Bab 1

33.8K 1K 33
                                    

MELIHAT tanah yang masih merah lagi, membuatkan hati tua Saleha bertambah sayu. Sungguh dia tidak menyangka dalam usia yang sudah senja, dia kehilangan anak bongsunya Safina dan menantu lelaki, Mazlan.

Arwah Safina dan Mazlan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sufiah yang lebih dikenali dengan panggilan manja, Piah sekelip mata menjadi anak yatim piatu.

Piah yang baru berusia empat tahun, hanya memandang jasad kedua ibu bapanya dikebumikan di dalam satu liang lahad.

Sebaik sahaja majlis pengebumian arwah Safina dan Mazlan selamat dikebumikan, orang ramai beransur pulang. Piah masih lagi terkebil-kebil melihat keadaan di sekeliling kawasan perkuburan itu.

"Piah, jom ikut opah balik." Saleha mengusap lembut kepala cucu dengan penuh kasih.

Piah mendongak memandang Saleha.

"Opah, kenapa umi dengan babah ada dekat situ? Kesian umi dengan babah kena tanam. Nanti siapa nak main dengan Piah?" Naif Piah bertanya.

Sebak hati Saleha mendengar kata-kata cucunya. Namun, dia cuba memberi alasan yang terbaik supaya Piah mudah faham. Dalam usia sekecil Piah, dia masih belum mengerti apa-apa.

"Piah sayang umi dan babah kan? Kalau sayang, Piah kena selalu mengaji Al-Quran dan jangan tinggal solat. Allah sayang sangat dengan umi dan babah, sebab tu Allah ambil mereka dulu." Perasaan sebak di dada Saleha, cuba ditahan. Dia perlu kuat di hadapan Piah.

Makin bulat mata Piah.

"Kalau macam tu Piah nak balik rumah cepatlah. Piah nak solat dengan opah." Tersenyum kecil Piah sambil memegang erat tangan Saleha.

Saleha angguk kepala. Mereka berjalan berpimpingan tangan menuju ke rumah. Hati Saleha berasa resah memikirkan nasib cucunya selepas ini.

SALEHA melihat anak-anaknya sudah pun berkumpul di ruang tamu rumah. Kini dia hanya mempunyai tiga orang anak bersama dengan arwah suaminya setelah kehilangan arwah Safina.

"Mak betul ke nak jaga si Piah tu?" Tanya Suraya atau dikenali dengan panggilan angah di kalangan ahli keluarga.

"Kenapa? Angah ingat mak tak mampu nak jaga Piah. Selama ni pun, arwah adik memang tinggal dengan mak. Mak rasa tak ada masalah kalau mak nak jaga Piah."

Suraya mencebik bibir tanda meluat. Sakit juga hatinya mendengar jawapan Saleha.

"Dulu dengan sekarang tak sama mak. Kalau dulu arwah mak bapak budak tu ada. Sekarang, takkan mak pula yang nak cari masalah jaga budak tu."

Kamal, suami Suraya yang kurang senang dengan kata-kata isterinya terus mencuit lengan. Namun, Suraya hanya berbuat selamba sahaja.

"Eh! Angah cakap apa ni?" Geram juga Saiful mendengar kata-kata kasar Suraya. Sebagai anak yang sulung, dia tidak suka adik-adiknya bersikap kurang ajar dengan emak mereka.

"Betullah apa angah cakap. Mak tu bukannya muda lagi. Kalau along baik sangat, jagalah Piah tu?" Sindir Suraya yang tidak mahu mengaku salah.

"Memang itu pun along nak buat. Mak, Piah tu biar along yang jaga. Mak pun tinggal je dengan kami," pinta Saiful dengan penuh berharap.

Faridah turut bersetuju dengan kata-kata suaminya. Faridah berasa sebak apabila mengenangkan Piah yang sebaya dengan anak keduanya itu telah menjadi yatim piatu.

"Mak tak setuju. Mak masih lagi larat nak jaga cucu mak. Sejak dari Piah lahir lagi, dia dah tinggal serumah dengan mak. Mak tak sanggup nak tinggalkan rumah ni. Susah senang mak, biarlah mak besarkan Piah di sini..."

Syamsul yang hanya berdiam diri sejak dari tadi turut terkesan dengan sikap kakaknya. Langsung tidak bersedih dengan kehilangan adik bongsu mereka. Hendak ditegur, dia takut akan dimarahi. Kesian juga dia dengan nasib anak saudaranya itu.

"Mak, along ikhlas nak jaga Piah tu mak." Sekali lagi Saiful cuba memujuk.

"Mak tahu along tapi mak tetap nak jaga dia sendiri." Tegas Saleha memberikan keputusannya.

