BAB 1: KISAH SI ARNAB KATIK (2/3)

19 1 0
                                    

Amir tidak tahu untuk mengadu kepada sesiapa. Jika dia mengadu kepada guru disiplin, iaitu Cikgu Hazrul sekali pun mengenai salah laku Aidil dan Badrul, alih-alih dia pula yang dipersalahkan. Malang lagi, dia dirotan kerana dituduh membawa mulut. Aidil sangat dikenali sebagai pelajar kesayangan Sekolah Menengah Adi Waja. Dia merupakan pelajar yang mempunyai keputusan akademik terbaik dalam setiap peperiksaan dan juga merupakan kapten bola sepak sekolah yang mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri setiap tahun. Maka, bagi pelajar-pelajar lain, buatlah aduan apa-apa pun mengenainya, pasti Aidil akan terlepas dari denda atau hukuman sekolah.

"Weh lembik! Bak aku duit!"

Amir kaku berdiri menunduk. Badrul menyeluk poket seluarnya lalu diambil dua helai wang kertas yang bernilai satu ringgit.

"Nih aje ke?!!"

Amir mengangguk. Dia langsung tidak berani untuk berkata apa-apa apabila Badrul membentaknya.

"Dah!.. pergi berambus! Kang aku tibai kau kang!"

Amir cuba berlalu pergi. Dia menjangkakan dirinya bernasib baik kali ini. Hanya duit sahaja dia hilang.

"Lembik! Sekejap!"

Aidil menghulurkan buku latihan biologi.

"Aku nak kau buat latihan ni. Esok aku nak!"

"Tapi Aidil... saya mana reti buat..."

Bukk!!!

Kepala Amir dilibas keras oleh Badrul. Hampir nak pitam Amir dibuatnya. Terhuyung-hayang Amir sambil memegang kepala. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga mengambil kerja rumah Aidil dan Badrul. Kalau melawan lagi, makan kakilah jawabnya.

"Ingat! Buat betul-betul. Ada satu jer salah! Siap kau!"

Bentak Badrul.

Amir mengangguk. Dia mengambil buku latihan itu, lalu cepat-cepat dia beredar dari situ.

Amir tahu, bukan dia sahaja mangsa buli Aidil dan Badrul. Cuma Amir pasrah kerana dialah orang yang paling teruk sekali kena buli. Amir tidak tahu kenapa dia merupakan orang paling kerap dibuli oleh duo setan itu. Mungkin kerana saiz fizikal ataupun sikap Amir yang terlalu merendah diri. Mungkin juga dia tidak mempunyai ramai kawan. Selain Aisyah, Amir tidak mempunyai sesiapa lagi yang dia rapat di sekolah.

Aisyah adalah rakan Amir sejak kecil. Dari zaman dia bersekolah tadika lagi. Keakraban mereka seperti kembar tidak seiras. Apabila mereka berjalan bersama, Amir juga lebih rendah dan dilihat seperti adik kepada Aisyah. Sikap keanak-anakan Amir turut disenangi oleh Aisyah yang sedikit garang dan spontan itu.

Malah gadis yang berhijab itu sangat rapat dengan keluarga Amir. Jika ada waktu senggang, Aisyah akan datang ke rumah Amir untuk bercerita dengan Amir. Topik yang mereka gemar bersembang ialah tentang cara untuk menulis cerpen dan cita-cita mereka pada masa akan datang. Pada hujung minggu pula, jika mempunyai duit lebih sedikit, Amir dan Aisyah akan pergi bersiar-siar di pekan Adi Waja.

Itu sahajalah sahabat yang Amir ada. Namun, jika waktu pulang dari sekolah, Aisyah biasanya akan sibuk dengan Kelab Bahasa Melayu. Disebabkan gadis itu sangat pakar dalam subjek Bahasa Melayu serta cukup meminati puisi dan cerpen, dia diangkat sebagai Presiden Kelab Bahasa Melayu sekolah. Oleh sebab itulah, Amir akan pulang seorang diri dari sekolah setiap hari.

Jarak sekolah ke rumahnya adalah lebih kurang 500 meter. Amir akan berbasikal hanya dalam sepuluh minit sahaja untuk sampai ke rumahnya. Dan, jika dia sampai di rumahnya tanpa terserempak dengan Aidil dan Badrul, itu adalah menjadi satu kelegaan dan kenikmatan bagi Amir.

Mak Teh Aini adalah emak Amir. Kebiasaan waktu-waktu Amir pulang, Mak Teh Aini sibuk berada di dapur. Mak Teh Aini akan menggoreng ikan bilis dan kacang tanah sebagai satu persediaan untuk menu nasi lemak untuk dijual pada hari berikutnya. Selain itu, bahan-bahan lain seperti daun pisang dan barang-barang keperluan untuk dia memasak untuk hari esok selalunya disediakan pada ketika ini.

Api untuk AmirWhere stories live. Discover now