Bab 11

17.4K 862 19
                                    

SELEPAS sahaja balik dari menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, Piah terus menyimpan kain telekung di bilik. Piah kemudian mengenakan selendang di kepala dengan warna yang sesuai dengan baju yang dihadiahkan oleh Farhan.

Piah bergegas ke dapur untuk menyediakan makanan buat ahli keluarga yang lain. Risau juga jika pagi-pagi lagi sudah ada tetamu yang datang ke rumah. Fariha dan Faridah turut membantu memotong ketupat nasi dan lemang. Ahli keluarga yang lain sudah menunggu di meja makan.

Terpegun mereka semua melihat kelibat Piah yang nampak manis.

"Cantiknya anak saudara mak long ni. Bila Piah beli baju ni? Patutlah hari tu bila mak long ajak cari baju, Piah tolak."

Piah hanya tersenyum malu. Tak tahu alasan apa yang perlu Piah berikan. Farhan tidak lepas memerhati gelagat Piah yang sibuk menyediakan air minuman. Tanpa sedar, perbuatan Farhan itu menyakitkan hati Suraya.

"Ehmm... kalau tak kerana atas dasar simpati, tak adanya dia nak merasa pakai baju mahal macam tu." Tiba-tiba Suraya mencelah. Sengaja ingin menyakitkan hati Piah.

Berdesing telinga Piah mendengar perlian Suraya. Faridah dan Fariha saling berpandangan. Rahang Farhan jelas tergerak-gerak menahan marah.

"Kenapa cakap macam tu angah?"

Tiba-tiba Saleha muncul dari pintu dapur. Geram juga hati tua Saleha kerana ada sahaja yang tidak kena di mata Suraya.

"Angah cakap benda yang betul. Piah ni mana mampu nak pakai baju mahal macam ni melainkan atas belas ehsan keluarga along je. Betul tak Paan?" Tambah Suraya sengaja mengenakan Piah.

Piah menundukkan wajahnya. Tidak sangka pula Suraya tahu baju ini diberikan oleh Farhan.

"Kau cakap apa ni angah? Bila masa pula keluarga along buat macam tu pada Piah. Selama ni memang along dah anggap Piah tu macam anak along sendiri."

Saiful sudah naik angin dengan tuduhan Suraya. Pagi raya sudah cuba mencari pasal.

Mencemik bibir Suraya tanda meluat.

"Dengan Piah, semua benda along bagi. Anak-anak angah ni, apa yang dapat? Baik pula Paan ni hadiahkan baju pada Piah. Macamlah Piah sorang je sepupu yang wujud dalam rumah ni," perli Suraya

Naira dan Naura terkejut mendengar cerita dari ibunya. Perasaan geram semakin bertambah di hati Naira. Tidak suka Farhan melebihkan Piah.

Saiful dan Faridah saling berpandangan. Mereka berdua juga turut tidak tahu menahu tentang hal itu.

"Salah ke kalau Paan belikan baju tu pada Piah?" Tiba-tiba sahaja Farhan mencelah. Walaupun Suraya ibu saudaranya, tetapi jika dia terus disindir, hilang juga rasa hormatnya.

Suraya hanya tersenyum sinis. Mahu sahaja dia melawan kata-kata anak saudaranya itu tetapi dia terpaksa membatalkan niatnya sebaik sahaja melihat suaminya memberi isyarat mata supaya berhenti bercakap.

"Abang Paan ni tak adillah. Kenapa tak belikan untuk Naira juga?" Rengek Naira. Farhan langsung tidak mengendahkan kata-kata Naira. Malah, dia selamba menjamah makanan dengan berselera.

"Makan Naira." Tegas Kamal memberikan arahan itu.

Makin tebal muka Naira ketika ini. Piah yang sejak tadi hanya berdiam diri, lekas membawa air minuman ke meja makan. Menyesal pula Piah menerima hadiah Farhan jika begini kesudahannya.

Dia duduk di sebelah Fariha. Matanya tidak sengaja bertembung dengan anak mata Suraya. Mati selera Piah kerana takut melihat renungan tajam Suraya.

"Piah, nanti lepas kita sarapan ikut pak long beraya di Sungai Soi ye." Saiful cuba mengubah topik perbualan mereka.

"Eh! Kenapa pula nak ajak Piah? Nanti kalau ada orang yang datang beraya, siapa yang nak melayan?" Bantah Suraya.

Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang