Dikacau Penunggu Kolam

1K 42 0
                                    

Apa yang dikatakan oleh imam berjubah hijau itu dilaksanakan oleh janda Omari dengan sempurna. Datuk tidak banyak campur tangan dalam urusan tersebut, kecuali menemani janda Omari pergi kekubur selama lapan pagi berturut-turut. Masuk hari yang ke empat belas, suara tangisan dari kubur sudah tidak kedengaran lagi. Dan janda Omari pun menyatakan hasratnya pada datuk untuk pulang ke Pontian.

"Tangguhkan lah dulu", kata Omari pada jandanya.

"Kenapa?"

"Lepas mengadakan kenduri kesyukuran malam jumaat ini, kau pulanglah. Aku minta pada kau demi kasih sayang kita pada anak", Omari menyatakan hasratnya.

Janda Omari termenung. Dalam hati dia membilang hari. Dia menggigit bibir. Kalau dia memenuhi permintaan Omari bererti dia terpaksa bermalam lagi di Kampung Jorak Ilahi.

"Hari ini suami saya datang mengambil saya, tak dapat menunaikan hajat baik tu", jawab janda Omari.

Datuk merenung muka Omari yang dijamah sinar matahari pagi.

"Bila suami awak datang?", datuk menyoal perempuan yang berwajah lembut.

Kedua-dua belah kelopak matanya agak hitam kerana kurang tidur dan terlalu banyak menangis mengenangkan perbuatan bekas suaminya.

"Tengahari ini", jawabnya pendek.

"Hari ini hari Khamis. Dia tidak marah kalau kau tidur semalam lagi di sini", celah datuk.

Perempuan yang berwajah lembut menyimpan seribu penderitaan itu merenung wajah datuk. Dalam sinaran mata yang redup itu tersembunyi seribu ketegasan diri yang tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Begitulah firasat datuk bila melihat bola mata perempuan itu.

"Saya boleh menunaikan permintaan itu kalau mendapat izin dari suami saya. Tugas isteri membuat apa yang disukai oleh suami dan menjauhkan sebarang perbuatan yang tidak disukainya. Inilah ibarat saya untuk suami saya", ujar perempuan itu dengan tenang.

Datuk tesenyum dalam hal ini ternyata datuk kalah. Datuk boleh berhadapan dengan syaitan dengan gagah dan berani. Tetapi,datuk terpaksa tunduk dengan perempuan yang kuat iman dan mengikut perintah Allah.

"Itulah yang baiknya, memang yang baik itu untuk Allah dan yang jahat untuk syaitan dan nafsu", suara datuk lemah.

Kemudian datuk dan Omari turun ke tanah. Perempuan berwajah lembut duduk dimuka pintu menanti kedatangan suaminya. Lepas kurang pukul sebelas pagi, suaminya datang dengan sebuah teksi. Datuk segera menemui suami perempuan itu. Bercakap sesuatu dengannya.

"Tak jadi halangan kalau untuk kebaikan", balas suami perempuan itu.

Dengan tenang suami perempuan itu membayar tambang teksi dan meminta teksi itu datang menjemputnya selepas sembahyang Jumaat pada hari esoknya. Malam itu, kenduri kesyukuran pun diadakan. Sebelum majlis dijalankan, datuk bercakap dengan Omari sebentar. Tanpa memberitahu saya datuk pun menghilangkan diri. Bila tetamu sudah penuh di anjung, datuk secara mendadak saja tersembul dalam barisan orang kampung bersama seorang lelaki berjubah hijau. Lelaki itu saya lihat tidak banyak cakap. Dia hanya bersalam saja dengan orang yang datang. Kemudian duduk tunduk membilang tasbih.

Atas permintaan datuk, orang yang berjubah hijau membacakan doa. Bila orang ramai menjamah hidangan, orang berjubah hijau tidak menjamahnya. Dia terus membilang tasbih. Bila semua orang selesai makan dan minta diri untuk pulang, orang berjubah hijau terus bangun dan dan berjabat salam. Tidak ada orang yang berani bertanya tentang dirinya sama ada pada datuk atau pada Omari. Mulut orang ramai bagaikan terkunci. Akhirnya, tinggallah saya, datuk, Omari dan jandanya bersama suami dalam rumah itu merenung ke arah lelaki berjubah hijau.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 2)Where stories live. Discover now