SEJAK mereka pulang dari butik pengantin, sikap Farhan tiba-tiba berubah. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Farhan hanya berdiam diri. Semasa makan malam, Farhan masih lagi dengan aura bekunya.
Hati Piah semakin kusut dengan tingkah laku lelaki itu. Risau pula dia memikirkan nasib dirinya selepas berkahwin dengan Farhan. Belum berkahwin lagi, Farhan sudah bersikap acuh tak acuh sahaja dengannya. Naya kalau dah jadi isteri nanti.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja Piah menarik diri dalam perkahwinan ini. Dia dapat merasakan perubahan sikap Farhan ini disebabkan pertemuan mereka dengan Humaira. Mungkin juga Farhan masih mempunyai perasaan terhadap Humaira.
Piah keluar untuk mengambil angin malam. Semasa melalui kawasan kolam renang, dia ternampak Farhan sedang duduk termenung di kawasan itu. Piah nekad untuk menemui lelaki itu. Tak salah jika Piah ingin merapatkan hubungan mereka dengan cara berbual. Anggap sajalah ini langkah pertama Piah mengambil hati bakal suaminya.
"Abang Paan..."
Terhenjut bahu Farhan. Terkejut kerana Piah tiba-tiba muncul di hadapannya. Dia sebenarnya masih ada rasa bersalah terhadap keluarga Humaira beberapa tahun yang lepas.
"Boleh Piah duduk?" Soal Piah setelah melihat Farhan masih berdiam diri.
"Duduklah..."
Lega Piah mendengar jawapan Farhan. Malu berbakul Piah jika Farhan masih dengan aura bekunya. Piah segera duduk di kerusi yang berdekatan dengan Farhan.
"Abang Paan ada masalah ke?"
"Kenapa tanya abang macam tu?" Soalan Piah dibalas dengan soalan. Piah mengetap bibirnya menahan marah. Sabar sajalah menghadap lelaki beku ini.
"Sejak kita balik dari butik, perangai Abang Paan nampak lain..." Jujur Piah berikan penjelasan. Tidak mahu dia terus berteka-teki.
Farhan berasa serba salah. Bukan niat dia untuk bersikap dingin tetapi dia sebenarnya hanya memerlukan masa untuk bersendirian. Sudah menjadi tabiat dirinya jika dia mengalami masalah, dia lebih suka berdiam diri dan bersendirian.
"Abang cuma penat..." Farhan memberikan jawapan selamat tanpa membalas pandangan Piah.
Piah mengeluh lemah. Makin susah hati Piah memikirkan nasib dirinya di tangan lelaki itu lagi. Nampak sangat Farhan tidak berminat dengannya. Baru diajak berbual, sudah dilayan dingin. Mahu sahaja Piah menjerit meluahkan rasa geram di hati.
"Abang Paan ni betul-betul ke nak kahwin dengan Piah?"
Laju kepala Farhan menoleh memandang Piah.
"Pernah ke abang main-main?"
Menyirap darah Piah. Lagi-lagi, soalan juga yang diberi. Piah berdiri tegak di hadapan Farhan. Dia juga ada hati dan perasaan. Kalau dah tak sudi, tak ingin dia terhegeh-hegeh.
"Kalau Abang Paan rasa perkahwinan kita satu kesilapan, kita batalkan."
Bulat mata Farhan mendengar permintaan Piah.
"No! Pernikahan kita tetap akan diteruskan."
Farhan turut berdiri tegak menghadap Piah. Bergema suara Farhan di kawasan itu. Mujurlah ketika itu ahli keluarga yang lain sudah masuk tidur. Tergamam Piah. Tanpa sedar, Piah berundur beberapa langkah ke belakang. Takut dengan reaksi Farhan yang agak baran pada malam itu.
Wajah Farhan diraut kasar. Dia sedar telah bersikap kasar dengan Piah. Belum sempat Piah ingin melarikan diri masuk ke dalam rumah, Farhan lekas memegang pergelangan tangan Piah yang masih berlapik.
"Lepas..." Bergetar suara Piah menahan rasa sebak. Belum jadi isteri, dia sudah diherdik.
"Abang minta maaf sebab terkasar dengan Piah. Satu je permintaan abang, tolong percayakan abang dan jangan pernah cuba lari dari abang walau apa pun yang berlaku suatu hari nanti." Pinta Farhan dengan penuh makna.
KAMU SEDANG MEMBACA
Piah Di Hati Mr.Beku (Ready Stok )ebook Blh Dibeli Di Esentral
RomancePiah Dan Mr.Beku Seorang ceria Seorang lagi dingin Piah yang sukakan sepupunya sejak kecil Walaupun Mr. Beku yang dingin, namun masih ada sifat melindungi diri Piah Seksa betul hati Piah mencintai dalam diam Dijodohkan dengan Mr.Beku atas sebab ter...