Part 12

1.7K 83 6
                                    

MENJELANG majlis perkahwinan Kak Long, rumah kami dipenuhi riuh tawa sanak-saudara. Aku juga tidak terkecuali menyibukkan diri membantu bermacam kerja. Aku lihat mama tidak menang tangan. Mana hendak menjengah hantaran, pelamin, meja makan beradab, mana nak tengok orang merewang. Kalut sungguh dia sama macam abah yang sejak siang tadi membantu orang-orang lelaki mendirikan kanopi. Mungkin beginilah kemeriahan yang sepatutnya menghiasi detik-detik akhir sebelum aku dinikahi Aariz.

Terkenangkan hal itu keluhan berat melewati bibir. Sudah dua tahun Aariz pergi meninggalkanku terkapai-kapai sendirian mencari kasih yang hilang. Pun begitu, kenangan demi kenangan bersamanya seperti masih basah di ingatanku. Segar-bugar tanpa dapat kulupa walau sekelumit.

Masa yang berlalu tidak mengubah apa-apa. Hati dan perasaanku tetap teguh milik Aariz. Tak mungkin beralih pada sesiapa meskipun ada sahaja rombongan yang datang merisikku. Semuanya kutolak mentah-mentah tanpa berfikir panjang. Aku tidak rela dan tidak bersedia untuk memadam cintaku pada Aariz. Aku tidak mahu kehilangan lelaki itu walau pada zahirnya sudah lama dia pergi meninggalkanku.

"Kak Ngah ni asyik termenung aje! Mama suruh Kak Ngah tolong dia kat dapur tu."

Suara Qais segera mengembalikanku ke alam realiti. Sorot mataku mengikut arah muncung mulutnya yang menghala ke arah mama yang sibuk membasuh pinggan mangkuk di singki. Hendak tak hendak aku bangkit juga meringankan tulang menolong mama. Menjalar simpati terpandangkan raut mama yang kian dimamah usia.

"Biar Angah tolong mama."

Mama segera memberi laluan untukku menghabiskan basuhan selepas dia mencuci tangan. Riuh mulutnya membebel ketika anak-anak kecil merangkap sepupu-sepupuku saling berebut bilik mandi di dapur. Pantang benar bagi mama kami membuat bising menjelang waktu maghrib.

"Mandi seorang-seorang, jangan berebut. Jangan risau, semua boleh mandi."

Aku ketawa kecil melihat gelagat mama persis guru tadika yang berusaha menenangkan anak-anak muridnya.

"Tak boleh Mak Long! Nanti papa tinggal pergi masjid!" Tukas Danial berwajah polos. Anak kecil bertubuh montel berusia tujuh tahun itu nampak tidak sabar benar hendak menerjah masuk ke dalam bilik mandi walaupun masih ada seseorang di dalam.

"Itulah, awal-awal tak nak mandi. Sekarang dah berebut." Omel mama sebelum dia menyuruh beberapa anak kecil yang patuh beratur itu berpecah ke biliknya, bilikku dan bilik Qais. Aku hanya menggeleng melihat tingkah lucu mereka. Tak kira lelaki baik perempuan, semua sama naik hendak mandi.

"Kak Sara, tengoklah tu! Danial mandi lama!" Adu Umairah yang setia berdiri di hadapan bilik air. Razin di belakangnya terangguk-angguk.

Aku menebarkan pandangan ke sekitar ruang dapur. Tiada sesiapa kecuali aku, Umairah, Razin dan Danial yang sedang mandi. Yang lain sudah menerpa ke bilik air yang berkembar dengan bilik tidur. Mak Ngah Zalida dan Mak Su Ani pasti sudah bersiap-siap untuk bersolat. Mujurlah aku 'cuti', jadi tidak perlulah aku turut sama berasak-asak sekali.

Aku menghampiri pintu bilik air sebelum diketuk perlahan.

"Danial, janganlah mandi lama sangat. Kesian Kak Umairah dan Razin tertunggu-tunggu ni."

"Alah, sekejaplah! Danial nak syampu rambut." Jawab Danial membuatkan Umairah dan Razin mengeluh.

Terbit simpatiku melihat dua wajah kebosanan di hadapanku.

