Berkasih dengan Langsuir

1K 30 0
                                    


Datuk terus duduk di sisi saya di kaki tangga. Kami merenung suasana malam yang kelam itu. Suara lolongan anjing terus sambung menyambung, tingkah meningkah dengan suara cengkerik dan katak. Angin malam yang bertiup melanggar dedaun dan dahan-dahan pokok sekitar kawasan rumah, melahirkan bermacam-macam bunyi. Sekejap terdengar semacam orang berlari, sekejap terdengar semacam suara orang mengerang kerana menahan kesakitan.

"Selalunya perbuatan ni, perbuatan syaitan", kata datuk lalu bangun, menuju ke kawasan yang di duga tempat buah pisang muda jatuh.

Seluruh kawasan itu datuk periksa. Tidak ada buah pisang muda yang ditemui, kecuali pelepah pisang yang panjangnya kira-kira lima inci. Datuk ambil pelepah pisang itu lalu diramasnya hingga hancur.

"Mari kita pergi ke rumah batu tu", datuk tarik tangan saya.

Kerana datuk menarik agak kasar dan kuat, saya hampir tersungkur mencium tanah. Memang, ada ketikanya datuk kadang-kadang bersikap kasar dengan saya dan saya tidak pernah tersinggung dengan perbuatannya itu, kerana saya tahu kasih sayangnya terhadap saya tidak pernah surut dari hati nuraninya.
Kami pun berjalan dengan hati-hati. Tidak ada kesukaran yang kami hadapi kerana cahaya bulan malam tiga belas Syaaban yang mengeluarkan cahaya yang samar-samar banyak menolong kami. Setelah berjalan kira-kira sepuluh minit, kami pun sampai di kawasan rumah batu dua tingkat itu. Datuk membuat keputusan untuk masuk ke kawasan rumah batu itu dari bahagian belakang yang dipagari dengan pokok-pokok buluh. Datuk mengalami kesulitan kerana bahagian sebelah dalam pokok-pokok buluh itu dilapisi dengan kawat berduri. Dalam jarak lima atau sepuluh kaki dari pohon-pohon buluh yang di tanam itu terdapat pula pokok besar yang tumbuh merimbun bersama dengan akar-akar yang berjuntaian. Suasana di situ terasa amat menyerarnkan.

Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Dengan pertolongan cahaya bulan saya dapat melihat beberapa ekor ular, lipan dan kala jengking merayap-rayap atas daun buluh yang kemudian memanjat akar yang berjuntaian dari pokok besar.

"Bagaimana kita nak masuk tok?", tanya saya dengan jujur.

Datuk terdiam. Matanya mula melihat bulan tiga belas Syaaban yang kian bersinar di dada langit. Ketika itu juga, saya terasa angin malam mula bertiup. Dedaun tua dari pokok besar kelihatan melayang-Iayang dan terus jatuh di atas daun buluh. Suara lolongan anjing kian hebat. Dalam saat-saat begitu saya terdengar suara burung hantu bersahut-sahutan di atas pokok besar. Bunyi angin yang menyentuh dedaun dan dahan-dahan kayu amat menakutkan. Bunyinya kadang kala macam orang menangis, macam orang mengeluh.

Semua terpaksa saya hadapi dengan tenang kerana datuk tetap dengan cita-citanya untuk masuk ke dalam kawasan rumah batu dua tingkat itu. Sayup-sayup saya terdengar bunyi lonceng jam dari rumah dua tingkat itu berbunyi sebanyak dua belas kali. Badan saya mula menggigil akibat dijamah angin malam. Suara jeritan anjing liar bersahut-sahutan memanjang bagaikan merayu-rayu hiba. Datuk mula berdiri kemas-kemas sambil memeluk tubuh. Datuk lalu menyuruh saya berdiri di sisinya dan berpeluk tubuh. Datuk mula membaca sesuatu. Dalam keadaan yang tenang itu tiba-tiba badan saya dan datuk ditimpa oleh air, macam air hujan sedangkan hari tidak hujan, cuaca cukup baik, langit cerah bersama bulan yang sedang mengambang.

"Air apa tok?" saya menyoal datuk.

Pertanyaan saya tidak mendapat jawapan. Angin kian kuat bertiup, lolongan anjing dan suara burung hantu berpadu menguasai malam yang sudah berganjak ke subuh. Air dari langit itu datang lagi, menimpa muka saya.

"Air apa tok?"

"Air kencing langsuir"

"Ha, saya takut tok"

"Diamlah", pekik datuk.

Saya terdiam terus. Datuk segera mengangkat kedua belah tangannya separas dada, lurus, kemudian kedua belah tangannya itu dibengkukkannya hingga sepuluh jarinya menghala ke dada. Datuk menggerak-gerakkan kepalanya. Sebaik saja datuk meletakkan tapak tangan kirinya ke atas bahu kanan, pokok besar bergoyang dengan hebatnya. Ranting-ranting kering jatuh ke bumi bertalu-talu.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 2)Where stories live. Discover now