga aku membalas renungan matanya yang bersinar tajam.

"Kak Ngah pentingkan diri sendiri! Kak Ngah tak nak lepaskan arwah Abang Aariz sebab Kak Ngah pentingkan diri sendiri! Kak Ngah langsung tak fikir tentang perasaan abah, mama, Kak Long dan Qais! Kak Ngah tak pernah ambil tahu tentang hati kami yang terluka dan bersedih bila tengok Kak Ngah terus-terusan menyeksa diri sendiri! Kak Ngah langsung tak pedulikan kami yang betul-betul sayangkan Kak Ngah! Baru sekarang Qais sedar, bagi Kak Ngah arwah Abang Aariz lebih penting daripada abah, mama, Kak Long dan Qais! Terima kasih sebab sedarkan Qais, Kak Ngah!" Sejurus menghamburkan amarah yang tidak kuketahui hujung pangkalnya, Qais bergegas keluar meninggalkanku terbius sendirian meladeni air hangat yang semakin laju merembes di pipi.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now