SEPERTI yang dirancang, hari ini Piah dan Farhan akan pergi ke butik pengantin untuk mencuba pakaian akad nikah mereka. Fariha juga turut diheret bersama mengikut Piah atas permintaan keluarganya. Lagipun tidak manis jika Farhan dan Piah keluar berdua sahaja ke mana-mana.
Ketika mereka keluar berdua tempoh hari untuk mencari barang hantaran, teruk mereka dibebel oleh Saleha. Saiful turut menegur kelakuan mereka berdua supaya tidak keluar berdua-duaan lagi. Serik Piah dibuatnya selepas kejadian itu.
Setibanya mereka di Butik Pengantin Khaleeda, mereka disambut oleh salah seorang pekerja di butik itu. Hampir terbeliak biji mata Piah melihat rekaan baju pengantin yang ada di situ. Pakaian yang ada di butik ini sangat cantik dan lebih menekankan ciri-ciri muslimah.
"Farhan..."
Piah dan Fariha menoleh ke arah pemilik suara itu. Tersenyum Farhan saat melihat kehadiran sahabat baiknya itu. Fariha berasa hairan melihat kehadiran gadis itu di butik ini.
"Maira, lama ke awak tunggu kami? Jalan sesak tadi. Itu yang kami lambat sampai," jelas Farhan.
Piah yang mendengar nama gadis itu sudah berubah riak. Sah! Gadis itu memang sama dengan gadis di dalam gambar yang di lihatnya di telefon bimbit Fariha. Humaira kelihatan sangat cantik dan ayu. Jujur dia sudah berasa rendah diri saat membandingkan dirinya dengan Humaira.
"Tak apa. Saya pun tak ada hal hari ni. Jadi, awak ke Sufiah?" Ramah Humaira bertanya sambil tersenyum manis.
Humaira menghulurkan tangan kepada Piah dan Fariha. Laju Piah menyambut huluran tangan itu.
"Err... panggil saya Piah je..." Tegur Piah.
Rasa janggal pula jika dipanggil dengan nama penuhnya.
"Selalu juga Farhan cerita tentang Piah dekat Kak Maira. Tak sangka akhirnya dapat juga kita berjumpa."
"Kak Maira buat apa dekat sini?" Tanya Fariha dengan rasa curiga.
Fariha sebenarnya tidak senang hati dengan kehadiran Humaira disebabkan kes beberapa tahun yang lepas.
"Farhan tak beritahu Riha ke yang ni butik umi Kak Maira?" Pelik Humaira dengan soalan Fariha. Sempat dia melirik sekilas ke arah Farhan.
Tercengang Fariha dan Piah. Fariha terus menjeling ke arah Farhan. Mereka langsung tidak menyangka Farhan telah menempah baju nikah di butik keluarga Humaira.
Farhan masih bersikap selamba sambil membaca majalah yang ada di situ.
"Farhan dah sampai ke?"
Tiba-tiba muncul seorang wanita yang agak berusia tetapi masih kelihatan anggun di hadapan mereka.
"Assalamualaikum umi, saya baru je sampai tadi," jawab Farhan sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat.
"Waalaikumussalam." Khaleeda sudah tersenyum lebar.
"Umi, ini Piah... bakal isteri saya." Farhan memperkenalkan Piah kepada Khaleeda.
Piah dah Fariha cepat-cepat bersalam dengan wanita itu setelah diperkenalkan oleh Farhan. Piah yakin wanita yang anggun ini merupakan ibu Humaira. Timbul rasa cemburu di hati Piah saat mendengar Farhan memanggil wanita itu dengan panggilan umi.
"Ooo... cantik juga bakal isteri Farhan." Khaleeda hanya memandang dengan ekor matanya sahaja ke arah Piah. Huluran tangan Piah hanya disambung dengan hujung jarinya.
Piah dapat merasakan kehadirannya di sini tidak disenangi oleh wanita ini. Terasa juga dia dibuatnya dengan cara layanan ibu Humaira.
"Piah pun boleh panggil umi saya ni u..."
![](https://img.wattpad.com/cover/159467346-288-k600976.jpg)
KAMU SEDANG MEMBACA
Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral
RomancePiah Dan Mr.Beku Seorang ceria Seorang lagi dingin Piah yang sukakan sepupunya sejak kecil Walaupun Mr. Beku yang dingin, namun masih ada sifat melindungi diri Piah Seksa betul hati Piah mencintai dalam diam Dijodohkan dengan Mr.Beku atas sebab ter...