Din Taiwan memberitahu datuk dengan ilmunya dia telah merogol lebih dari seratus orang wanita yang yang terdiri dari anak dara, janda dan isteri orang. Dia telah menggunakan ilmunya itu untuk merompak dan membunuh orang.
Akhirnya di tembak mengunakan peluru emas. Memang pada awalnya, dia menuntut ilmu itu untuk melindungi dirinya dari perbuatan orang, tetapi, bila separuh menuntut dia sudah terpengaruh dengan syaitan untuk merosakkan orang lain demi kebahagiannya. Dia meninggalkan gurunya lalu menjadi orang jahat. Masa dia membuat kerja-kerja maksiat itulah dia selalu mempengaruhi anak-anak muda lain untuk menganggotai kumpulannya.Dia mengakui, dialah yang memberi beberapa ajaran pada Razman yang patah cinta, kerana pinangannya ditolak oleh kedua orang tua Mariam. Dia mengajarkan Razman supaya melarikan Mariam untuk dijadikan perempuan simpanan.
"Kau memang jahat", kata datuk secara mendadak.
"Siapa guru kamu?"
"Aku menuntut pada mulanya dengan orang asli di hutan Sabah, kemudian aku terus memuja-memuja roh dan pangkal-pangkal kayu"
"Syaitan", jerit datuk lalu membaca Surah Al-Kursi, kemudian datuk melemparkan batu yang digenggamnya ke arah Razman (Din Taiwan).
Api menjulang bersama jeritan yang amat kuat. Bila api padam di kawasan tempat tubuh Razman ditanam, terdapat timbunan abu. Abu itu berkumpul di dalam lubang. Datuk timbus abu itu dengan tanah. Kami meninggalkan kawasan itu bila fajar sidik timbul dikaki langit.
"Kita harus berada di rumah sebelum azan", beritahu datuk pada saya.
Kami melangkah dengan cepat menuju ke rumah Mail. Tetapi, hati saya sungguh kesal, secara tidak langsung datuk telah membunuh Razman anak kesayangan Mail. Apakah yang akan dijawap oleh datuk pada Mail dalam hal ini? Datuk sudah menambahkan musuh dalam hidupnya. Saya merasa menyesal dan menganggap datuk seorang pembunuh. Bagi menjimatkan masa, kami tidak terus ke rumah Mail. Kami singgah di perigi mengambil air sembahyang. Kemudian ke rumah Mail, terus duduk di anjung. Beberapa minit kemudian kami terdengar suara azan.
Ketika datuk mahu memulakan sembahyang, Mail datang dan datuk menjadi imam pagi itu. Setelah selesai sembahyang, datuk tergesa-gesa masuk keruang rumah. Alangkah terkejutnya saya, bila mendapati Razman terbaring di tempatnya. Saya jadi bodoh dengan kejadian itu. Siapakah yang didukung dan dibakar oleh datuk tadi?
Dalam keadaan yang serba salah itu, saya lihat datuk berdiri di hujung kepala Razman. Datuk minta semangkuk air dari Mail. Datuk masukkan tangan ke dalam mangkuk itu.
Air melekat di hujung jari itu datuk titiskan ke muka Razman. Razman mengeluh. Serentak dengan itu, saya lihat macam kabus nipis keluar dari hujung kaki Razman. Kabus nipis itu terus berkumpul dan akhirnya wujudlah batang tubuh seorang lelaki iaitu, Din Taiwan.
"Pulanglah syaitan, jangan kau kacau anak cucu adam ini", kata datuk.
Kabus itu ghaib. Mail terkejut, dia tidak tahu dengan siapa datuk bercakap. Dia tidak nampak seperti apa yang saya lihat. Saya juga hairan macam mana benda-benda ganjil itu boleh saya lihat. Bila saya menoleh ke kiri merenung wajah datuk tersenyum.
"Pulangkan kain hitam aku", minta datuk, barulah saya sedar yang kain hitam itu membuat saya melihat kejadian aneh sebentar tadi.
Kain hitam dalam saku saya serahkan pada datuk. Datuk terus lipatkan kain hitam hingga jadi tiga segi. Kemudian, datuk sumbatkan kain itu ke dalam saku seluarnya. Perlahan-lahan datuk membuka sila. Datuk lunjurkan kaki kirinya dan kaki kanannya dilipatkan. Saya lihat datuk menggigit ibu jari kirinya dua kali. Kemudian dia menyusun jari sepuluh dan hujang jarinya itu bertemu dengan bibir atas, macam pendekar zaman silam mengadap sultan.
Saya terkejut bila datuk terbatuk, bagaikan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Datuk senyum pada saya, selalunya bila datuk berbuat begitu, membawa tanda ada sesuatu yang belum pemah saya lihat akan dilakukannya. Ramalan saya itu memang tepat. Datuk sudah pun membetulkan silanya dengan kedua belah tapak tangannya menekan ke pala lutut. Datuk mengalihkan pandangannya ke mangkuk putih, matanya kelihatan bersinar tidak berkedip merenung kearah bibir mangkuk putih yang terletak dekat tubuh Razman. Urat-urat merah mula timbul dibahagian mata putihnya. Pangkal urat-urat yang merah itu bagaikan berakar dari keliling bahagian anak mata hitamnya. Dan air dalam mangkuk putih berkocak sendiri, bagaikan ada tenaga ghaib yang menggerakkan badan mangkuk tersebut.