Suara jeritan itu bergema ke seluruh kampung melesapi puncak Gunung Tungga. Datuk terus mencacakkan buluh runcing ke dada bumi dan melipatkan kaki seluar sebelah kiri separas lutut. Datuk duduk mencangkung dengan tapak tangan kirinya terletak pada bahagian atas buluh runcing. Mulutnya terus bergerak, membaca sesuatu. Ketua kampung masih belum sedarkan diri. Saya lihat kaki kanan Osman bergerak-gerak lemah. Kedua belah tangannya menguakkan dahan dan dedaun yang menutupi tubuhnya.
"Bangun", bisik saya pada Osman dan memberitahu padanya supaya jangan bertanya sesuatu.
Osman patuh dengan permintaan saya itu tetapi wajahnya masih pucat-Iesi. Waktu saya menoleh ke kanan kembali saya lihat datuk sudah berdiri dengan kedua belah tangannya lurus mengarah ke rumah papan beratap rumbia. Mukanya nampak berpeluh. Bila datuk menjatuhkan kedua belah tangannya, saya terdengar satu letupan, macam orang memukul bumi dengan pelepah pisang. Serentak dengan itu, saya lihat api mula berbunga di tulang bumbung rumah. Api itu terus marak dengan hebatnya. Bahang dari api itu terasa panas memukul wajah saya. Kulit muka rasanya bagaikan terbakar.
Cahaya api dari bumbung rumah itu menerangi kawasan tempat kami berteduh. Api terus menjulang ke langit dengan hebat bersama bunyi letupan keciI yang sambung-menyambung. Tidak sampai dua jam, rumah papan beratap rumbia itu terus menjadi abu. Ketua kampung pun tersedar dari pengsan.
"Kenapa panas sangat ni?", tanya ketua kampung.
"Itu", saya menunjukkan kearah rumah yang sudah menjadi bara dengan jari telunjuk. Biji mata ketua kampung terbeliak.
"Siapa yang bakar?", tanyanya lagi.
"Terbakar sendiri!"
Ketua kampung mengerutkan dahi sambil menggaru batang leher. Datuk pun mencabut buluh runcing yang di tanam kebumi. Datuk melihat bahagian bawah buluh yang sudah ditajamkan itu. Memang terdapat kesan-kesan darah pada buluh itu. Datuk menghilangkan kesan darah pada hujung buluh dengan menikamkan buluh itu pada batang pisang emas yang baru tumbuh jantung. Bila datuk mahu mencabut buluh dari batang pisang, saya dan Osman serta ketua kampung disimbah dengan air dari arah belakang.
Saya tidak dapat memastikan dari mana arah air itu datang, sama ada dari sebelah kanan atau kiri kerana malam terlalu gelap. Di langit kelihatan bintang-bintang bertaburan di mana-mana. Angin malam yang bertiup agak keras membuat badan saya mengeletar kesejukan. Saya tidak dapat mengagak dengan tepat pukul berapa ketika itu. Tetapi berdasarkan arah tiupan angin dan gerak awan bersisik ikan di langit, saya agak waktu itu sudah pukul empat pagi. Suara pungguk dan lolongan anjing liar sudah tidak kedengaran lagi.
Dari longgokan bara rumah yang punah, asap nipis nampak berkerut menjulang ke udara yang kemudian berpecah dirempuh angin malam. Datuk menghampiri saya."Kau kena simbah air Tamar?"
"Ya tok"
"Cuba kau cium lengan kiri kau, ada bau busuk tak"
Saya pun ikut perintah datuk. Walaupun perintah itu ditujukan pada saya tetapi, ketua kampung dan Osman turut bersama mencium lengan kiri masing-masing.
"Busuk, macam bau bangkai", jawab mereka serentak dan saya anggukkan kepala.
Setuju dengan apa yang dikatakan oleh ketua kampung dan Osman. Datuk menyuruh kami bertiga berdiri di bawah pokok pisang emas yang baru tumbuh jantung. Kami disuruh berdiri dengan menemukan bahu masing-masing. Sesudah itu, datuk menyuruh saya melihat ke arah utara, ketua kampung ke arah selatan dan Osman ke arah barat. Dengan keadaan itu kami tidak dapat memandang wajah antara satu sama lain. Datuk terus mengoncangkan perdu pisang emas yang baru tumbuh jantung dengan sekuat hati. Air embun yang melekat pada daun pisang itu menimpa badan kami.
"Sekarang cium lengan kiri kamu semua", ujar datuk dengan tenang sambil menekan pangkal dagunya dengan ibu jari kiri.
"Tak ada baunya lagi", jawab saya.
"Dah hilang busuknya", tingkah Osman.
"Ya dah hilang", sahut ketua kampung bersama senyum.
Datuk menyuruh kami duduk semula di tempat asal. Dengan tenang datuk membuka lipatan kaki seluar sebelah kiri. Angin sudah tidak sekuat tadi bertiup, menandakan waktu subuh hampir. Langit kelihatan cerah dan bintang-bintang beransur kurang.
![](https://img.wattpad.com/cover/146004989-288-k385271.jpg)