Part 4

2.1K 88 8
                                    

"AARIZ kena pergi jauh. Janji dengan Aariz, Sara akan jaga diri." Renungan Aariz menujah mataku menyerlahkan kasih yang bermukim di dadanya. Senyuman manis terlorek indah di dua ulas bibirnya meresapkan kedamaian di hatiku.

Aku menggeleng, memberi isyarat kepada Aariz supaya jangan pergi. Aku tidak ingin ditinggal bersendirian. Langkah kuatur menghampiri. Namun belum pun sempat jemarinya kucapai, dia menapak ke belakang menjauh dariku.

"Aariz." Bibirku bergetar. Kolam mataku berkaca melihat kekasih hati cuba mengelak.

"Sara jaga diri." Aariz menitip pesan sebelum bayangnya hilang ditelan kabus tebal.

"Aariz!" Langkahku dihayun laju mengejar Aariz yang hilang entah ke mana. Melingas aku mencari tetapi tiada ketemu.

"Aariz!!" Jeritku lantang berharap lelaki yang kucintai muncul semula.

"Aariz!!" Tidak jemu namanya melantun dari mulutku. Namun Aariz tetap tidak menampakkan diri. Lelah mengejar aturan langkahku mulai perlahan. Awan nan cerah tiba-tiba berubah gelap menenggelamkan sinar mentari. Kakiku bagai terpaku di tanah dek cahaya yang terbatas.

"Aariz..." Panggilku perlahan lalu terduduk lesu di atas tanah seiring hujan yang merintik kasar. Tak dapat kutahan lelehan mutiara jernih di pipi bersama curahan air dari langit. 'Aariz, jangan tinggalkan Sara.' Rintihku dalam sendu dan pilu.

"Qaisara."

Sentuhan lembut di jemariku mengalirkan kehangatan ke dalam tubuh. Beberapa suara saling meningkah mengganggu ketenangan. Perit mencucuk-cucuk ketika aku memaksa untuk membuka mata. Baru sedikit terbuka namun kembali kupejam rapat diterjah cahaya terang yang menerobos ke dalam mataku.

"Nur Qaisara!"

Panggilan suara garau itu sekali lagi memaksaku membuka mata. Sejenak aku terkelip-kelip, membiasakan mata dengan cahaya yang tersimbah di ruang kamar yang cukup asing bagiku. Seraut wajah cemas hadir di pandangan. Seseorang yang sangat kukenali. Abah!

"Khalida, Qaisara dah sedar!" Abah memanggil mama yang beku di tempat duduk di sisi katilku.

"Qaisara, anak mama!" Mama menerpa dengan riak cemas. Erat genggamannya di jemariku.

"Alhamdulillah! Qais, panggilkan doktor!" Gesa abah selepas mengalun lafaz tahmid berulang kali.

Pandangan abah dan mama yang mengujakan kubalas dengan renungan kosong. Sekejap sahaja kami saling berbalas pandang sebelum aku kembali memejam mata. Tidak kupedulikan kekecohan di sekitarku. 

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now