Enam tahun kemudian...
SUDAH hampir setahun Piah bekerja di Kedai runcit Pak Anas sebaik sahaja dia tamat belajar di tingkatan enam. Keadaah yang memaksa Piah untuk tidak menyambung pelajarannya ke IPTA.
"Pak Anas, Piah nak balik awal hari ni. Opah tak berapa sihat." Terpaksa dia menebalkan muka untuk pulang ke rumah dengan lebih awal.
"Opah kamu tak sihat lagi ke? Kalau macam tu, baliklah sekarang," arah Pak Anas.
Lega hati Piah apabila Pak Anas memberi kebenaran. Dia sebenarnya sangat risau dengan keadaan Saleha. Sejak akhir-akhir ini, kesihatan Saleha semakin teruk. Puas dipujuk untuk ke hospital tetapi Saleha masih enggan.
Oleh sebab itu jugalah, Piah tidak mahu menyambung pelajaran ke IPTA walaupun dia mendapat keputusan yang baik dalam STPM. Nasibnya tidak sebaik Fariha yang kini sedang belajar di salah sebuah IPTA tempatan. Kisah Farhan pula, langsung lenyap sejak melanjutkan pelajaran ke Jepun.
Sepatutnya Farhan sudah pun pulang ke Malaysia pada tahun lepas. Namun, Farhan menangguhkan kepulangannya selama setahun kerana ingin bekerja di sana.
Piah sudah belajar menerima kenyataan yang Farhan sedang bahagia bersama Humaira. Dia secara tidak sengaja pernah terlihat gambar Farhan bersama Humaira ketika dia meminjam telefon Fariha. Kebetulan pula, laman social Fariha masih aktif.
Kini, Piah lebih suka hidup berdikari untuk menyara kehidupannya bersama Saleha. Suraya pula sudah hampir dua tahun tidak pulang ke kampung. Semuanya berpunca daripada pergaduhan besar di antara Saleha dan Suraya.
Hampir gila Piah dibuatnya apabila dia dipaksa berkahwin dengan anak kawan baik Suraya. Ketika itu, Piah baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM. Mujurlah Saiful memberi amaran keras kepada Suraya supaya tidak mengganggu Piah.
Piah segera mengemas barangnya untuk pulang ke rumah. Dia hanya berjalan kaki sahaja balik ke rumah setiap hari. Jarak dari rumahnya dan ke tempat kerja hanya mengambil masa lima minit sahaja.
Setibanya Piah di halaman rumah, hati Piah semakin berdebar saat terlihat ada kereta ayah saudaranya di hadapan rumah. Pelik dengan kedatangan keluarga Saiful yang secara tiba-tiba itu.
" Assalamualaikum..." Laung Piah.
" Waalaikumussalam. Piah!" Jerit Fariha dari ruang tamu.
Fariha meluru ke arah Piah dan memeluk tubuh itu dengan erat. Tercengang Piah dibuatnya dengan gelagat Fariha.
"Awal balik hari ni, Piah. Kedai Pak Anas tutup awal ke?" Tanya Saleha. Kebiasaannya Piah akan sampai di rumah sebelum pukul tujuh malam.
"Eh! Tak adalah opah. Piah balik awal sebab nak tengok opah. Lama dah ke pak long dan mak long sampai?" Segera Piah bersalam dengan kedua ibu bapa saudaranya.
"Baru je sampai. Piah kenapa kerja kat situ? Kan mak long dah suruh Piah fikirkan tentang rancangan untuk sambung belajar."
Tangan Piah ditarik supaya duduk di sebelahnya. Sudah puas suami isteri itu memujuk Piah untuk menyambung pelajaran tetapi Piah masih berkeras untuk menangguhkan rancangan itu.
"Ada rezeki, Piah sambunglah belajar." Piah sekadar tersenyum tawar.
Faridah mengeluh lemah. Tidak tahu lagi cara untuk memujuk anak saudaranya itu.
"Piah, nanti kemaskan baju. Esok, kita ikut pak long ke KL. Nanti beritahu Pak Anas, Piah nak berhenti kerja," arah Saleha.
Terkedu Piah.
"Kenapa pula kita nak ke sana?" Laju Piah bertanya.
"Pak long nak jaga opah. Nanti dekat sana, boleh mak long tolong tengokkan opah. Piah pun boleh fikir untuk sambung belajar." Terang Saiful tentang tujuan kedatangannya itu.
KAMU SEDANG MEMBACA
Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral
RomancePiah Dan Mr.Beku Seorang ceria Seorang lagi dingin Piah yang sukakan sepupunya sejak kecil Walaupun Mr. Beku yang dingin, namun masih ada sifat melindungi diri Piah Seksa betul hati Piah mencintai dalam diam Dijodohkan dengan Mr.Beku atas sebab ter...