Dia menutup lampu ruang tamu dahulu lantas ke bilik tidur. Tok Mat Putih dan Suhana sudah tidur nyenyak, berbaring sebelah-menyebelah. Razlan membuka baju kemeja T lalu disidai di jendela yang masih terbuka sedikit. Dia duduk di sebelah Tok Mat Putih lalu meletak bantal, terus berbaring di sebelah orang tua uzur itu.
Matanya masih lagi segar. Berkelip-kelip memandang atap zink yang sudah berkarat. Fikirannya mula melayang-layang memikirkan pelbagai isu yang terbangkit secara spontan.
Tiba-tiba, kedengaran Suhana merengek. Satu situasi yang cukup tidak disukai Razlan. Tok Mat Putih juga terjaga apabila Suhana mula menangis. Apabila dipujuk, makin menangis budak itu.
Razlan berdehem sahaja, terus Suhana diam. Bunyi tersedu-sedu masih ada.
"Adik sejuk....."
Razlan tahu, budak itu hanya mengada-ngada. Kalau dulu bolehlah bermanja dengan Puan Seri Anna, tapi sekarang tidak bolehlah. Dengan selamba, Suhana bangun lalu dia berbaring di antara Tok Mat Putih dan Razlan. Perlahan-lahan, Suhana memeluk lengan kiri Razlan yang besar dan berotot itu. Razlan membiarkan sahaja jika itu membuatkan Suhana diam dan tidur.
Pada waktu siang di sekolah, keadaan masih sama, hiruk-pikuk walau peperiksaan pertengahan tahun hampir menjelang.
Razlan berada di dalam kelas Tingkatan 5 Sains 3. Seorang diri. Di hadapannya terhidang buku latih tubi Matematik Tambahan. Razlan sangat meminati mata pelajaran itu. Semua soalan ibarat makanan sahaja baginya.
Tiba-tiba, bahu dia dicuit. Razlan berpaling, kelihatan Amir dan Aisyah berdiri di tepinya. Tersengih macam kerang busuk Amir.
"Hahaha... jumpa jugak Abang Lan!"
"Korang nak apa?"
"Nak jumpa abanglah. Nak ajak gi makan.... "
Amir menatap wajah lelaki itu. Masam sahaja.
"Abang marah ke?"
Razlan tidak memandang dua rakan itu. Dia hanya fokus kepada kertas soalan latih tubi dan buku di hadapannya. Langsung tidak melihat ke wajah Amir dan Aisyah.
Amir ternampak kertas jawapan soalan ujian Matematik Tambahan Razlan. Teguk air liur apabila mendapati kertas itu tertanda 96% markah.
"Hebatnya Abang Lan..." Bisik Amir.
"Abang Lan kidal ke?"
Kata Aisyah sambil menunding ke arah tangan kiri Razlan yang memegang pen biru. Kali ini Aisyah pula kagum dengan lelaki ini.
"Tak pernah jumpa ke?"
Soalan balas yang pendek tapi berjaya membuatkan Aisyah tersentap. Dia pula menjadi malu atas keterujaan dia tadi. Soalan Razlan seolah-olah menikam jiwa. Aisyah diam sambil mengherot mulutnya.
Keadaan itu betul-betul menjanggalkan. Baik Amir dan Aisyah, kedua-duanya berasa seperti tidak diundang.
Amir bertanya tentang penyertaan Razlan dalam pasukan bola juga tidak dipedulikan oleh Razlan. Hanya menerima jawapan pendek, 'urmmm' dan gelengan kepala sahaja. Ternyata Razlan tidak mahu melayan mereka.
Dalam keadaan sedikit malu dan hampa, Amir meminta diri secara sopan. Dia meninggalkan Razlan yang pandangan mata tidak beralih dari buku latihannya.
Petang itu, Amir tidak menemui Razlan semasa pulang dari sekolah. Dia berjalan sendirian melewati pintu pagar sekolah. Bila dia duduk di atas pelana untuk membuat kayuhan pertama, hendal basikalnya dipegang dan dihalang.
Rupanya Aidil dan Badrul berdiri di belakangnya. Kedua-dua memakai jersi pasukan bola sepak. Ada kain lilitan berwarna kuning dengan lambang huruf 'c' di lengan Aidil. Mereka senyum kambing kepada Amir.
Muka Amir berubah serta-merta menjadi bimbang. Habislah, mesti ada benda mengarut Aidil akan lakukan kepadanya.
"Nak apa?..."
Suara Amir kedengaran sudah bergetar membuatkan pembulinya ketawa.
"Petang ni kau buat homework aku. Karangan 1200 patah perkataan. "
"Aku pun samalah."
