Matahari terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah meningkah didahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan. Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium bau daun dan tanah.
"Mereka sudah hampir", kata datuk.
Saya angkat kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat. Saya lihat muka datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri saya.
"Cuba renung ke depan", bisik datuk.
Saya pun renung ke depan. Dari celah-celah daun serunai laut itu, saya lihat tiga manusia datang kearah kami. Dua daripadanya membawa senapang kampung laras dua. Seorang lagi membawa kayu bulat kira-kira enam kaki panjangnya. Sambil melangkah mereka merenung ke kiri dan ke kanan macam mencari sesuatu. Akhirnya, mereka terus duduk atas tanah datuk."Keluar", kata datuk.
"Ke mana?" tanya saya.
"Rapat pada mereka"
"Merbahaya tu tok"
"Kau ni suka sangat bantah cakap orang, ikut saja sudahlah", datuk mula marah dan menarik saya keluar dari bawah rimbunan daun serunai laut.
Datuk suruh saya berdiri sambiI meletakkan tapak tangan kanan atas bahagian punggung.
"Jatuhkan tangan itu dan melangkah perlahan-Iahan", perintah datuk saya patuhi.
Kerana kami melangkah begitu hati-hati dan datang pula dari arah belakang, ketiga-tiga manusia yang duduk itu tidak sedar kami sudah menghampiri mereka. Datuk pura-pura batuk. Ketiga-tiga manusia itu melompat dan terkejut besar. Salah seorang daripada mereka menghalakan muncung senapang itu.
"Kerana awak berniat mahu menembak lepaskan tembakan itu", kata datuk.
Orang itu tergamam melihat wajah datuk yang dibasahi peluh. Senapangnya terlepas dari tangan, datuk terus menyambarnya. Melihat senapang sudah berada di tangan datuk, kawannya yang seorang lagi jadi cemas. Kawannya itu merasakan keselamatan dua orang kawannya dalam bahaya dan tanpa berfikir panjang orang itu menghalakan hujung senapangnya ke arah datuk lalu menarik pemetik senapang. Senapang itu tidak berbunyi dan mengeluarkan peluru walaupun pemetiknya ditarik berkali-kali. Melihat keadaan yang ganjil itu, orang itu jadi cemas. Mukanya pucat.
"Saya tidak berniat jahat pada awak semua. Kenapa mahu menembak kami? Awak bertiga masuk ke tanah saya", beritahu datuk pada orang ketiga.
Mereka berpandangan sesama sendiri. Datuk memulangkan senapang di tangannya kepada orang yang berhak.
"Saya bukan musuh. Saya bukan komunis yang mesti awak takutkan", tambah datuk lagi.
Saya lihat orang bertiga menarik nafas panjang. Mereka bersalam dengan datuk minta maaf. Datuk pula minta mereka melepaskan tembakan ke udara kerana menurut datuk, peluru senapang itu harus dikeluarkan kerana itu adalah merupakan niat dari tuan punya senapang. Kalau tidak dilepaskan senjata itu akan memakan tuannya sendiri. Berpandukan pada petua datuk itu, kedua lelaki yang memiliki senapang berlaras dua melepaskan tembakan. Gema dari tembakan itu menguasai seluruh kawasan di pinggir banjaran gunung Titiwangsa yang mengakibatkan monyet-monyet liar bertiampiaran lari, melompat dari dahan ke dahan. Dedaun getah muda dan tua berguguran.
Suasana di kawasan tersebut jadi haru-hara.
Bila suasana sudah tenang, datuk pun mengajak ketiga-tiga orang itu bersila di atas tanah. Kerana kami ada membawa air kopi dan goreng pisang datuk pun menjamu mereka. Rasa kemesraan terjalin antara kami dengan orang bertiga.
Saya merenung ke arah lelaki yang berbadan tegap, berambut panjang dengan parut besar melintang atas dahinya. Dia kelihatan resah tidak menentu macam ada sesuatu yang dibimbangkannya. Tetapi, dua orang lagi kawannya tidak begitu resah atau bimbang.