PAGI ini, Piah tiada mood untuk berbual dengan sesiapa. Bukan disebabkan kes Farhan tetapi disebabkan Suraya. Petang ini keluarga Suraya akan pulang ke sini. Sepatutnya mereka akan balik ke sini pada malam esok.
"Hah!" Sergah Fariha.
Habis tercampak jagung kering yang berada di tangannya. Mahu saja Piah menyumbat makanan ayam itu ke mulut Fariha. Biar berbuka puasa terus hari ini.
"Kau bagi ayam dengan itik makan, tak ajak pun aku," rajuk Fariha.
Inilah gaya budak bandar yang jarang jumpa itik dan ayam. Nak bagi ayam itik makan pun, sampai nak merajuk,
"Nah, sambunglah bagi." Piah menghulurkan makanan yang masih berbaki di dalam plastik kepada Fariha.
Tersenyum ceria Fariha sebaik sahaja diberi peluang itu. Piah masih memikirkan nasib dirinya sebentar lagi.
"Kejap lagi aku nak kemas barang aku bawa ke bilik dapur. Malam ni aku tidur dekat sana. Kau tolong jaga barang-barang aku ye," pesan Piah sambil mengeluh lemah.
Berkerut dahi Fariha. Wajah Piah dipandang dengan rasa pelik.
"Kenapa pula kau nak duduk bilik bawah?"
"Kau lupa ke pasal si kembar tu? Petang ni mereka sampai. Kat mana lagi mereka nak tidur melainkan bilik aku tu." Piah mengingatkan Fariha tentang rutin kebiasaannya jika keluarga Suraya pulang ke sini.
Tegang wajah Fariha ketika itu.
"Yang kau ni baik sangat dah kenapa? Kalau aku, lantak diorang nak tidur dekat mana. Tu kan bilik kau Piah. Suka sangat mengalah..." Fariha langsung tidak bersetuju dengan sikap Piah.
"Aku malaslah nak bergaduh. Bukan menang pun nanti. Mak ngah tu kalau dia dah start enjin dia membebel, ni telinga aku... boleh bernanah tau. Aku pun tak nak lah buat opah serba salah."
Belum sempat Fariha ingin membebel, muncul Fakrul di kawasan reban ayam.
"Kak Riha, papa panggil..."
"Kenapa papa panggil?" Soal Fariha.
Fakrul hanya angkat bahunya tanda tidak tahu.
Fariha bergegas mengikut Fakrul masuk ke dalam rumah. Piah duduk mencangkung sambil termenung jauh.
"Ehem..."
Piah terus berdiri tegak sebaik sahaja mendengar suara garau itu berdeham.
"Tak panas ke duduk dekat sini?" Tanya Farhan sambil duduk mencangkung. Tangannya menguis-nguis tanah dengan menggunakan ranting kayu.
"Tak berapa panas sangatlah..." Piah cuba bersikap tenang.
Mereka berdua jelas kelihatan agak janggal ketika ini. Piah sebenarnya masih lagi tertanya-tanya tentang keputusan Farhan untuk belajar di Jepun. Kalau boleh, mahu sahaja Piah melarang Farhan dari pergi ke sana tetapi dia tidak mempunyai hak.
"Bila Abang Paan nak ke Jepun?"
Piah cuba memberanikan diri untuk mendapatkan jawapan sebenar. Tak senang duduk dia jika tidak mendengar jawapan dari empunya badan.
Terkedu Farhan dengan soalan itu. Namun, wajahnya masih lagi kelihatan tenang.
"InshaAllah, tahun depan abang ke sana."
Piah terus menundukkan wajah. Kecewa dengan jawapan itu.
"Nanti Abang Paan dah ke Jepun, mesti Abang Paan akan lupakan Piah dan opah kan?" Luah Piah dengan perasaan sebak. Entah kenapa, mudah benar dia berasa cengeng dengan berita ini.
KAMU SEDANG MEMBACA
Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral
RomantikPiah Dan Mr.Beku Seorang ceria Seorang lagi dingin Piah yang sukakan sepupunya sejak kecil Walaupun Mr. Beku yang dingin, namun masih ada sifat melindungi diri Piah Seksa betul hati Piah mencintai dalam diam Dijodohkan dengan Mr.Beku atas sebab ter...