Sumpah Nasi Tangas

2K 46 1
                                    


Suasana di pekan kecil Terung di pagi selasa dalam musim tengkujuh cukup lembab. Lopak-lopak yang terdapat berhampiran bangunan-bangunan kedai di situ ditakungi air akibat hujan yang memanjang pada sebelah malamnya.

Saya dan datuk masih lagi duduk di warung kopi sebelah kanan jalan menghala ke Kuala Terung. Di perhentian bas terdapat kira-kira 10 hingga 15 anak-anak muda menanti bas. Mereka mahu ke bandar Taiping menonton filem melayu.

Datuk mula resah, Air kopi sudah habis di cawan. Uda Lodin (kawan datuk) belum juga tiba, Jam di dinding warung sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Saya mengambil akhbar Utusan Melayu milik tuan punya warung yang terletak di meja sebelah.

"Agaknya, ada aral di jalan," keluh datuk. Saya renung wajah datuk dengan senyuman. Orang silih berganti keluar dan masuk ke warung. Tiba-tiba datuk menekan pangkal ketiak kanan dengan tangan kiri.

"Alamat kurang baik," ujar datuk tenang.

"Maksud tuk, apa dia?"
"Kalau dia datang, kita tak boleh pergi ke Kuala Terung sebelum matahari berkalih tempat. Kalau pergi juga, susah diri kita."

"Jadi apa yang patut kita buat tuk?"

"Tunggu sampai Uda Lodin tiba."

Saya kembali membaca akhbar Utusan Melayu. Tepat jam sebelas, Uda Lodin pun sampai dengan teksi sapu Blue Bird warna biji kundang. Uda Lodin meminta maaf. Menurutnya, dia singgah di pejabat pos Pantai Remis menemui menantunya yang bertugas di situ.
Dari Pantai Remis, dia naik teksi sapu dan berhenti di pekan Panchur membeli buah kelapa dan nangka sebagai buah tangan kepada keluarga rumah yang akan ditemuinya.

"Begini saja, aku tak dapat pergi sekarang. Kira-kira pukul lima petang ni kau tunggu aku di situ dan kita pergi bersama," kata datuk kepada Uda Lodin.

"Sebabnya?,"

"Kau jangan tanya, itu hal aku."

"Di mana kau nak duduk sementara menanti pukul lima?,"

Datuk terus membayar harga minuman. Dia merenung muka saya sambil tersenyum. Kemudian, kami bertiga keluar dari perut warung menuju ke jalan besar.

"Begini Lodin, aku nak pergi ke Kampung Air Kuning. Pukul empat setengah aku datang. Kau nanti aku di sini."

"Baiklah."

"Kau sediakan batang tepus, bunga durian tiga kuntum dan mayang pinang berbunga sulung serta tujuh helai daun sirih yang bertemu urat."

"Lagi?"

"Tak ada apa-apa. Kalau kau tak tunggu, aku terus balik."

"Mesti, saya tunggu." Uda Lodin ketawa kecil.

Datuk dan saya terus naik bas menuju ke Kampung Air Kuning. Rumah yang kami tuju adalah sebuah rumah berbumbung limas yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah Pendekar Meor Abdul Rahman, seorang guru seni silat gayung yang terkenal.

Kata datuk, penghuni rumah itu adalah kenalan lamanya. Kami jadi hampa, bila mendapati pintu dan tingkap rumah itu tertutup rapat. Seorang jiran memberitahu bahawa tuan rumah dan keluarganya sudah pergi ke Pontian, Johor kerana urusan nikah kahwin anaknya.

Datuk membuat keputusan untuk pergi ke Kampung Lalang di Padang Rengas. Tetapi keputusan itu segera ditukar oleh datuk dengan alasan terlalu jauh. Lantas dia membuat keputusan baru untuk pergi ke Batu 10 Terung.

Sebagai cucu yang amat sayang dan mencintai datuk sendiri, saya tidak membantah. Elok pada datuk, eloklah pada diri saya, Datuk terus mencari teksi sapu di Pekan Cangkat Jering. Akhirnya, kami naik teksi sapu Morris Minor berwarna hitam yang dipandu oleh seorang lelaki India.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 2)Where stories live. Discover now