BAB 2: KEMUNCULAN RAZLAN (1/4)

27 0 0
                                    

Meniti hari untuk menghadapi minggu peperiksaan pertengahan tahun, masih ramai lagi penuntut sekolah ini membuat perkara rutin mereka. Hanya beberapa orang pelajar sahaja yang sudah menunjukkan kehangatan minggu peperiksaan.

Bagi Amir, cukuplah dia mengulang kaji di dalam kelas seorang diri. Sedang asyik dia cuba menyelesaikan soalan Matematik Tambahannya, Aisyah muncul dari belakang. Disergahnya Amir hampir tergugur jantung kawannya itu.

"Mak kau!!!...."

"Mak aku kat rumah... Jom gi kantin."

"Tak naklah... Diet!"

"Kurus kerepeng, diet mendanya kau nih Mir?"

"Hahaha..."

Aisyah memaksa sahabat karibnya itu. Ditarik baju sampai senget kolar dan tali leher baju Amir. Mahu atau tidak, Amir terpaksa kena juga ikut.

Dalam perjalanan ke kantin, mereka terserempak dengan Aidil dan Badrul yang duduk melepak di tangga. Seperti melalui tanah perkuburan sahaja, rasa seram dan takut menyelubungi Amir. Meliar matanya takut-takut setan dua itu perasan dengan kelibatnya. Belum sempat dia berasa lega, Badrul menjerkahnya dari belakang. Terkejut Amir dan Aisyah.

"Oii.. Lembik! Nak pergi mana?"

"Time rehat ni kan... kau buta ke bodoh?!!"

Aisyah membalas cemuhan Badrul. Amir sudah terdiam. Wajahnya sudah berkerut risau.

Aidil bangun lalu mendekati Aisyah.

"Eh! Cantik pulak kau ni Aisyah ya... Eeee... Sebabkan perempuan aje kau ni Aisyah. Kalau cam si Lembik... dah jadi gula-gula rasanya."

"Gila..."

Aisyah menampar tangan Aidil yang cuba mencuit mukanya. Dia pegang pengelangan tangan dan mengheret Amir, terus mereka berlalu pergi.

Di kantin sekolah, meja sudah dipenuhi dengan murid-muridnya. Menjadi satu kebudayaan, mereka duduk di meja yang sama mengikut kumpulan masing-masing. Geng pengawas duduk di meja paling hadapan, diikuti dengan golongan pelajar bijak akan duduk di kanan meja pengawas. Golongan gadis-gadis diva dan popular berada di tengah-tengah untuk menarik perhatian pelajar lelaki yang kacak seperti model yang duduk di sebelah kiri. Manakala, ahli pasukan bola sepak sekolah akan duduk di sebelah kanan kantin, di sinilah geng-geng Aidil dan Badrul berada. Golongan-golongan ini tidak akan bercampur sama sekali.

Bagi Amir dan pelajar-pelajar yang dianggap Loser, meja di hujung, yang paling ke belakang berdekatan dengan singki basuh tangan sahaja tempatnya. Amir tidak pernah pun merungut sebab dia sedar akan dirinya.

Sekadar menemani Aisyah, Amir hanya minum air jagung sahaja. Dia malu kalau Aisyah tahu sebenarnya duit poketnya telah diambil oleh Badrul sekali lagi.

Sedang Amir tunduk untuk menyambung ulang kaji soalan Matematik Tambahannya tadi, tiba-tiba Amir rasa ada susuk tubuh duduk di sebelahnya. Auranya terasa seperti kelibat itu bertubuh besar. Bangku kayu yang dia duduk itu juga terasa sedikit meleding ke bawah, menandakan susuk tadi berat. Amir mengangkat muka, dia mendapati seorang pelajar lelaki duduk di sebelahnya. Amir cuba untuk mengenali

wajah pelajar lelaki itu. Apabila rasa ditenung, pelajar lelaki itu memaling mukanya ke arah Amir. Ketajaman mata pelajar lelaki itu memeranjatkan Amir. Cepat-cepat dia tunduk ke arah bukunya semula.

Pandangan pertama Amir pun sudah menyatakan pelajar lelaki di sebelahnya itu tidak pernah dia kenali dan nampak sebelum ini. Amir menggetus dalam hatinya, mungkin pelajar baru. Amir curi-curi tengok tag nama pelajar lelaki itu. Walaupun agak sukar dengan posisi duduk sebelah-menyebelah. Berjaya juga Amir mendapatkan nama pelajar lelaki itu. RAZLAN.

Seperti biasa, Amir yang bersikap ceria dan mesra, memberanikan diri untuk menegur pelajar lelaki itu.

"Awak pelajar baru ke?..."

Pertanyaan Amir hanya dibalas dengan kerlingan mata. Dingin. Pelajar yang bernama Razlan itu hanya makan mee goreng tanpa mempedulikan Amir. Amir senyum hampa. Matanya berkelip-kelip menunggu sebarang jawapan dari pelajar itu.

Selesai sahaja makan, Razlan bangun lantas meninggalkan Amir yang masih terkebil-kebil melihatnya. Amir menghenyotkan mulutnya. Terasa malu dan menyesal pula dia bertanya tadi.

Dari pandangan pertama, Amir merasakan pelajar lelaki itu mempunyai 'sesuatu'. Amir sendiri berasa pelik kerana tidak pernah dia rasa seselamat sebegini sebelum ini. Mungkin kerana pelajar lelaki tadi mempunyai tubuh badan yang sungguh tegap dan sasa, tinggi lampai serta berkulit sawo matang dan semestinya mempunyai wajah yang kacak walaupun nampak bengis. Perlakuannya sangat keras dan penuh kejantanan.

Ataupun mungkin, kerana inilah pertama kali Amir berjumpa dengan seseorang yang tidak membulinya seperti mana dia alami sebelum ini.

"Siapa tadi tuh Mir?"

"Tak tahu la. Pelajar baru kot..."

"Peliknya, tengah-tengah tahun macam ni pun ada lagi orang bertukar sekolah ya?"

Kata-kata Aisyah membuatkan Amir juga tertanya-tanya. Siapakah Razlan? Dan kenapa baru sekarang dia bertukar sekolah?

Aisyah cepat-cepat menghabiskan makanannya. Ada kurang lima minit lagi waktu rehat berakhir. Belum sempat dia pergi membasuh tangan di singki belakang, loceng sudah berbunyi. Berlari-lari Aisyah dan Amir yang merupakan pelajar terakhir meninggalkan kantin.

Petang itu, seperti biasa, Amir akan pergi ke tempat letak basikal untuk mengambil basikalnya sebelum pulang ke rumah. Terkial-kial dia menarik basikalnya yang tersangkut dengan basikal di sebelahnya. Belum sempat apa-apa lagi, rantai basikal tercabut dari gear.

"Alaaaaa......"

Dia menongkat basikalnya lalu menarik-narik rantai basikal yang berwarna kuning itu dan meletak pada gigi gear, tapi rantainya kembali jatuh. Amir terpaksa menuntun basikal keluar dari pintu gerbang sekolah. Itu memang peraturan sekolah, tidak membenarkan pelajar-pelajarnya menunggang basikal atau motosikal di dalam kawasan sekolah pada waktu persekolahan biasa.

Sampai di muka pintu pagar utama. Amir sekali lagi cuba meletak rantai basikal ke gear semula. Dia duduk mencangkung sambil tertunduk-tunduk untuk mencari gigi gear basikalnya. Tapi sia-sia. Rantai basikalnya sangat kendur menyebabkan rantai kembali jatuh setiap kali gear berputar.

Api untuk AmirWhere stories live. Discover now