Suara Azan dalam Kolam

915 24 0
                                    


"Dapat mayat nya pun jadilah", sahut lelaki berbadan tegap.

Datuk angguk kepala dan tersenyum dalam cahaya gasolin yang memancar garang.

"Baiklah, kalau dah begitu hajat kamu", nada suara datuk cukup lembut.
Dia menyuruh saya memadamkan lampu gasolin.

"Memadailah dengan cahaya unggun saja", bisiknya pada saya.

Datuk bangun dan terus menghentak tumitnya ke bumi berkali-kali. Datuk menggigit bibirnya sambil melangkah tiga tapak ke depan dan undur tiga tapak. Kemudian berdiri macam patung dengan kedua belah tangannya terletak atas dada.

"Ada kamu dengar sesuatu?" datuk bertanya pada kami.

"Tak ada", jawab kami serentak.
Datuk menggigit jari. Saya lihat apa yang datuk lakukan semuanya tidak kena.

Macam ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk terus bertafakur beberapa saat. Akhirnya, dia membongkok dan menumbuk bumi sebanyak tiga kali berturut-turut. Bunyi bumi yang ditumbuk oleh datuk jelas kedengaran. Lepas itu tidak ada apa yang kedengaran lagi. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara burung. Saya terus toleh kiri dan toleh kanan. Bila saya melihat kearah kolam, dada saya berdebar-debar. Seluruh kolam itu sudah dipenuhi dengan burung belibis. Burung-burung itu mandi sambil membelai bulunya dengan asyik.

Datuk masih bertafakur. Mulutnya bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Suara orang mengilai kedengaran lagi. Pokok-pokok sekitar kolam mula bergoyang dirempuh angin. Serentak dengan itu terdengar suara gadis membaca ayat-ayat suci. Bila suara gadis itu hilang, seekor burung belibis hitam terbang dipermukaan air dan akhirnya hinggap diatas dahan pokok yang menjulur ke atas kolam. Angin pun berhenti bertiup. Mata burung belibis yang bertenggek atas dahan itu bagaikan merenung ke arah kami.
Dari atas dahan itu burung belibis hitam terbang ke arah busut jantan dan hinggap di situ. Datuk masih lagi membaca sesuatu. Seluruh badannya dibasahi peluh. Saya terus menahan nafas, saya tidak mahu bunyi tarikan nafas saya akan mengganggu datuk yang sedang menjalankan tugasnya. Malam pekat terus menguasai sekitar kawasan kolam.

Burung belibis yang hinggap di busut jantan terus hilang dari pandangan mata saya. Bunyi bising mula kedengaran bercampur dengan suara petir, bumi bagaikan bergegar. Saya terus berdoa semoga jangan terjadi gempa bumi atau puting beliung. Saya lihat datuk mula bergerak kearah busut jantan. Kami bergerak mengikut datuk dengan hati-hati. Kami menarik nafas panjang. Di atas busut jantan tertonggok satu lembaga yang besar. Duduk bersila dengan kedua belah tangannya mendakap dada. Lembaga yang berkulit hitam tanpa baju itu bagaikan sedang menghening cipta atau bertafakur.
Datuk terus mara ke arahnya. Lebih kurang dalam jarak lima kaki darinya datuk terus berhenti. Kami jadi resah . Tetapi, tidak seorang pun yang berani menyatakan keresahan masing-masing.

"Pergilah ke kolam itu semula, tepuk airnya tujuh kali kemudian sapukan ke muka, dengan berbuat begitu saja mayat orang yang hilang itu akan timbul", kami terdengar suara lelaki.

Suara itu parau dan bernada keras. Saya yakin suara itu keluar dari mulut datuk. Rasa ragu yang timbul di hati saya itu segera hilang. Suara itu adalah suara lembaga yang duduk atas busut jantan tetapi, telah di pindahkan ke dalam diri datuk. Ertinya datuk sudah berjaya mempersatukan perasaannya dengan alam ghaib. Seterusnya kami dapat mendengar percakapan yang terjadi antara datuk dengan lembaga itu seperti berikut.

"Ada lagi yang mahu aku pinta padamu"

"Apa dia, cakaplah sekarang"

"Kami mohon keselamatan diri orang-orang yang datang ke sini. Janganlah diri mereka dianaiya"

"Boleh. Dengan syarat jangan menembak atau membunuh rakyat aku. Kalau mahu, minta cara baik"

"Bagaimana caranya?"

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 2)Where stories live. Discover now