Part 9

1.7K 80 0
                                    

PERTEMUAN dengan Aimi hari ini membongkar satu rahsia yang tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidupnya. Selama menghilang rupanya gadis genit berkulih putih mulus itu menanggung derita sendirian. Kini terjawab sudah segala tanda tanya yang pernah menyendati ruang fikirku dulu.

Menginjak kaki di universiti, Aimi mengenali Zafri, senior dua tahun lebih tua dari kami. Seingatku hubungan mereka berjalan dengan lancar hingga adakalanya menerbitkan cemburu di hatiku. Apa tidaknya, Zafri terlalu prihatin akan kebajikan Aimi tidak kira di mana. Namun segala kebaikan Zafri terhapus diganti sikap bengis, cemburu buta dan panas baran sejak dia memasukki alam pekerjaan. Waktu itu aku dan Aimi berada di tahun akhir pengajian. Kalau boleh setiap saat lelaki itu mahu menghubungi Aimi sampaikan Aimi naik rimas. Acap kali juga aku diseraya menjawab panggilan Zafri bagi pihak Aimi. Katakanlah apa jua alasan yang terlintas di kepala, asalkan Zafri berhenti mengganggu walau seketika.

"Orang bila dah sayang sangat, macam tulah jadinya. Gila bayang!" Usikku setiap kali Aimi merungut geram dengan sikap Zafri.

"Sayang apa! Tu bukan gila bayang tapi gila talak!" Begitu pula sambutan Aimi.

Tidak sanggup bertahan lagi, Aimi mengalah. Berkali-kali dia mengugut untuk memutuskan hubungan jika Zafri berterusan mengasaknya. Pada awalnya memang Zafri mengukir janji mahu berubah namun sekejap sahaja perubahan itu berlaku. Sudahnya Aimi mengotakan ugutannya, mengakhiri hubungan cinta mereka tanpa berfikir panjang. Dengan itu, Aimi berharap ketenangan menjengahnya namun sebaliknya yang terjadi.

Zafri seperti orang gila, nanar mencari Aimi hingga sanggup menjejakki gadis itu ke rumahnya. Tidak gentar, Zafri mengugut untuk menyebarkan gambar bogel Aimi yang telah diedit jika Aimi berani mengabaikannya. Aimi yang ketakutan terpaksa mengalah, akur pada kehendak lelaki itu. Namun sekejap sahaja hubungan mereka bertahan sebelum Aimi mengadukan masalah itu kepada bapanya. Hendak melaporkan pihak polis, bapanya bimbang kerana mereka tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengheret Zafri ke muka pengadilan. Lalu, bapa Aimi bertindak mengupah penyiasat persendirian untuk mencari bahan bukti demi menyelamatkan maruah Aimi.

"Habis tu, macam mana sekarang?" Soalku memintas Aimi yang tenang berkisah.

"Kes ni hampir selesai tapi Abang Edi pulak yang terlibat dalam accident. Tapi alhamdulillah, setakat ni Zafri dah tak berani kacau aku." Ujar Aimi mengukir senyuman manis.

Aku mengangguk sambil menggenggam erat jemarinya mengalirkan kekuatan. Semoga gadis itu tabah menghadapi ujianNya.

"Bahaya betul lelaki zaman sekarang. Nampak baik rupanya..." Sengaja aku tidak menyudahkan kata, membiarkan Aimi menyambung sendiri.

Aimi mengangguk laju.

"Betul! Sebab tu kita orang perempuan tak boleh mudah tertipu dengan luaran mereka. Asal handsome aje cakap dia baik. Asal muka pecah rumah aje kita cakap dia penjenayah."

"Hemm..." Aku menggumam cuma. Beberapa detik berlalu, sepi mengisi ruang.

"Ohh, aku nak kenalkan kau dengan Abang Edi! Kebetulan pula aku datang sini memang nak jenguk Abang Edi. Jom!" Teruja Aimi mengajakku.

Dahiku berkerut menggeleng laju.

"Hisy, aku tak boleh tinggalkan kafe." Aku beralasan menolak cadangan Aimi. Untuk apa aku berkenalan dengan orang yang dimaksudkan Aimi sedangkan aku tidak mempunyai sebarang urusan melibatkan penyiasat.

"Alah...kalau macam tu aku ajak Abang Edi datang ke sinilah. Kau mesti terkejut bila jumpa dia nanti."

Aku hanya menggelengkan kepala.

"Apa sajalah Aimi, asalkan kau happy."

Tiba hari yang dijanjikan, aku terpaksa membatalkan pertemuanku dengan Aimi di saat-saat akhir kerana terpaksa menemani Kak Long ke Pulau Redang. Sepatutnya Kak Long bertolak ke Terengganu dengan kawan sepejabatnya tetapi temannya juga terpaksa membatalkan rancangan mereka kerana anaknya diserang demam panas. 

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now