Amir hanya mengangguk. Aidil tidak melepaskan Amir begitu sahaja. Wayar brek basikalnya direntap hingga tercabut lalu dibiarkan terjuntai. Malah, tuil brek juga dipatahkan oleh Badrul. Amir hanya pandang dengan pasrah sahaja apabila tuil itu dicampakkan ke mukanya. Aidil dan Badrul meninggalkan dengan dekahan yang jahat.
Amir berlalu dari situ. Dia dengan mengayuh perlahan-lahan dengan berhati-hati.
Aidil dan Badrul pula menuju ke dewan sekolah. Cikgu Hazrul bersama-sama dengan pasukan bola sepak, termasuklah Razlan sudah berada di situ.
Cikgu Hazrul yang tiada pilihan, memperkenalkan Razlan sebagai ahli baru pasukan bola sepak sekolah. Diberi jersi bernombor 9, Razlan diletakkan di posisi pertahanan untuk sementara waktu ini.
Cikgu Hazrul juga menyatakan yang pasukan ini mengharungi dua perlawanan penting sebelum tamat sesi persekolahan tahun ini. Dua perlawanan tersebut ialah perlawanan peringkat negeri dan perlawanan peringkat kebangsaan.
Kehadiran Razlan disenangi oleh ahli-ahli pasukannya kerana kemunculan Razlan menambah lagi kekuatan pasukan mereka. Tetapi tidak kepada Cikgu Hazrul. Dia tidak berpuas hati tanpa sebab serta curiga dengan latar belakang Razlan yang dipenuhi rahsia dan sejarah hitam.
Aidil dan Badrul pula hanya memerhati sahaja dahulu, bagi mereka, ada agenda lain yang lagi penting yang hendak mereka kerjakan.
Pagi keesokan hari, Amir berjalan kaki ke sekolah. Dia turun awal sedikit dari rumahnya. Sebabnya dia tahu kepantasan dia berjalan kaki. Cukup lambat.
Kebiasaan, Amir berjalan sambil menunduk ke bumi. Dia tidak pernah mendongak atau melilau melihat ke tempat lain.
"Amir..."
Kedengaran suara garau dari tepinya. Amir berpaling ke sebelah kanannya, dia ternampak dada bidang dulu sebelum dia mendongak, barulah nampak wajah lelaki, empunya suara menyapanya tadi.
"Abang Lan!"
Amir senyum, seolah mendapat keceriaannya semula.
"Mana pegi basikal?"
"Rosak. Aidil yang rosss.... Errrr... takde apa-apalah!
Amir cuba menyembunyikan masalahnya. Sebenarnya Aidil pernah memberi amaran kepadanya; kalau Amir memberitahu atau mengadu kepada sesiapa sahaja, cikgu terutamanya, siaplah dia!
Amir senyum, tetapi Razlan sudah dapat membacanya. Razlan hanya diam sahaja.
"Abang Lan... kalau saya nak minta pertolongan abang, boleh tak?"
Amir memberanikan diri untuk meluahkan perasaannya.
"Apa dia?"
Respon diberikan oleh Razlan cukup menggembirakan Amir. Ternyata angin Razlan baik pada pagi itu. Itulah perkiraan Amir, membuatkan dia meneruskan niatnya.
"Hari tu saya nak cakap, tapi abang macam tak ada mood. Ermmmm... nak mintak abang ajarkan Matematik Tambahan kepada saya!... Boleh tak? Hehehehe... Saya lemahlah subjek tu..."
"Boleh."
Amir diam seketika untuk menunggu jika ada apa-apa lagi Razlan ingin katakan. Tapi itu sahaja jawapan yang Razlan berikan.
"Eh? Senangnya... Takde syarat lain ke Abang Lan?.... biasanya kalau drama Melayu, mesti nak kena syaratkan. Ada syarat-syarat lain ke tak, Abang Lan?"
"Nak syarat ke?"
"Eh? Hehehe..... tak nak!"
"Boleh, tapi bukan kat sekolahlah."
"Ooo... ok ok... sayang Abang Lann........ ngit birukan hari ni??????"
Cepat-cepat Amir menukar topik apabila Razlan mengerling keras kepadanya. Mereka tiba di perkarangan sekolah lalu berpisah di tingkat dua di mana kelas Razlan berada di tingkat itu, manakala Amir pula berada di tingkat empat.
YOU ARE READING
Api untuk Amir
Любовные романы"Cinta itu luas maknanya. Kisah ini Bukan hanya untuk pasangan kekasih. Kita masih lagi ada Tuhan, keluarga dan sahabat untuk kita cintai." Apakah yang terjadi apabila sikap keanak-anakan dan periang Amir bertemu dengan lelaki yang sangat matang da...