Saya masih dapat mengawal perasaan. Datuk pun memadamkan api yang membakar sumbu lilin. Nyamuk mula menggigit cuping telinga dan muka. Dalam samar-samar senja itu datuk memandang wajah saya tepat-tepat."Kita balik saja", kata datuk.
"Kenapa?"
"Jangan banyak soalan, ikut cakap aku"
"Tapi tok.."
"Jalan", pekik datuk.
Saya lihat wajah datuk lain macam. Langkah datuk cukup cepat. Saya lihat tapak kakinya bagaikan tidak menyentuh bumi. Supaya tidak ketinggalan jauh darinya, saya terpaksa berlari tanpa memandang ke kiri dan ke kanan. Kemudian saya terdengar bunyi yang ganjil dari arah belakang, macam bunyi tapak kaki orang memburu saya. Bila di toleh ke belakang tidak ada suatu pun yang saya nampak kecuali dedaun rumput menutup bumi yang runduk kena pijak. Saya terdengar bunyi suara reriang rimba yang bertali-temali. Bunyinya berubah dari satu pokok ke satu pokok. Bunyinya cukup nyaring dan memanjang pula. Kata nenek, kalau reriang rimba berbunyi dalam bunga senja dan bunyinya tidak putus, membawa alamat ada penghuni kampung yang akan meninggalkan kampung dan tidak akan kembali hingga hari kiamat.
"Siapakah yang akan mati?", timbul pertanyaan dalam hati kecil saya. Tentu saja pertanyaan itu tidak akan menerima jawapan dari sesiapa. Barangkali, kalau pertanyaan yang sama diajukan pada datuk kemungkinan menerima jawapannya cukup cerah. Sayang, saya tidak berani bertanya padanya. Datuk terus melangkah. Saya renung ke kiri. Pokok getah berdaun lebat tertegun kaku. Saya toleh ke kanan, pohon-pohon koko yang berbuah rapat-rapat tidak bergerak.
"Tok", mendadak saja memanggil nama datuk dalam warna senja yang kian gelap itu.
Datuk berhenti.
Entah macamana sepasang mata saya tertumpu pada sepasang kakinya yang tidak memijak bumi. Saya kedutkan kening dan dahi. Belum pernah saya melihat datuk dalam keadaan demikian. Hati saya mula ragu-ragu. Apakah saya berhadapan dengan datuk atau dengan satu makhluk asing yang menyerupai datuk.
Bagi membuktikan apakah datuk yang wujud di hadapan saya itu datuk yang sebenar atau sebaliknya, saya segera menarik hujung bajunya dengan sekuat hati. Badan saya bagaikan ditarik oleh satu kuasa menyebabkan saya terdorong ke depan. Bahu sebelah kanan saya menyondol pangkal belikat datuk. Kemudian saya terasa satu hentakan yang amat kuat mengenai pangkal telinga kanan saya. Seluruh badan terasa lemah. Saya tidak mendengar apa-apa. Semuanya terasa sunyi dan sepi. Saya tidak tahu, berapa lama saya berkeadaan demikian.
Saya tersedar apabila badan saya digoyang oleh datuk beberapa kali. Telinga saya diasak dengan bacaan ayat-ayat suci. Bila saya membuka mata, saya lihat datuk tersenyum."Saya lihat datuk ber.."
"Aku faham", datuk memotong cakap saya dan menyuruh saya bangun. Suasana sekeliling bertambah kelam. Bunyi suara burung kuang-kuik cukup jelas kedengaran. Kata orang tua-tua, burung itu berbunyi dari atas kepala harimau. Ada juga yang mengatakan burung itu jadi kepala jalan kepada hantu dan syaitan. Sering berbunyi waktu senja begini dan tengah malam menjelang subuh.
Saya tidak boleh bangun. Kedua belah sendi lutut saya terasa longgar, tidak mampu menahan badan saya agak gemuk ini. Bunyi suara burung kuang-kuik semakin dekat. Saya cemas dan saya faham, kalau tidak kena caranya saya dan datuk akan jadi korban harimau.
"Kita dalam bahaya tok. Rumah Omari agak jauh tok"
"Tak apa. Sepatutnya kau tidak boleh menegur aku bila melihat aku dalam keadaan yang ganjil"
"Kenapa tok tak cakap tadi?"
"Aku terlupa", kata datuk dengan wajah yang kesal. Tanpa diminta, datuk menerangkan pada saya bahawa, dia terpaksa berjalan atas angin untuk menghindarkan sebarang kejadian buruk. Menurut datuk jarak tapak kakainya dengan bumi lebih kurang satu kaki setengah ruang yang kosong antara tapak kaki dengan bumi akan dilalui oleh angin yang boleh memisahkan kuasa jahat dari meresap ke dalam tubunya.