Subuh itu, sesudah menunaikan sembahyang subuh dan mandi air embun, datuk terus mendukung Razman ke bawah pokok asam kumbang. Kaki Razman diikat dengan tali sabut ke sebatang anak pokok. Datuk membiarkan sinar matahari pagi yang cemerlang menikam kulit badan Razman."Mail, biarlah aku dengan di temani oleh Tamar selesaikan kerja ni. Kau tak usah tengok, nanti kau takut. Aku minta kau pergi ke masjid dan baca Al-Quran disamping berdoa pada Allah supaya sakit anak kau sembuh"
"Baiklah, tapi awak tak minum lagi?"
"Aku terpaksa berpuasa waktu menjalankan kerja ini. Tamar juga begitu"
"Pelik juga sakit anak saya ni"
"Inilah dunia. Banyak manusia jadi korban syaitan dan iblis semata-mata kerana nafsu jahat. Anak kau salah seorang daripadanya"
Saya lihat mulut Mail yang berbadan melengkung itu terlopong. Tanpa banyak bicara dia meninggalkan kami. Datuk sudah pun mengenakan pakaian serba hitam. Dia duduk bersila tidak jauh dari tempat Razman terbaring. Datuk minta saya menumpahkan darah ayam dalam cawan di hujung lututnya. Saya lakukan. Datuk pun mula bertafakur. Matanya terpejam rapat.
Kedua belah tangannya memeluk dada erat-erat. Matahari pagi memancar dengan cantik sekali. Tiba-tiba Razman mengeliat macam orang baru bangun tidur. Dia tersenyum dan duduk bersila macam datuk. Datuk petik ibu jari kaki kiri tiga kali berturut-turut. Saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan Surah An-Nisa. ltu pesan datuk yang saya mesti patuhi. Tiba-tiba dari tompokan darah ayam di hujung lutut datuk menjelma seekor ayam jantan putih. Terus berkokok dengan nyaring. Ayam jantan itu segera menuju kepada Razman.
Dan Razman membelai-belai badan ayam sambil memerintahkan ayam jantan itu berjalan kesana ke sini. Apa yang dikatakan oleh Razman, diikuti oleh ayam itu. Datuk meluruskan tangan kirinya ke depan. Manakala tapak tangan kanannya melurut lengan kirinya dari pangkal hingga ke hujung perlahan-lahan. Bila urutan itu sampai ke hujung jari, ayam jantan yang mengikut perintah Razman hilang. Razman melompat-Iompat dan menjerit. Dia marah kerana datuk menghilangkan ayamjantan putihnya.
Mujurlah tali sabut yang mengikat kakinya kuat. Ikatan yang datuk lakukan ini bukan sebarang ikatan. Ikat bersyarat dan berpetua. Kalau tidak pasti putus, kerana tenaga Razman ketika itu cukup luar biasa. Semua anak-anak pokok getah, halba dan pokok janggut keli sekitarnya dicabut dengan mudah. Perkara yang nyata memang ada perlawanan kebatinan antara datuk dengan kuasa tertentu yang melindungi Razman.
Buktinya, muka datuk berpeluh. Urat-urat tangannya timbul, kedua belah bahunya bergerak macam menarik sesuatu dari direbut oleh pihak lain. Akhirnya Razman lemah sendiri. Terbaring atas tanah. Datuk bertafakur lagi. Dalam sinar matahari yang mula keras itu, tiba-tiba menjelma bapak kambing hitam meluru ke arah Razman.
Kambing jantan mencium dahi Razman dan Razman pun bangun lalu menepuk-nepuk belakang kambing hitam. Melihat keadaan yang ganjil itu, datuk jadi resah. Datuk menggenggam kedua belah tangannya dan dilapis dua. Genggam tangan kiri sebelah atas, genggam tangan kanan sebelah bawah, macam budak-budak main tom tom bak. Dia rapatkan mata. Dia bangun perlahan-lahan dan berdiri sebelah kaki.Kaki kanannya dibengkokkan. Bila kaki kanannya diluruskan dan dihentakkan ke bumi sekuat hati, kambing jantan yang menjelma secara tiba-tiba mengembik sekuat hati, macam kena curahan air panas dan terus hilang. Razman rebah kembali. Matahari kian meninggi. Datuk merenung ke perdu pokok asam kumbang yang berdaun lebat. Badan saya mula berpeluh terutama di pangkal kedua belah ketiak. Perut mula terasa dimasuki angin, akibatnya saya sendawa bertalu-talu. Panas pagi itu memang lain macam rasanya, kulit muka terasa cukup pedih.
Datuk mengalih pandangannya dari perdu pokok asam kumbang ke arah rumpun lalang di sebelah barat daya secara perlahan-Iahan.
Tapak tangan kirinya menekan pangkal dada kiri dan melurut ke bawah perlahan-Iahan. Bila pandangannya sampai kepada matlamat, tangan kirinya lurus ke bawah. Tetapi, jari telunjuknya menekan pangkal belikat. Mulutnya saya lihat bergerak-gerak, macam membaca sesuatu. Lama juga datuk merenung perdu lalang yang tumbuh liar itu.