throwback ... mak jah dan mak ton

175 2 0
                                    

Nazia memangku kepalanya di birai jendela. Membiarkan angin sepoi-sepoi bahasa membelai wajahnya. Dia memejamkan matanya sambil hidungnya kembang kempis menghirup udara pagi yang segar itu. Dia seolah bertafakur menenangkan dirinya. Bayu pagi yang lembut itu menampar-nampar wajahnya dan rambutnya juga terurai dibelai sang bayu.

"Sayang ! Andai masih ada angin bertiup, ketahuilah ianya menyampaikan salam rindu dari kejauhan ini."

Matanya dipejamkan rapat lagi. Wajahnya terdongak menghirup udara segar pagi hari. Mentari juga mula memunculkan diri. Melebarkan cahayanya menerangi pelusuk alam ini. Dia menarik nafas panjang, perlahan-lahan disedut nyaman. Kemudian hembusan yang lembut juga dilakukan. Mengeluarkan karbon monoksida dan toksin yang ada di dalam pernafasannya. Melepaskan ketegangan dan keluhan dari membelenggu dirinya.

" Sayang, setiap hela dan hembusan nafas ini, setiap detak jantung dan aliran darah kita. Ketahuilah ianya sarat dengan kerinduan dan kasih sayang."

Dia terus membiarkan dirinya terbuai dengan suasana yang tenang dan nyaman itu. Fikirannya rasa tenang dan damai.

" Aya, jomlah sarapan dulu. Nenek masak nasi lemak pagi ni. Aya tentu suka, nenek masak sambal sotong !" Suara lembut menyapa cuping telinganya. Belakangnya dibelai lembut. Nazia berpaling dan tersengih. Khayalannya terputus dengan sapaan itu. Wajah perempuan yang berkedut seribu di depannya itu di peluk.

" Terima kasih nenek. Kesian nenek sorang-sorang di dapur. Ada cucu tetapi tak reti nak tolong !" Ujar Nazia dengan rasa bersalah. Pipi dan dahi neneknya dikucup dengan kasih sayang. Menyerlahkan tautan kasih sayang di antara nenek dan cucu.

" Tak mengapa Cu. Nenek gembira masak untuk Aya. Malam tadi Aya dah masak untuk makan malam kita. Pagi ni biar nenek pula yang masak. Dahlah tu ! Jom kita sarapan," ajak Nenek Som sambil tangan cucunya di tarik ke arah dapur.

Di atas meja telah tersusun bekas yang bertutup. Hati Nazia terharu melihat masakan yang disediakan oleh neneknya.

" Nenek duduklah. Biar Aya sendukkan nasi untuk nenek ," ujar Nazia sambil menarik kerusi mempelawa neneknya duduk. Perempuan separuh usia itu mengangguk dan duduk. Matanya ralit memerhati cucu, satu-satunya cucu yang dia ada melayaninya di meja makan. Pinggan nasi di letakkan di depan neneknya. Kemudian dia menyendukkan pula sambal sotong dan timun yang dihiris nipis ke dalam pinggan neneknya.

Dua bercucu itu menikmati sarapan mereka dengan berselera. Nazia berbual mesra dengan neneknya sambil menikmati hidangan yang menyelerakan itu. Secawan tea o kosong tanpa gula menjadi hidangan sampingan pelengkap sarapan pagi itu.

----***-----

Nenek Som menggeleng kepalanya. Isyarat mata membuat Nazia tertunduk dan faham. Dia melihat Nazia meramas kedua tangannya. Tanda protes dalam diam. Tapi dia cuba menahan dan menyabarkan cucunya itu. Dia tidak akan sesekali biarkan perkara itu berlarutan. Dia sayangkan cucunya. Dia faham keresahan dan ketidakpuasan hati cucunya. Tetapi dia tidak ingin membiarkan perkara sebegitu terus berlarutan.

" Kamu ni mak bapak doktor, tapi kenapalah kamu kerja cam tu aje. Nak kata sekolah tak pandai tapi ada Ijazah. Pelik betullah dengan kamu ni Aya," sergah Mak Rabihah jirannya. Dia mencebik bibir bila mendapat tahu Nazia mendapat kerja sebagai jururawat. Selama ini dia ingatkan Nazia belajar kedoktoran tetapi bila terserempak dengan Nazia di Hospital barulah dia tahu kerja Nazia. Petang itu juga dia bertandang ke rumah Nenek Som bertanya cerita sebenar.

" Tak mengapalah Bihah. Rezeki dia setakat tu aje. Tak semestinya mak bapak doktor anak pun kena kerja doktor," jawab Nenek Som lembut. Dia tidak boleh berkasar kerana dia tahu dengan sikap Mak Rabihah jirannya itu. Nanti kalau ada yang jelek sekampung akan dijajanya.

Doktor Ni... SweetlahWhere stories live. Discover now