Datuk pun membasuh kepala dan muka lelaki itu dengan air daun pisang dara. Datuk juga membasuhkan seluruh tubuh lelaki itu dengan air bunga tujuh jenis dan tujuh warna. Kedua belah tapak kaki dan tangan lelaki itu dibasuh oleh datuk dengan air tanah liat.Akhirnya, datuk menjiruskan air penawar dari kepala ke kaki lelaki itu datuk merimbaskan badan lelaki dengan kain hitam sebanyak tiga kali. Dengan penuh teliti, datuk menyarungkan kain pelikat ke badan lelaki malang itu dalam keadaan terbalik.
Cara menyarungnya juga agak ganjil iaitu, dari kepala ke kaki. Datuk membawa lelaki tersebut pulang ke rumahnya. Datuk minta lelaki itu baring di muka pintu dan datuk meletakkan batang tepus atas dada lelaki itu. Datuk berdiri di anak tangga terakhir sambil matanya menatap wajah lelaki itu.
"Kau sekarang bangun perlahan dengan tangan kiri kau menolak batang tepus hingga ke hujung kaki", kata datuk dan lelaki itu patuh dengan apa yang dikatakan oleh datuk.
"Sekarang, tak ada suatu apa pun yang mesti kautakutkan. Tugas aku sudah selesai", beritahu datuk pada lelaki itu sambil melangkah ke dalam perut rumah. Datuk duduk dengan tiang seri menyandarkan badannya. Saya bersandar dekat dinding.
Matahari pagi kian meninggi, sudah masuk pukul sepuluh pagi. Saya kira bila kerja datuk sudah selesai tentu dia akan pulang.
Paling lewat tiga atau empat petang kami akan meninggalkan Kuala Terong, fikir saya dalam hati. Lelaki yang sudah diubati oleh datuk terus menghidangkan kopi pada saya dan datuk. Lelaki itu sendiri menuangkan air kopi ke dalam cawan.
"Minumlah. Goreng pisang belum masak", ujar lelaki itu.
Datuk senyum. Saya terus menghirup kopi. Tiba-tiba saya tersedak. Air kopi bersembur ke atas lantai.
"Kenapa?", suara datuk keras.
Biji matanya terbeliak merenung wajah saya. Hati saya jadi kecut bila datuk memandang demikian."Kopi ni panas tok", ujar saya.
"Kalau dah tahu panas, kenapa kau telan. Apa kautak boleh tunggu sampai air itu sejuk", tekanan suara datuk cukup keras dan meninggi.
Wajahnya masam. Saya tahu, datuk memang tidak senang dengan perangai gelojoh saya itu. Datuk mahu saya menjadi manusia yang penuh sopan santun, bila menghadapi hidangan terutama sekali bila berada di rumah orang.
"Tak apalah tu. Tapi Kamal mana dia?", tanya lelaki itu sambil menyapu air kopi yang tumpah di lantai dengan kain buruk.
"Dia terus balik", jawab saya.
"Oh begitu, saya tak sedar. Uda Lodin juga tak nampak batang hidungnya", tingkah lelaki itu lagi.
"Uda Lodin tu penat", datuk bersuara tenang.
Lelaki itu tersenyum. Tanpa memberitahu saya dan datuk, lelaki itu terus ke dapur. Datang semula sambil membawa sepiring goreng pisang. Kami pun makan bersama. Memang sedap makan goreng pisang panas bersama air kopi. Bila sarapan pagi sudah selesai, datuk menghampiri lelaki yang isterinya menjadi hantu itu sambil berkata:
"Kau ampunkan dosa isterimu?"
"Saya ampunkan"
"Kalau begitu, malam ini kita adakan majlis tahlil"
"Saya tak ada wang"
"Aku beri kau wang", nada suara datuk cukup tegas.
Datuk seluk saku dan mengeluarkan wang. Dengan wajah yang agak cemas lelaki itu menerima wang pemberian datuk. Saya juga hairan dari mana datuk memperolehi wang. Setahu saya sewaktu datang dulu, datuk tidak banyak membawa wang. Saya segera menghampiri datuk dan terus bertanya dari mana dia dapat wang. Datuk menerangkan pada saya, bahawa wang yang diberikan pada lelaki itu adalah daun-daun kering. Dalam tempoh tertentu wang itu akan akan jadi daun kembali.