Berjanji Dengan Syaitan

1K 33 4
                                    


Saya lihat lelaki itu duduk diatas anak tangga sambil tunduk memicit pangkal keningnya. Pak Mardan dan datuk hanya memperhatikan saja telatah lelaki itu dalam kedinginan malam yang mula merangkak ke subuh. Di langit, bintang timur mula bangkit bersama kokok ayam yang bertalu-talu dari kampung berdekatan. Datuk menggeliat, dia tahu sebentar lagi orang-orang kampung akan datang berjemaah di masjid.

Kalau boleh, datuk dan Pak Mardan tidak mahu orang-orang kampung tahu tentang perbuatan lelaki itu. Kalau orang-orang kampung tahu bahawa angkara yang terjadi di malam pengantin berpunca dari lelaki itu, tentu sahaja lelaki itu akan menerima akibat yang buruk. Datuk dan Pak Mardan mahu menghindarkan kejadian itu dari berlaku dalam kawasan masjid.

"Bagaimana? Apakah lafaz taubat yang kau ucapkan tadi benar-benar ikhlas atau ditekan oleh rasa terdesak?", soal Pak Mardan. Lelaki itu tidak menjawap.

"BertaubatIah dengan hati yang jujur. Janganlah kamu ulangi perbuatan yang terkutuk ini. Ilmu dunia tidak ada yang kekal, tidak ada siapa yang gagah dan berkuasa selain daripada Allah", ujar datuk dengan nada suara yang lembut. Sinar mata datuk redup memandang wajah lelaki itu penuh simpati.

"Kalau kau dah sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Allah amat mencintai pada makhlukNya yang insaf", Pak Mardan terus memberi nasihat.

Lelaki itu tidak menjawap. Dia tetap tunduk sambil memicit pangkal kening. Dan datuk sudah tidak boleh bersabar dengan perangai lelaki itu, waktu subuh sudah hampir. Dalam beberapa minit orang-orang kampung akan sampai. Datuk tahu kalau dia tidak bertindak, bererti dia mendedahkan diri lelaki itu pada kecelakaan. Datuk lagi sekali menghampiri lelaki itu. Angin subuh yang bertiup memberi kesejukan pada diri saya. Kokok ayam terus juga bersahut-sahutan. Bintang timur di kaki langit kian mengecil. Tiba-tiba saya lihat datuk menekan tulang bahu lelaki itu dengan tangan kanannya sekuat hati. Saya lelaki itu rebah perlahan-lahan, badannya kelihatan semacam lembik. Datuk pun berhenti menekan bahu lelaki itu.

"Pulanglah sebelum orang-orang kampung datang. Kalau mereka datang kamu akan menerima padah yang buruk", ujar datuk sambil menampar belakang lelaki itu dengan tapak tangan kirinya.

Lelaki itu bagaikan tersedar dari tidur. Toleh kanan dan mula mahu menyembah kaki datuk. Datuk terus menolak lelaki itu hingga tersungkur ke belakang.

"Jangan perlakukan aku macam itu, antara kita tidak ada siapa yang besar dan harus disembah. Menyembah manusia dan patung perbuatan yang salah dari segi hukum Islam", kata datuk dalam dingin subuh itu.

Lelaki itu bangun, matanya merenung wajah datuk. Dahinya masih berkerut. Dia membuka mulut sambil berkata:

"Jika aku bertaubat kau tidak akan melakukan sesuatu pada aku?"

"Jangan bertaubat kerana takutkan manusia, bertaubatlah kerana insaf dan cinta kau pada Allah", balas datuk.

Lelaki itu menarik nafas panjang. Matanya masih merenung wajah datuk meminta simpati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dirinya. Datuk meminta dia bercerita bagaimana puncanya dia boleh menuntut ilmu yang bertentangan dengan agama Islam yang suci. Menurutnya, dia terdorong menuntut ilmu salah itu berpunca dari masyarakat di kampungnya yang tidak mahu memaafkan atas perbuatan yang dilakukannya. Meskipun dia mengakui pada mereka, perbuatan itu terpaksa dilakukan kerana terdesak.

"Apa yang kau buat?", tanya Pak Mardan.

"Saya mencuri dua kepul besar padi untuk anak saya yang sakit"

"Bila kau lakukan perkara itu?", datuk pula menyoal.

"Masa mula-mula Jepun datang ke Malaya. Mereka adukan perbuatan saya itu pada Jepun. Saya diseksa meskipun saya menyembah kaki orang yang punya beras itu untuk meminta maaf"

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 2)Where stories live. Discover now