Tanpa disedari oleh mereka, Piah telah pun mendengar perbualan mereka sejak dari awal. Walaupun Piah masih kecil, tetapi dia tahu perkara yang sedang dibincangkan oleh mereka.

Perlahan-lahan Piah melangkah keluar melalui pintu dapur. Dia terus menuju ke arah pangkin dan duduk di situ. Keluhan nipis keluar dari bibirnya.

"Umi, babah... Piah rindu."

Lama Piah termenung seorang diri di atas pangkin itu. Tiba-tiba badannya ditolak dengan kuat. Piah jatuh melutut di hadapan pangkin. Sakit di lututnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Makin galak anak kembar kesayangan Suraya ketawakan Piah. Terpinga-pinga Piah dengan perbuatan si kembar.

"Kenapa tolak Piah?" Terkejut juga Piah kerana tiba-tiba dia ditolak tanpa sebab.

"Tepilah! Kita nak main dekat sini. Sibuk je." Marah Naura. Naira hanya tersenyum mengejek melihat Piah yang masih terduduk di atas tanah.

"Tapi Piah yang duduk sini dulu. Kita main sama-sama nak tak?" Ajak Piah dengan wajah yang ceria.

"Tak nak aku. Mak aku cakap kau ni pembawa malang..." Naira tayang wajah meluat.

Terkebil-kebil mata Piah memandang Naira. Tidak faham dengan perkara yang dikatakan oleh sepupunya itu. Si kembar hanya tua setahun sahaja dari Piah.

"Ehem..."

Tersentak ketiga-tiga mereka apabila melihat Farhan dan Fariha muncul di hadapan mereka.

"Piah, sakit tak?"

Fariha membantu menarik tangan Piah supaya dapat berdiri tegak. Kecut perut si kembar melihat wajah beku Farhan ketika itu.

"Abang Paan nak main dengan kami tak?" Ajak Naira yang cuba menutup kesalahan mereka. Takut juga jika perbuatan mereka dikesan.

Farhan hanya menggelengkan kepala tanda menolak.

"Kenapa tolak Piah? Nanti kita cakap dekat Opah." Fariha mencerlung mata kepada Naira dan Naura.

"Dia jatuh sendirilah. Tak percaya, tanya Piah," jawab Naira tanpa rasa bersalah.

"Betul ke?" Farhan bertanya sambil menatap tajam ke arah Piah.

Perlahan-lahan Piah angguk kepala. Seriau pula Piah melihat renungan tajam abang sepupunya yang tua lima tahun itu. Terpaksa dia berbohong kerana tidak mahu perkara ini diadu kepada Suraya. Pasti mengamuk orang tua itu nanti.

Naura dan Naira menarik nafas lega. Tanpa membuang masa, laju si kembar masuk ke dalam rumah. Fariha berasa sangat geram dengan si kembar kerana bercakap bohong.

Piah duduk di pangkin sambil berjalan terhenjut-henjut. Seluar dilipat sehingga ke paras lutut. Dia meniup pasir yang melekat di kawasan luka itu. Tiba-tiba, Farhan mengelap luka itu dengan sehelai sapu tangan. Terkejut Piah dengan reaksi Farhan.

"Jangan Abang Paan. Nanti kotor sapu tangan tu." Laju tangan Piah cuba menolak tangan Farhan.

Farhan yang duduk mencangkung di hadapan Piah terus mematikan perbuatannya. Sapu tangan itu diletakkan di atas riba Piah.

"Sapu tangan tu aku dah tak nak. Kau nak, ambillah. Kalau tak nak, boleh buang."

Dengan wajah tanpa perasaan, Farhan masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Terpinga-pinga Piah dengan reaksi Farhan. Piah mengambil sapu tangan yang berada di atas ribanya.

"Hishh! Apalah Abang Paan ni? Patutnya, letaklah ubat dulu. Piah, jomlah kita masuk dalam rumah. Nanti aku suruh mama letak ubat," cadang Fariha.

Piah hanya tersenyum mendengar kata-kata Fariha. Sapu tangan milik Farhan disimpan ke dalam poket seluar. Hanya Fariha yang rapat dengannya berbanding sepupu yang lain. Mungkin juga disebabkan mereka sebaya.

Tanpa pengetahuan sesiapa, Piah sudah lama menyukai Farhan. Setiap kali keluarga pak long pulang ke kampung, Piah suka mencuri melihat wajah Farhan. Tidak sangka hari ini Farhan sudi memberikan sapu tangan. Hampir sahaja dia melompat gembira.

💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖

Yang rindu Piah dan Paan, kt bg sampai 15 atau 20 bab dulu ye. Bakal terbit hujung tahun ni😘
Versi mungkin ada lagi tambah scene atau diedit ye😍

Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang