Buaya Jadi Jadian

939 25 0
                                    

Musim tengkujuh pun tiba. Langit di Kampung Mandi Upeh sentiasa kelihatan mendung dan setiap hari hujan turun. Sungai kecil yang merentang di tengah-tengah kampung melimpahkan airnya hingga ke paras tebing. Dan sejak pulang dari Tanjung Malim, datuk tidak kemana-mana. Dia banyak menghabiskan masanya di ladang getah. Sekali-sekala dia ke hutan melihat jerat pelanduknya sama ada mengena atau tidak.

Sepanjang musim tengkujuh kesihatan datuk tidak begitu baik. Dia selalu diserang sakit lelah dan lemah-lemah badan. Walaupun begitu, datuk tidak pernah lupa melakukan senaman harimau dan mandi embun pada setiap pagi.

Dan amalan meminum air dingin satu tempurung yang sudah diembun selama satu malam tetap diteruskannya. Menurut datuk air dingin itu mesti diminum sebelum sarapan pagi. Khasiatnya, dapat melancarkan perjalanan darah serta membersihkan perut. Air dingin itu juga dapat menegangkan kulit, bagi orang yang mengamalkannya akan kelihatan muda. Datuk juga memberitahu saya, tempurung yang dijadikan bekas air dingin itu dipilih dari kelapa masak yang gugur sendiri. Tempurung dari kelapa itu dibelah serta di jemur hingga isinya lekang sendiri. Bahagian tempurung yang tidak digunakan itu ditanam di pangkal pokok kelapa itu. Tempurung yang dijadikan bekas minuman itu ialah bahagian bawah. Bila sudah cukup kering, tempurung itu dibersihkan serta dikilatkan dengan serpihan kaca dan di jemur kembali selama tujuh hari berturut-turut. Kemudian baru dijadikan bekas minuman. Setiap kali datuk mahu meminum air dingin dalam tempurung itu, dia mesti membaca Al-Fatihah sebanyak tujuh kali dalam masa senafas.

Dan saya, hingga kini tidak dapat mengamalkan petua-petua tersebut disebabkan oleh beberapa hal yang tertentu.

Pada suatu pagi , selepas datuk melakukan senaman dia terus berehat di ruang rumah. Ketika itu nenek menghampirinya.

"Bagaimana? Bila kita nak pergi ke Tanjung Ara?", soal nenek.

"Untuk apa?"

"Dah lupa? Jemputan kahwin anak Alang Botak"

"Tak lupa. Bukankah jemputan tu esok, esoklah kita pergi"

"Awak ni merepek. Bukankah saya dengan Alang Botak itu adik-beradik, kami sepupu. Tidak baik pergi kenduri-kendara rumah adik-beradik untuk makan aje. Kita harus pergi awal, boleh tolong tegakkan balai, siapkan tempat orang makan", nenek mula bersyarah di hadapan datuk. Saya lihat datuk tersenyum dan mengangkat ke dua belah tangannya ke atas, macam komunis menyerah diri pada pasukan askar Melayu.

"Saya salah. Awak betul, kerana itu saya ikut cakap awak", kata datuk sambil berjenaka.

Nenek ketawa keciI. Begitulah sikap datuk dengan nenek. Saling bertolak ansur. Datuk tidak segan-silu menurut kata nenek, kalau kata-kata itu baik dan benar. Datuk akan menentang berhabis-habisan kalau pendapat atau fikiran nenek tidak menguntungkan. Mereka bertengkar dan bermasam muka untuk mencari kebenaran bagi mencipta suasana rumah tangga yang kekal tanpa mahu mencari perkelahian yang mengakibatkan rumahtangga berada dalam kegentingan yang berakhir pada sebuah jurang pemisahan. Barangkali inilah rahsia kebahagian dan kedamaian rumahtangga datuk dan nenek.
Dan saya sering bertanya dalam diri saya, apakah dalam hidup saya kelak, saya akan menemui seorang isteri sebaik dan semulia hati nenek? Apakah saya dapat menjadi lelaki seperti datuk yang sanggup menghilangkan rasa ego seorang suami di mata seorang isteri demi kerukunan rumah tangga.

"Entahlah… Begini saja, kita pergi sejam lagi. Sementara itu eloklah awak berkemas, bawalah gula barang sekati dua, kelapa sepuluh atau dua puluh biji dan pisang dua tiga tandan", kata datuk.

Nenek bagaikan terkejut.

"Awak ni bergurau atau cakap betul-betul", tanya nenek sambiI mengerutkan keningnya. Datuk terus mempamirkan giginya.

"Saya cakap betul, kita tolong mereka dengan apa yang ada pada kita"

"Nak bawa barang-barang tu dengan bas? Susah jadinya. Itulah ada kereta awak tak mahu baiki, sekarang siapa susah", rungut nenek.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 2)Where stories live. Discover now