"Okey, Kak Sara bagi masa dua minit. Kalau Danial tak keluar, nanti Kak Sara usik."

"Eleh, Danial tak takut!" Pantas sahaja anak itu menjawab.

Aku menggeleng kepala sambil kembali ke singki untuk menyudahkan basuhan. Dua minit berlalu namun Danial masih berada di dalam bilik mandi. Sementara tercari-cari idea, aku mencapai kain bersih untuk mengelap pinggan mangkuk sebelum di susun di atas rak.

"Danial, nak tahu tak? Dalam bilik air tukan, ada..."

Belum sempat aku menyambung cerita, Danial terjengul keluar. Aku dihadiahi jelingan tajam menggambarkan rasa tidak puas hati. Laju sahaja dia bergegas ke ruang tamu membiarkan Umairah masuk ke dalam bilik air meninggalkan Razin menunggu di luar.

Aku hanya tersengih lucu.

"Sara, Mak Lang tumpang solat dalam bilik kamu, boleh?"

Aku pantas menghampiri Mak Lang Zizah, membawanya ke bilikku. Telekung dan sejadah kuletakkan di atas katil setelah menunjukkan arah kiblat. Sempat aku mengemaskan kamar mandi yang sedikit kacau-bilau diterjah anak-anak kecil yang berebut mandi tadi.

"Sara masih teringatkan arwah Aariz?"

Aku tersentak dihentak pertanyaan begitu ketika melangkah keluar dari bilik mandi. Bibir kuketap kuat mengerling bingkai gambar di tangan Mak Lang Zizah. Gambarku bersama Aariz di hari pertunangan kami yang kudakap setiap malam buat pengubat hati yang merindu.

Menyedari dia tidak sepatutnya mengusik barang-barang peribadiku, Mak Lang Zizah meletakkan kembali bingkai gambarku di atas katil.

"Mak Lang bukan nak menyibuk, Sara tapi Mak Lang tak sanggup tengok kamu terus-terusan hidup mengejar bayang."

Tiada lain yang mampu kusua selain senyuman kelat. Kesabaran yang tak setara mana cuba kuhimpun satu per satu. Rasa hormat pada ibu saudara masih menguasai. Mak Lang Zizah bukan Hadi, yang boleh ditempelak, dibentak-bentak dan titipan nasihatnya boleh kupatahkan dengan mudah. Beralasan mahu menyambung pekerjaan yang tertangguh, aku kembali ke ruang dapur. Malas mahu mendengar nasihat-nasihat yang lebih kepada hendak menyalahkanku yang berterusan mengenangkan Aariz.

Razin kembali berdiri di depan pintu bilik mandi setelah mengambil pakaian baru untuk ditukar. Dahiku berkerut teringatkan Umairah yang belum keluar. Lama betul anak itu bersiram! Didorong simpati pada Razin, aku mengetuk daun pintu bilik air.

"Umairah, janganlah mandi lama sangat. Kesian Razin ni."

Senyap. Tiada sahutan.

"Kalau Umairah mandi lama nanti momok datang." Ujarku dalam nada mengusik.

Razin tersengih-sengih melihat tingkahku.

Sepi. Tiada reaksi.

Bertalu-talu ketukanku tetapi Umairah langsung tidak menyahut. Dahiku berkerut.

"Umairah tak takut ke momok datang? Eiii, Kak Sara takut. Razin pun takut ni." Pancingku lagi. Menjelang beberapa saat kemudian barulah terdengar suara dari dalam. Aku mengeluh lega lalu melempar senyuman pada Razin.

Namun senyumanku terus mati tatkala anak mataku bertaut dengan pandangan lelaki berbaju T dan berkain pelekat abah.

Hadif!

Semerta wajahku membahang teringatkan usikan demi usikanku tadi.

Ah, sangkaku Umairah di dalam!

"Err...sorry tak menyahut tadi sebab saya tengah ambil wuduk. Tak tahu pulak Razin tunggu nak mandi sebab waktu saya masuk tadi tak ada orang pun."

Wajahku masam mencuka. Jelingan tajam kuhadiahkan pada Hadif yang mengusap-usap kepala Razin sambil memohon maaf kerana membuat anak kecil itu tertunggu-tunggu.

Kekasih Semalam [TERBIT]Where stories live. Discover now