Datuk pun melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Angin petang yang bertiup kencang mengugurkan dedaun getah tua yang memagari pinggir kampung. Mata saya masih tertumpu ke arah rumah papan yang beratap rumbia. Pintu dan tingkap rumah bertutup rapat. Di kaki tangga ada tempayan besar. Sebelah kanan rumah terdapat pokok mempelam telur yang sedang berbunga lebat."Apa yang kau nampak?", tanya datuk pada saya.
"Tak ada apa-apa tuk"
"Baguslah", balas datuk dan terus duduk di atas tunggul getah. Anak muda yang sejak tadi berdiri di sebelahnya juga turut duduk. Anak muda itu nampak cemas.
"Nama kamu siapa?"
Saya tersenyum, kenapa begitu lambat datuk mahu mengetahui nama anak muda itu. Agaknya datuk terlupa atau sengaja dia berbuat demikian dengan tujuan tertentu, fikir saya dalam hati.
"Nama saya?", ulang anak muda itu.
"Ya nama kau"
"Orang kampung panggil saya Man Beliung, nama sebenar ikut kad pengenalan dan surat beranak Osman"
"Fasal apa orang kampung panggil kamu Man Beliung?", datuk mencungkil rahsia.
Osman segera bangun dan kerutkan dahi sempitnya. Sinar matahari petang kian redup. Beberapa ekor burung gagak liar mula hinggap ke atas tulang bumbung rumah papan beratap rumbia. Gagak-gagak itu berbaris menghala ke arah matahari sambiI berbunyi. Suara gagak itu parau dan kalau di teliti bunyinya macam orang mencarik kain kapan.
"Sebabnya, pasal saya lahir dulu, bidan yang menyambut saya bersama sebilah beliung kecil", Osman membuka kisah dirinya.
"Mana kau tahu?", tanya datuk lagi.
"Ayah saya yang cakap dan ibu saya sendiri mengakuinya. Menurut kata ayah, kalau saya tidak disambut dengan beliung kecil itu saya tidak akan lahir dan ibu akan mengandung sampai mati. Beliung itu ayah yang berikan pada bidan"
Datuk terdiam mendengar cerita dari Osman. Suara gagak di atas tulang bumbung rumah papan beratap rumbia terus berbunyi. Saya menumpukan perhatian ke arah rumah tersebut, sebahagian daripada rumah itu tidak kena cahaya matahari kerana terlindung oleh pokok besar. Tiba-tiba sahaja badan saya terasa saya terasa seram. Bulu roma saya mula tegak, anehnya bila saya tidak melihat ke arah rumah itu rasa seram tidak saya rasai.
"Beliung itu ada pada kau?", saya terdengar datuk menyoal Osman.
"Ada saya simpan. Berbalut dengan kain kuning dan diikat dengan benang tujuh warna"
"Apa warnanya?"
"Saya tak berapa ingat. Tapi warna hitam lebih banyak dari warna lain"
Datuk saya lihat resah tidak menentu. Sekejap dia kerutkan dahi, sekejap menggaru pangkal kening. Sekejap memicit pangkal hidung. Semua yang datuk lakukan serba tak kena. Dalam keadaan datuk yang tidak menentu itu, saya renung ke arah rumah beratap rumbia. Saya lihat bahagian tingkap yang tidak kena sinar matahari terbuka dengan sendiri. Ada kelibat manusia berdiri di situ. Saya memberanikan diri untuk melihatnya, tiba-tiba telinga terasa kosong. Tidak ada satu pun yang dapat saya dengar dan kepala saya terasa pening. Saya segera merenung ke arah lain. Pendengaran saya kembali macam biasa, rasa mahu pening terus hilang. Saya tidak berani mengulangi perbuatan itu lagi.
"Kau simpan beliung tu di mana?"
Saya mula bosan dengan sikap datuk. Tidak habis-habis menyoal Osman dan tidak merasa bosan macam saya. Dia menjawap dengan jelas apa yang disoal oleh datuk. Osman terus memberi tahu datuk bahawa beliung itu disimpan dirumahnya yang terletak berhampiran jalanraya. Osman juga memberitahu tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya berjumlah lima ekar lebih. Tiga ekar lagi dijadikan dusun.