Selama satu minggu saya dan datuk berada di kampung Kiai Muslih, boleh dikatakan hari-hari hujan turun. Kalau tidak sebelah pagi, sebelah petang pasti hujan. Orang-orang mula mengerjakan sawah masing-masing. Walaupun masalah kemarau yang melanda kampung itu sudah berakhir, tetapi Kiai Muslih meminta datuk tinggal disitu untuk beberapa bulan lagi. Kiai Muslih menjadikan datuk teman rapatnya untuk mengajar agama di beberapa buah kampung sekitar daerahnya."Kenapa datuk terima permintaannya?",saya menyoal datuk pada suatu pagi.
Datuk tersenyum dan memberitahu saya, dia terpaksa berbuat demikian kerana dia merasakan keselamatan diri Kiai Muslih tidak terjamin. Tetapi, datuk sendiri tidak dapat mencari siapakah orang yang mahu menjahanamkan diri Kiai Muslih.
"Alamat dan petua yang aku pakai bagaikan memberitahu sesuatu yang tidak baik. Apa salahnya kita tengok dan lihat dulu Tamar. Lagi pun Kiai Muslih tu orang berilmu, banyak yang boleh aku belajar darinya", demikian datuk memberitahu saya. Dan saya tidak membantah apa juga kemahuan datuk.
Sepanjang masa saya dan datuk tinggal di rumah Kiai Muslih, ternyata rumahnya tidak putus-putus di kunjungi oleh para penduduk. Mereka datang menemui Kiai Muslih dengan berbagai-bagai maksud. Kebanyakan yang datang itu adalah orang-orang sakit dan sudah puas menemui doktor tetapi, sakit yang di tanggung tidak juga mahu sembuh. Bila mereka menemui Kiai Muslih dengan izin Allah penyakit yang di rawat itu terus sembuh. Biasanya, Kiai Muslih akan memberikan orang yang sakit itu minum air sejuk yang sudah dijampinya terlebih dahulu. Kemudian tangannya bergerak sendiri mencari bahagian-bahagian yang sakit. Bila sudah bertemu, disempurnakan dengan membaca ayat suci dari Al-Quran.Kemudian pesakit itu akan diubat dengan ramuan tradisional.
Perbuatannya itu seperti tidak masuk di akal. Tetapi anehnya, kebanyakan pesakit yang dirawatnya sembuh atau bertambah kurang penyakitnya. Kerana kebolehannya yang luar biasa itu, Kiai Muslih amat dihormati oleh para penduduk disitu, dia dianggap sebagai orang tua yang berilmu tinggi. Saya amat kagum dengan sikap Kiai Muslih yang tidak pernah membesarkan diri. Dia amat menghormati datuk. Melihat keadaan itu, mustahil ada orang lain yang mahu memusuhi dirinya.
"Aku gagal mengubat dan memulih semangat seorang lelaki di Tanjung Malim", Kiai Muslih mengadu pada datuk.
"Apa sakitnya?"
"Bila bulan terang dia akan menjerit, penyakitnya cukup ganjil. Aku yakin dia dirasuk syaitan. Rumahnya besar dan pada setiap malam dia tidur dengan perempuan cantik. Aku harap kau dapat menolong aku"
"Tengoklah dulu"
"Aku harap benar-benar pertolongan kau"
"Begini saja, minggu depan kita kesana", datuk memberikan jawapan.
Kiai Muslih cukup gembira sambil memandang ke halaman rumahnya. Datuk mengeliat lemah dan saya melihat jam di tangan. Sudah pukul tiga petang. Kerana keadaan cuaca agak baik, Kiai Muslih mengajak datuk melihat tanah sawahnya. Datuk memenuhi permintaan itu. Ketika berjalan di tepi sawah itu, anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih muncul di hadapan kami. Anak muda itu terus menahan perjalanan kami. Dia rapat pada Kiai Muslih.
"Pinangan saya di tolak, apa kurangnya saya dengan anak muda dari Langkap tu", nada suara anak muda itu keras.
"Suriati yang tidak mahu. Lagi pun jodoh kau dengannya tak ada"
"Sudahlah muka sial", anak muda itu terus meninggalkan kami. Kiai Muslih masih tersenyum menghadapi peristiwa itu.
Dua hari kemudian sesudah peristiwa di tepi sawah itu terjadi, penduduk-penduduk kampung Kiai Muslih jadi gempar. Seorang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan ditemui mati di pinggir sawah. Seluruh badannya hitam. Perempuan malang itu ialah sepupu dengan anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih di dewan dulu.