AKHIRNYA tamat juga kursus perkahwinan yang dihadiri oleh Piah dan Fariha selama dua hari. Banyak juga ilmu yang Piah dapat dariada kursus ini. Malah, Piah sedar untuk menjadi seorang isteri memerlukan persediaan mental dan fizikal yang cukup sebelum melangkah ke arah itu.
Perkahwinan bukanlah satu permainan. Jika boleh, biarlah ia berkekalan hingga ke akhir hayat. Piah berasa sangat gementar apabila memikirkan dia bakal disatukan dengan Farhan pada minggu hadapan.
"Bila aku join kursus ni, aku rasa macam nak kahwinlah pula."
Piah tersenyum geli hati mendengar kenyataan Fariha. Ketika ini, mereka berdua sedang menunggu Farhan datang menjemput mereka.
"Tiba-tiba je cakap pasal nak kahwin. Kau dah ada calon ke?" Tanya Piah separuh menyindir.
Tajam mata Fariha menjeling Piah.
"Eleh, mentang-mentang dia dah nak kahwin, bukan main lagi kenakan aku. Kau pun mesti tak sabar nak, betul tak?" Sakat Fariha.
Bahu Fariha ditampar kuat. Malu kalau didengar oleh orang di sekeliling mereka.
"Suara tu boleh perlahan sikit tak..." Bisik Piah. Fariha tayang wajah tak bersalah.
" Itu pun nak malu..." Tergelak Fariha dengan telatah Piah.
Piah merengus perlahan.
"Kahwin ni bukan permainan. Kau sendiri dengar kan ustaz tu cakap apa tadi. Nak kahwin ni, kena betul-betul dah bersedia. Jangan kahwin disebabkan nafsu semata-mata. Nanti menyesal tak sudah." Piah sekadar mengingatkan Fariha tentang matlamat perkahwinan.
"Kau dah betul ready ke?"
Terdiam Piah. Lama dia memikirkan soalan itu. Dia bukan tidak bersedia tetapi dia merasakan dirinya tidak layak menjadi isteri kepada Farhan.
"InshaAllah, harap-harap aku dah cukup bersedia," jawab Piah dengan nada yang tenang.
"Kau dah bincang dengan Abang Paan tentang rancang nak sambung belajar?"
Piah menampar dahi dengan perlahan. Hampir Piah terlupa tentang tujuan asal dia ke sini. Dia memang sudah bercadang untuk menyambung pelajarannya kembali. Tidak sangka rancangan lain pula yang akan berlaku.
"Belum lagi. Aku manalah ada peluang nak bercakap dengan Abang Paan. Kau rasa, dia bagi ke aku sambung belajar?"
Risau juga Piah jika Farhan tidak mengizinkan dia untuk sambung belajar. Selepas dia menjadi isteri, segala keputusan terletak di tangan Farhan.
"Mesti dia bagi. Kau cubalah bincang elok-elok. Tak silap aku, kemasukkan untuk pelajar baru ke IPTA, lagi tiga bulan. Sempat lagi ni kalau kau nak mohon."
Fariha mahu memberikan semangat kepada Piah. Sayang jika Piah tidak menggunakan peluang ini. Lebih-lebih lagi keputusan Piah sangat cemerlang.
Piah semakin tidak sabar untuk belajar kembali. Mungkin dia perlu berbincang dengan Farhan secepat yang mungkin.
"Kau habis cuti sampai bila?" Tanya Piah pula.
"Seminggu lepas kau nikah, aku dah habis cuti. Eh! Lupa pula aku nak tanya. Ada kau beritahu Leman pasal hal ni?" Fariha tiba-tiba teringatkan kawan baik Piah di kampung.
Terus tegak tubuh Piah apabila mendengar nama teman baiknya itu. Disebabkan terlalu sibuk menguruskan urusan hal perkahwinan, Piah sendiri hampir terlupa untuk memberitahu perkara ini kepada Leman.
"Aku tak beritahu lagi..." Piah menunduk lemah.
Serba salah Piah untuk memberitahu kepada Leman. Bukan dia tidak tahu yang selama ini Leman mempunyai hati terhadap dia.
KAMU SEDANG MEMBACA
Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral
RomancePiah Dan Mr.Beku Seorang ceria Seorang lagi dingin Piah yang sukakan sepupunya sejak kecil Walaupun Mr. Beku yang dingin, namun masih ada sifat melindungi diri Piah Seksa betul hati Piah mencintai dalam diam Dijodohkan dengan Mr.Beku atas sebab ter...