Isterinya Jadi Kelip-kelip

1.2K 32 0
                                    


Dengan nada suara yang keras datuk menyuruh saya membakar sumbu pelita yang padam. Seluruh ruang rumah terang. Uda Lodin masih terpaku dekat dinding rumah. Saya lihat Uda Lodin membongkokkan badannya sambiI menekan perut.

"Kau sedar apa yang berlaku?", tanya datuk pada lelaki yang baru sedar dari tidur.

Lelaki itu gelengkan kepalanya beberapa kali. Datuk pun menceritakan semua yang terjadi pada lelaki (suami perempuan yang jadi hantu) tersebut. Lelaki itu mengeluh panjang.

"Masa isteri kamu mahu mati apakah perkara ganjil yang kau nampak yang terjadi padanya?", datuk mengajukan pertanyaan. Lelaki itu terdiam memikirkan sesuatu. Tiba-tiba dia tersenyum sambil merenung tajam ke arah datuk.

"Tak ada yang ganjil cuma..", lelaki itu berhenti bercakap.
Dia menelan air liur. Saya dan datuk berpandangan dan lelaki itu menyambung kata-katanya:

"Masa mengusung jenazahnya dulu, ramai orang bersungut terlalu berat"

"Siapa yang cakap?", tanya datuk.
"Anak-anak saya"

Datuk tidak dapat bertanya lebih lanjut lagi kerana diganggu oleh suara Uda Lodin. Datuk pun segera menghampiri Uda Lodin yang berada dalam keadaan cemas. Perkara pertama yang datuk lakukan pada Uda Lodin ialah memegang buah betis kaki nya dan mengurut-urut dengan perlahan-lahan. Usaha datuk tidak mendatangkan sebarang kesan.

"Ambilkan aku sehelai sirih", datuk mengeluarkan perintah.

Barang yang datuk mahu saya adakan. Datuk melipatkan daun sirih menjadi tujuh bucu dan diletakkan atas tapak tangan kiri. Saya lihat daun sirih itu terus layu bagaikan kena bahang panas. Dari celah-celah jari datuk keluar asap menipis naik bersama bau kemenyan. Datuk melekapkan ke leher Uda Lodin. Uda Lodin melompat dan menjerit. Sakit perutnya serta merta hilang. Daun sirih yang dilengkapkan ke pangkal leher Uda Lodin datuk ambil dan terus meramas-ramasnya hingga hancur. Dari tapak tangan kiri daun sirih masih lagi elok dan segar.

"Kau kena badi hantu perempuan", datuk memberitahu Uda Lodin yang pucat lesi itu.

Datuk mengurut-urut bahagian belakang Uda Lodin hingga mukanya kembali merah. Datuk menyuruh Uda Lodin melakukan senaman kucing mencangkung.

"Bagaimana rasanya?", tanya saya pada Uda Lodin.

"Baru terasa segar sedikit"

"Kau baca ayat ini", datuk menghulurkan secebis kertas yang bertulis huruf jawi pada Uda Lodin. Datuk kembali mendapatkan lelaki tuan rumah. Lelaki itu masih terpaku duduk di sudut dinding. Barangkali dia memikirkan sesuatu.

"Ada berapa anak kau?", dengan tenang datuk mengajukan pertanyaan.

Saya segera duduk di sebelah datuk. Uda Lodin juga begitu.
"Empat orang, semuanya lelaki"

"Ada di mana?", saya gatal mulut bertanya.

"Semua dah bekerja. Dua di Singapura dan dua lagi ke Kuala Lumpur. Duduk menyewa di Kampung Pandan", terang lelaki itu dengan jujur.
Datuk segera menyiku bahu kanan saya yang membawa maksud supaya saya berhenti dari mengajukan sebarang pertanyaan pada lelaki itu. Uda Lodin terus mengeliat. Suasana terasa cukup dingin sekali. Angin malam yang bertiup di luar melanggar dedahan pokok getah yang melahirkan bermacam-macam bunyi. Saya menguap dan mata terasa cukup mengantuk.

"Masih dinihari lagi. Baiklah kita tidur", kata datuk.

Dan saya secara tiba-tiba terasa mahu buang air kecil. Saya terus merebahkan badan dengan harapan saya akan terlena dan tidak akan membuang air kecil pada waktu subuh. Ternyata rancangan saya tidak berjaya. Saya sudah tidak boleh tahan lagi. Seluruh pangkal pinggang saya terasa sakit. Saya mencapai pelita dan terus ke bahagian dapur untuk buang air kecil. Selesai buang air kecil saya pun melangkah untuk masuk ke ruang tengah. Kaki kanan saya tersepak sesuatu. Pelita pun saya rendahkan. Dengan
pertolongan cahaya lampu saya dapat melihat seketul tanah merah bersama secarik kain putih yang ada kesan darah kering. Bila kain dan tanah itu saya dekatkan ke lubang hidung, baunya amat tidak menyenangkan.
Cukup busuk, macam bau bangkai. Bulu tengkok saya mula meremang. Saya meletakkan pelita ke tempat asalnya dan terus merebahkan diri di sisi datuk. Tetapi,saya tidak dapat tidur. Macam-macam bunyi saya dengar di Iuar. Macam ada bunyi tapak di kaki orang melangkah dan memijak sesuatu di bawah rumah.
Saya juga terdengar bunyi suara ayam berkokok dalam reban dengan kuatnya. Saya cuba bangun untuk melihat dari tingkap. Datuk segera memegang dan menekan bahu kanan saya. Dia memaksa saya tidur.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 2)Where stories live. Discover now